Pautan Suara Sukan

Tuesday, December 25, 2012

Julang Piala AFF kali keempat, Singapura kuasa bolasepak Asia Tenggara

Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah Kakibola edisi minggu akhir Disember dan saya baru berkesempatan untuk upload story ini di blog.

Singapura mengesahkan reputasi mereka selaku gergasi bolasepak Asia Tenggara apabila menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki buat kali keempat menerusi kemenangan aggregat 3-2 ke atas Thailand meskipun tewas 0-1 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Supachalasai, 22 Disember lalu.

Membawa bekalan 2 gol hasil kemenangan 3-1 yang dicatat di laman sendiri, Stadium Jalan Besar pada 19 Disember, Singapura bimbingan Radojko Avramovich memilih untuk bermain lebih defensif dan ternyata ianya membuahkan hasil meskipun terpaksa menahan asakan hebat tuan rumah sepanjang 90 minit perlawanan.


Gol jaringan Kirati Keawsombut menerusi tandukan kencang seminit sebelum babak pertama berakhir memecahkan kebuntuan permainan, sekaligus menyemarakkan moral dan semangat pemain Thailand yang sedar mereka boleh bergelar juara menerusi kelebihan gol di tempat lawan dengan hanya perlu menambah satu lagi jaringan.

Di sebalik melancarkan serangan bertali arus dan mencipta deretan peluang keemasan, satu gol yang dicari itu gagal diterjemahkan oleh barisan depan Thailand yang diterajui Teerasil Dangda, Pichitphong Choeichiu dan Jakkraphan Pornsai – malah Kirati pastinya meratapi kegagalan menyempurnakan peluang keemasan memberikan Thailand gol kemenangan selepas percubaannya melepasi palang gol pada minit ke-66.

Malah, kredit juga harus diberi kepada barisan pertahanan Singapura diketuai Bhaihaki Khaizan yang berjaya mengawal tekanan seterusnya bertahan dengan baik, selain kecemerlangan penjaga gol, Izwan Mahbud yang tenang di gawang sekaligus menghampakan jurulatih Thailand, Winfried Schafer dan 20,000 penyokong setia skuad Gajah Perang.

Menariknya, kejayaan skuad Singapura ini dibantu aksi hebat 8 pemain tonggak mereka yang beraksi bersama pasukan Lions XII yang muncul naib juara dalam saingan Liga Super Malaysia, membuktikan bahawa Liga Malaysia mempunyai kualiti untuk melahirkan pemain terhebat di rantau ini.

Tetapi malangnya hanya dua sahaja pemain dari skuad Kelantan yang muncul juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA tahun ini melekat dalam skuad Harimau Malaya, itupun bukan di dalam kesebelasan utama - di mana silapnya?


Kejayaan terbaru ini bermakna Singapura layak berbangga selaku negara paling banyak memenangi trofi ini sejak ia diperkenalkan pada 1996 (ketika itu dikenali dengan nama Piala Tiger), diikuti Thailand sebanyak tiga kali, manakala Malaysia dan Vietnam, masing-masing sekali.

Thailand pula terus kempunan untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 10 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 2002 dan kekalahan kali ini merupakan kekalahan kali ketiga berturut-turut pada aksi final selepas 2007 dan 2008.

Ketua pasukan Singapura yang beraksi untuk Lions XII dalam saingan Liga Super Malaysia, Shahril Ishak dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) manakala penyerang Thailand, Teerasil Dangda muncul penjaring terbanyak kejohanan – manakala Malaysia yang kecewa gagal mempertahankan kejuaraan meraih Anugerah Fair Play (permainan bersih).

Saturday, December 15, 2012

Thailand tunjukkan Malaysia jalan keluar


Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Kakibola pertengahan Disember.

Malaysia gagal dalam misi mempertahankan Piala AFF Suzuki apabila gol jaringan penyerang sensasi, Teerasil Dangda dan pemain pertahanan, Theerathon Bunmathan memadai untuk memberikan Thailand kemenangan 2-0 sekaligus menyingkirkan skuad negara kendalian Datuk K.Rajagobal dengan aggregat 3-1.

Thailand akan menentang Singapura pada aksi final yang dijadual berlangsung dua pusingan pada 19 dan 22 Disember depan sekaligus mengulangi pertemuan final edisi 2007 yang mana dimenangi Singapura dengan keputusan aggregat 3-2 – kedua-dua pasukan mencari gelaran keempat di kejohanan ini.


Menentang tuan rumah di Stadium Supachalasai, skuad negara hanya perlu menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menyaingi tempo permainan pantas Thailand dan hakikatnya sepanjang 90 minit permainan tidak keterlaluan andai dikatakan pasukan negara ibarat diajar bermain bolasepak oleh skuad bimbingan Winfried Shafer yang mendominasi sepenuhnya perlawanan.

Mungkin ada yang mengaitkan kad merah tidak berasas dilayangkan pengadil dari Korea, Lee Min Hun kepada Fadhli Shas pada penghujung babak pertama sebagai permulaan episod duka sang harimau, tetapi pada hakikatnya bermain dengan 11 pemain sekalipun belum tentu kita dapat memberikan saingan yang lebih bermakna dengan mengambil kira kualiti permainan yang ditunjukkan.

Barisan tengah dikemudi kapten pasukan sekali lagi hilang punca, tiada hantaran tepat, tiada pencetus kreativiti, gagal memanfaatkan sebaiknya kekuatan di posisi sayap, gemuruh apabila memegang bola, cenderung kehilangan bola dengan mudah dan lebih malang pada situasi terdesak di mana kita wajib mencari gol tempat lawan, ada pemain lebih gemar mahu menonjolkan skil individu yang tidak berapa menjadi berbanding menunjukkan semangat sepasukan.


Selain dua percubaan yang tersasar dalam tempoh 10 minit pertama, serta percubaan leret sepakan percuma Aidil Zafuan, jentera serangan skuad negara diterajui Norsharul Idlan tidak langsung mengancam gawang Thailand kawalan Kawin Thamsatchanan, tidak bernafsu mencari gol yang boleh menyemarakkan semangat, malah kemasukan Safee Sali di babak kedua sekalipun tidak berupaya mengubah situasi.

Berbeza dengan Thailand, menerusi permainan bertunjangkan kredibiliti barisan kejurulatihan dari Jerman, mereka tenang mengawal permainan, bijak mengatur serangan dari tengah, memanfaatkan kelincahan pemain perancang, Datsakorn Thonglao yang kerap melakukan hantaran berbahaya yang membelah barisan pertahanan skuad negara.

Rajagobal juga lambat bertindak apabila berterusan mengharapkan pemain anak emasnya, Amar Rohidan untuk menampung ketiadaan Fadhli di barisan pertahanan - pemain itu kemudiannya ‘membalas’ kepercayaan Raja apabila menjadi punca kepada terhasilnya gol pertama jaringan Dangda pada minit ke-62 dan selang tiga minit kemudian Theerathon menoktahkan terus sisa kebangkitan skuad negara menerusi sepakan deras yang mengegar gawang Farizal Marlias.

Kekalahan ini juga bermakna Raja gagal dalam misi utamanya bagi tahun 2012 - selepas bereksperimen untuk tempoh dua tahun lamanya dengan memperjudikan ranking pasukan kebangsaan, ini pastinya bukan hasil yang diharapkan jutaan penyokong Harimau Malaya serta Persatuan Bolasepak Malaysia sendiri.

Adalah tidak masuk akal untuk mengatakan kemaraan ke separuh akhir adalah pencapaian yang sudah cukup bagus apatah lagi kita merupakan juara di rantau ini bagi setiap kejohanan utama sejak tahun 2009 – bermula dengan kejayaan memenangi pingat emas Sukan Sea 2009, diikuti menjuarai kali pertama Piala AFF Suzuki pada 2010 dan tahun berikutnya berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Indonesia.

Jadi, dengan reputasi hebat ini, apakah relevan dikatakan layak ke separuh akhir sudah cukup bagus? Siapa yang harus bertanggungjawab?

Singapura atasi Azkals

Dalam aksi yang berlangsung terdahulu, Singapura mengetepikan aksi berani skuad Filipina dengan aggregat 1-0 menerusi jaringan tunggal Khairul Amri sekaligus menafikan hasrat Azkals untuk mencipta kejutan mara ke final buat kali pertama.

Bagi Singapura, ini adalah penampilan keempat mereka di pentas final dan menariknya mereka tidak pernah tewas dalam tiga aksi final terdahulu.

Thursday, December 6, 2012

Tiket Semi RM40, Mula Dijual 7 Disember


Berikut adalah jadual jualan tiket mengikut maklumat yang diterima dari FAM.

JADUAL JUALAN TIKET

PERLAWANAN SEPARUH AKHIR MALAYSIA MELAWAN THAILAND PADA HARI AHAD 9 DISEMBER 2012 JAM 8.00 MALAM DI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL.

Adalah dimaklumkan bahawa maklumat penjualan tiket untuk menyaksikan Perlawanan Separuh Akhir Piala AFF Suzuki yang tersebut adalah seperti berikut:

DI STADIUM NASIONAL,BUKIT JALIL
Pada 7 dan 8 Disember 2012, dari jam 9 Pagi hingga 7 Malam.
Pada 9 Disember 2012, dari jam 9 Pagi hingga perlawanan bermula.

DI STADIUM SHAH ALAM
Pada 7 dan 8 Disember 2012 sahaja, dari jam 9 Pagi hingga 7 Malam.

HARGA TIKET
Harga tiket adalah RM40 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.
Tempat duduk bebas.



Mampukah Gajah Putih dijinakkan?


Menentang Thailand, adalah ujian sebenar buat Rajagobal dan pemainnya, ia juga akan menjadi kayu pengukur di dalam menilai sejauh mana kekuatan pasukan ini yang dikatakan skuad impian yang mempunyai potensi layak ke Piala Asia 2015 sepertimana sering digembar-gemburkan oleh Raja.

Sama ada sedar tiada harapan tinggi boleh diletakkan apabila turun menentang Thailand, atau mahu merendah diri, Rajagobal memilih jalan selamat dengan berkata : “Lihat Thailand, mereka pasukan yang sangat kuat. Kami sudah berada di separuh akhir, dan kita tidak rugi apa-apa. Saya akan persiapkan pasukan seperti biasa dan kita akan hadapi mereka tanpa terlalu memikirkan tentang menang atau kalah.”

Dan seolah-olah masih bersandarkan kepada sejarah silam, Rajagobal berkata : “Mereka adalah pasukan yang kuat, mempunyai kepantasan, bagus dari aspek teknikal, taktikal, tetapi itu bukan bermakna kami akan takut. Dalam bolasepak apa sahaja boleh terjadi, lihat sahaja dua tahun lepas. Adakah awak jangka kami akan muncul juara selepas dibelasah 5-1 pada perlawanan pertama? Saya tahu apa taktik yang perlu diterap ketika menentang Thailand, dan pemain saya akan membuktikannya di atas padang.”


Apapun, kita juga perlu mengakui skuad negara tampil lebih impresif pada dua perlawanan selepas kekalahan kepada Singapura, terutamanya pada kelibat Mahali yang mengambil alih posisi Bunyamin Umar, Wan Zack Haikal dan Azamudin yang cemerlang di kedua-dua sayap, Zubir Azmi yang menyisihkan Azmi Muslim serta Shakir Shaari yang mantap di posisi tengah bertahannya.

Cuma, gandingan Norsharul Idlan Talaha dan Safee sahaja yang agak membimbangkan ketika ini apabila terhasil hanya satu gol di antara mereka meskipun digandingkan bersama dalam kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan – sampai bila Raja akan terus menaruh kepercayaan dan bersabar pada ketika dia juga memiliki penyerang meningkat naik, Ahmad Hazwan Bakri di dalam pasukan?

Andai setiap kelemahan, terutamanya ketepatan hantaran dan kekurangan idea serta kreativiti untuk mencipta gerak berbahaya dapat diperbaiki selain kelebihan yang dimiliki di kedua-dua posisi sayap dapat dimanfaatkan sebaiknya, tidak mustahil Malaysia dapat menyingkirkan Thailand yang sebelum ini mara ke aksi final 2007 dan 2008.

Liga Super 2013 : Hai-O yakin 4 teratas sasaran relevan


Artikel yang saya nukil pada penghujung November lalu, telah diupload di portal ATM FA dan baru hari ini saya sempat untuk siarkannya di Suara Sukan. 

Kapten berpengaruh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar percaya pasukannya mempunyai segala rencah yang diperlukan untuk mencabar kelompok elit Liga Super musim depan, dan optimis ATM mempunyai potensi yang baik untuk mengintai kedudukan empat teratas di sebalik status selaku pendatang baru.


Meskipun kehilangan beberapa pemain tonggak yang menjadi tulang belakang kejayaan menjuarai saingan Liga Perdana 2012 dan muncul finalis Piala Malaysia pada Oktober lalu - antaranya pasangan kembar serba popular, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak serta Azmi Muslim – Hairuddin atau lebih dikenali sebagai Hai-O tidak menganggap ia sebagai merencatkan kekuatan pasukan.

“Pemain datang dan pergi, itu adalah perkara biasa. Saya tidak anggap ia satu alasan, kerana bolasepak adalah permainan sepasukan, bukan bergantung kepada mana-mana pemain tertentu. Kita hilang 4 atau 5 pemain, tetapi kita juga ada bawa masuk 6 atau 7 pemain baru,” ujar Hai-O yang berkata belum tiba masanya untuk mendedahkan nama pemain-pemain baru tersebut disebabkan alasan teknikal.

Tambah Hai-O lagi : “Saya percaya pemain-pemain ini ada kelebihan mereka, ditambah dengan pemain sedia ada yang mana saya boleh katakan majoriti pemain tonggak memilih untuk kekal bersama pasukan ini, jadi tidak timbul soal kekuatan pasukan terencat dan sebagainya. Tempoh masa yang kita ada akan kita pergunakan sebaiknya untuk membentuk sebuah pasukan mantap dan Coach Sathia tentunya peka apa kelemahan yang perlu diatasi.

“Memang saya tidak nafikan Liga Super satu cabaran baru buat ATM, tetapi kebanyakan pemain di dalam pasukan ini adalah pemain berpengalaman dan pernah merasai pengalaman beraksi di Liga Super dan tahap tertinggi, pernah melalui tekanan dan suasana permainan yang sama.

“Sememangnya satu cabaran besar untuk kita bersaing dengan pasukan seperti Kelantan, Lions, Selangor yang memiliki pengalaman dan sudah beraksi lebih lama di tahap tertinggi. Tetapi dengan persiapan yang berjalan lancar ketika ini, serta tahap keyakinan tinggi rakan sepasukan yang sudah kembali berlatih sejak seminggu lalu, saya rasa berada di kelompok 4 terbaik adalah sasaran relevan,” katanya yang tidak mahu memperkecilkan kemampuan pasukan lain seperti Perak dan Johor yang turut memperkasakan pasukan dengan kehadiran pemain-pemain bintang dalam skuad mereka.  

Hai-O memilih untuk kekal bersama ATM buat musim kedua berturut-turut meskipun spekulasi bertiup kencang mengatakan pemain berusia 32 tahun ini bakal kembali menyarung jersi negeri kelahirannya, Terengganu sekaligus membuktikan komitmennya terhadap ATM bukanlah sesuatu yang perlu diragui.

Harimau mengaum, Thailand halangan terbesar Rajagobal


Malaysia bangkit mengetepikan permulaan sumbang dek kekalahan berat 0-3 kepada Singapura dengan dua kemenangan bergaya ke atas Laos dan Indonesia untuk mengesahkan kemaraan ke semifinal selaku naib juara Kumpulan B, namun halangan terbesar Malaysia dalam misi mempertahankan Piala AFF Suzuki tidak lain tidak bukan adalah juara tiga kali, Thailand.


Kegagalan menjuarai Kumpulan B di sebalik kelebihan beraksi di tempat sendiri serta status selaku juara bertahan, bermakna Malaysia gagal mengelak pertembungan menentang gergasi Asia Tenggara itu yang kini di ranking nombor 1 AFF - Thailand menjuarai Kumpulan A dengan muncul satu-satunya pasukan yang meraih mata maksimum apabila memenangi kesemua tiga perlawanan menentang Myanmar, Filipina dan Vietnam sekaligus membayangkan hasrat merampas semula kejuaraan yang kali terakhir mereka julang 10 tahun lalu, iaitu pada 2002.

Tetapi persoalan ketika ini bukan mengenai persiapan Thailand, sebaliknya skuad kebangsaan kendalian Datuk K.Rajagobal – setelah dikritik hebat peminat, pemerhati dan para penganalisis sukan berikutan kepincangan dalam persiapan menghadapi kejohanan dwitahunan ini termasuk seri menentang Bangladesh dan Hong Kong, harus diakui tidak banyak harapan diletakkan ke atas mereka walaupun sekadar untuk mara melepasi halangan peringkat kumpulan.

Skuad negara tidak menyerlahkan potensi sebenar dan sekadar beraksi di bawah par, malah Rajagobal sendiri selepas dua tahun kejayaan menjulang Piala AFF buat kali pertama, masih tidak mempunyai barisan impian dan tercari-cari keserasian dan formula ampuh untuk mengembalikan reputasi Harimau yang tercalar hebat dek kejatuhan ranking dunia - justeru tidak hairanlah apabila mereka berterusan menjadi sasaran kritikan peminat yang kecewa dengan situasi tersebut.

Laungan ‘Raja, apa kau dah buat’ lantang kedengaran dinyanyikan Ultras Malaya ketika skuad kebangsaan diperbudakkan Shahril Ishak dan rakan sepasukannya berusia 42 tahun, Aleksandar Duric sehinggakan Rajagobal memilih untuk mempersalahkan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat sebagai punca kekalahan itu.

Malah permulaan perlahan ketika menentang Laos juga hampir memakan diri jika tidak kerana aksi lebih bertenaga di babak kedua yang membolehkan kita menang menerusi jaringan sepakan percuma Safiq Rahim, Safee Sali, Wan Zack Haikal dan Khyril Muhaimeen Zambry sebelum meneruskan ngauman garang itu ketika menyingkirkan finalis dua tahun lalu, Indonesia 2-0 menerusi gol jaringan Azamudin Akil dan Mahali Jasuli.

Namun, dilihat dari perspektif berbeza – kemenangan ke atas Laos tidaklah boleh dibanggakan, sejak sebelum sepak mula kita memang sudah dijangka tidak akan bermasalah untuk menjinakkan Laos apatah lagi mereka merupakan pasukan paling kerdil di dalam kumpulan, hakikat bahawa mereka berjaya mengikat Indonesia 2-2 tidak mencerminkan kekuatan mereka kerana Indonesia sendiri, sejak 2010 bergelut dengan pelbagai kemelut dalam arena bolasepak mereka.

Pengharaman Liga Super Indonesia menyaksikan mereka kehilangan majoriti pemain berpengaruh dan berpengalaman, terpaksa membariskan rata-ratanya pemain mentah dari Liga Perdana Indonesia dan jika bukan kerana tradisi, pertemuan menentang Indonesia tidaklah begitu hebat untuk diperkatakan apatah lagi daripada sebuah pasukan jagoan Asia Tenggara, mereka kini berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia.

Kini, sasaran awal Rajagobal untuk membawa pasukan negara ke semifinal sudah tercapai dan setidak-tidaknya pengendali berusia 56 tahun berjaya menutup mulut pengkritik buat masa ini – cuma persoalannya bagi sebuah negara yang turun dengan reputasi selaku juara bertahan, dan pemenang pingat emas Sukan Sea di dua edisi lalu 2009 dan 2011, apakah sasaran semifinal merupakan sasaran terbaik yang boleh diletakkan?

Apapun, ini bukan masanya untuk kita mengkritik dan menyelar Rajagobal mahupun pasukan kebangsaan yang kita sayangi kerana para pemain memerlukan sokongan padu kita seluruh rakyat Malaysia dan peminat bolasepak tempatan untuk turut bersama mereka ketika aksi timbal balik semifinal mendebarkan menentang pilihan utama kejohanan itu pada 9 dan 13 Disember nanti.

Tuesday, October 23, 2012

Subra layak dinobat pertahanan terbaik negara

Kelibatnya bisa menghadirkan gerun pertahanan lawan, malah Fernando Torres dan Didier Drogba pun tidak dapat melepasi kekangannya, dia adalah satu-satunya pemain yang beraksi penuh 90 minit menentang Chelsea tahun lalu, namun dalam tiga aksi final sejak 2011 – dua Piala FA dan satu final Piala Malaysia – S.Subramaniam mendapati badi kecederaan yang menghantuinya sukar untuk dibuang jauh menyaksikan kelibatnya tiada di atas padang setiap kali wisel penamat tiga aksi final itu ditiup.

Itu tidak sedikitpun menganggu gugat hakikat kehebatan pemain pertahanan Kelantan berasal dari Perak ini, dan tidak keterlaluan andai dikatakan dialah nadi utama keutuhan barisan pertahanan Kelantan sejak dua musim yang lalu, dan pemain yang layak dinobatkan pertahanan terbaik negara ketika ini.

360images
Bukan mahu memperkecil keupayaan pemain pertahanan tengah lain seperti Obinna Nwaneri dan Rizal Fahmi Rosid di Kelantan, atau Aidil Zafuan, Fadhli Shas, Muslim Ahmad dan Amiridzwan Taj di kem kebangsaan, namun Subra nyata memiliki ‘fear-factor’ yang menjadikannya lebih istimewa dan mempunyai kelebihan tersendiri sehinggakan sukar untuk penyerang lawan menembusi benteng terakhir Kelantan apabila dia beraksi.

Pertahanan TRW hanya konsisten dan mantap apabila ada kelibat pemain berusia 27 tahun ini. Buktinya dapat disaksikan sendiri pada perlawanan final Piala Malaysia menentang ATM tempoh hari, di mana KURANG SEMINIT Subra diusung keluar padang akibat kecederaan lutut, dan digantikan oleh Rizal Fahmi, ATM berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rezal Zambery Yahya.  

Pertahanan Kelantan kelihatan agak goyah selepas Subra keluar, dan ATM yang hanya SEKALI menyerang di babak pertama, kali ini memanfaatkan sebaiknya ketiadaan pertahanan kental itu untuk melakukan asakan bertali arus ke kubu sang kijang – beza yang nyata.

Ironinya pada aksi final Piala FA musim lalu, faktor Subra ini jugalah yang memainkan peranan penting apabila Kelantan bolos dua gol lewat kepada Terengganu seterusnya tewas 1-2.

Jurulatih Terengganu ketika itu, Irfan Bakti secara terang-terangan mendedahkan kepincangan sebenar Kelantan terserlah apabila Subra dikeluarkan (baca di sini) sekaligus membuktikan betapa besarnya pengaruh pemain yang pernah memakai lilitan lengan selaku ketua pasukan di Sukan Sea Korat 2007 di bawah bimbingan B.Sathianathan.

Untuk dua musim berturut-turut juga, barisan pertahanan Kelantan adalah yang terbaik dalam Liga Malaysia, mereka memboloskan jumlah keseluruhan 37 gol dalam semua pertandingan musim 2011 (41 perlawanan) dan jumlah yang sama juga untuk musim 2012 (44 perlawanan).  

Mungkin ada juga yang berpendapat pertahanan seperti Aidil dan Amir juga telah menunjukkan permainan yang baik musim ini, tetapi perlu dinilai juga tahap kompetitif permainan liga perdana yang sekadar menampilkan pasukan seperti NS Betaria, Pos Malaysia, USM FC, Johor MBJB, MP Muar dan sebagainya.

Artikel ini bukanlah bertujuan mahu mengangkat Subra kerana dia pemain Kelantan (lagipun dia berasal dari Perak), tetapi yang penting dinilai PRESTASI KESELURUHAN MUSIM, BUKAN SATU DUA PERLAWANAN, harus diakui Subra adalah pertahanan terbaik negara. 

Pasangan kembar Aidil dan Zaquan berhijrah ke selatan tanah air

Naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan kehilangan khidmat dua pemain tonggak, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak yang memilih untuk berhijrah ke selatan tanah air untuk menyarung jersi Johor bagi saingan Liga Malaysia musim 2013.

360images
Perkara ini disahkan Ketua Jurulatih ATM, B. Sathianathan yang berkata kedua-dua pemain itu telah menghubunginya selepas tamat aksi final Piala Malaysia menentang Kelantan untuk memaklumkan tentang keputusan mereka itu.

“Ya, kita kehilangan dua pemain tonggak, walaupun saya sedikit terkilan kerana kedua-dua mereka telah bersetuju dengan apa yang ditawarkan pengurusan sebelum aksi final, malah berjanji dengan saya untuk kekal tetapi dalam dunia professional ini adalah perkara biasa. Apabila mereka dapat tawaran lebih tinggi kita tidak boleh buat apa-apa, mereka akan ubah fikiran di saat akhir dan kita tidak boleh sekat mereka.

“Apa sekalipun, saya ucapkan selamat berjaya kepada Aidil dan Zafuan, juga terima kasih di atas segala sumbangan mereka kepada pasukan selama semusim di sini. Aidil telah membentuk pertahanan yang mantap manakala Zaquan telah banyak meningkat dan menjadi tonggak pasukan selepas pulih dari kecederaan ACL, saya yakin mereka akan cemerlang bersama pasukan baru,” kata Sathianathan.

Ditanya sama ada kehilangan mereka akan merencatkan persiapan ATM untuk menghadapi saingan musim baru, apatah lagi Sathia baru sahaja melaungkan ATM akan bertambah kuat bagi saingan musim depan, ini respon beliau.

“Saya tidak berapa kisah untuk kehilangan dua pemain, kita masih mempunyai pemain lain yang boleh mengisi kekosongan itu, lainlah kalau saya hilang 7 atau 8 pemain. Saya juga akan membawa masuk pemain baru. Orang kata kita Manchester City Malaysia, tetapi ATM tidak akan bersaing dengan mana-mana pasukan yang mempunyai kekuatan kewangan untuk memancing pemain sebaliknya mencari pemain yang mahu berkhidmat untuk pasukan ATM.”   

Monday, October 22, 2012

Sathia : ATM lebih bagus dan akan bertambah bagus

Jurulatih ATM, B. Sathianathan tidak dapat menahan rasa amarah dan kecewanya selepas kegagalan menjulang trofi Piala Malaysia – ini dapat disaksikan sendiri melalui reaksi dank omen yang dilontarkannya ke kem Kelantan selepas tamt permainan apabila dia mendakwa pemain Kelantan lembik seperti buah nangka buruk kerana kerap sangat terjatuh dan mengalami kecederaan.
Namun, pengendali berpengalaman itu tidak mahu membazir masa mengenangkan episod duka sebaliknya mengalih tumpuan kepada saingan musim depan dan memberi amaran bahawa pasukannya akan kembali lebih gagah sebagai pendatang baru Liga Super.
360 images
“Saya bangga dengan kesungguhan pemain-pemain saya. Kami bermain lebih baik pada babak kedua dan pada masa tambahan. Kami mencipta banyak peluang tapi Kelantan pula menyempurnakan satu peluang pada masa tambahan untuk mendapat gol kemenangan.”
"Kami telah mengecapi satu musim yang baik dan saya amat pasti, tahun depan juga sama. Saya memiliki sebuah skuad yang mantap, sebahagian besar pemain akan dikekalkan dan saya merancang untuk mungkin menambah tiga lagi muka baru, tahun depan kami akan bertambah kuat,” kata jurulatih yang membawa Kelantan menjulang trofi Piala Malaysia pertama pada 2010 itu.
Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, ATM akan terus melabur untuk mendapatkan khidmat bintang berprofil tinggi dan tidak harus timbul soal ATM berbelanja besar untuk merekrut pemain baru ke dalam pasukan.
“Anda tidak boleh mengharapkan saya boleh membentuk pasukan untuk menjadi juara dalam tempoh setahun dengan mengharapkan pemain muda. Pemain muda terbaik yang ada di negara ketika ini semuanya bermain bersama Harimau Muda.”

Anugerah tidak bermakna buat Marlon

Dinobatkan anugerah ‘sharpshooter’ Piala Malaysia, sekadar hadiah sagu hati buat penjaring terbanyak, Marlon Alex James, yang terlepas peluang mendakap gelaran lebih besar, Piala Malaysia.
Penyerang dengan ketinggian 1.87m itu menjaringkan gol ke-12 dalam kempen Piala Malaysia apabila menanduk masuk sepakan percuma Rezal Zambery Yahya pada minit ke-62 pada ketika pasukannya ketinggalan 1-2 untuk mengheret pertarungan ke masa tambahan.
gambar : 360images
“Kekalahan adalah sebahagian daripada permainan ini. Kami tidak boleh terlalu kecewa tetapi perlu melihat aspek positif, saya meraih anugerah penjaring terbanyak kejohanan tapi ia lebih bermakna jika kami menang. Apapun saya berpuas hati ATM berjaya membuktikan kehebatan sebenar kerana sebelum perlawanan, jurulatih Kelantan menganggap kami pasukan ‘tua’ dan akan tidak bertenaga ketika di penghujung permainan.”
“Namun sebaliknya pasukan Kelantan yang dianggap ‘muda’ kerap jatuh di atas padang kerana kekejangan otot. Walaupun kami pasukan dari Liga Perdana, kami boleh memberikan tentangan sengit,” katanya yang menerima LCD Aquos jenama Sharp atas kejayaannya itu.
Meskipun tewas, Marlon tetap akan meninggalkan kenangan buat peminat ATM dengan sambutan keraian mencuit hati apabila mengendong anak patung sebagai meraikan anak yang bakal dilahirkan oleh isterinya yang lima bulan mengandung.
Kegagalan ATM turut meleburkan impian James memburu gelaran ketiga selepas menjulang trofi Piala Malaysia bersama Kedah pada musim 2006/07 dan 2007/08.

Tiada lagi magis Hai-O

Kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar terpaksa menelan hakikat betapa pentas final Piala Malaysia 2012 bukan miliknya.
Sejak lima musim lalu, nama Hairuddin Omar atau Hai-O sering meniti di bibir peminat sukan tanah air kerana tuahnya pada setiap final Piala Malaysia, apabila dia sentiasa memainkan peranan penting kepada faktor kemenangan pasukan yang diwakilinya.
360images
Dia melakar sejarah peribadi pada final kali ini apabila muncul sebagai pemain tempatan pertama beraksi sebanyak lima kali di pentas akhir selepas terdahulu tampil bersama tiga pasukan berbeza iaitu Terengganu (2001), Negeri Sembilan (2009 & 2011) dan Kelantan (2010) malah muncul juara dalam setiap penampilan final tersebut.
Justeru, tidak hairanlah untuk melihat kapten ATM itu kecewa dengan kekalahan pasukannya apatah lagi rakan-rakannya telah menunjukkan semangat melawan cukup tinggi, dan berpendapat kealpaan benteng pertahanan ATM sebagai punca harapan ATM menjulang Piala Malaysia buat pertama kali musnah.
"Apa yang saya dapat katakan, saya jelas kecewa dengan kekalahan ini. Ini pertama kali saya gagal dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. Kealpaan benteng dan kehilangan fokus membuka ruang kepada Kelantan untuk menjaringkan gol dan saya ucapkan tahniah kepada Kelantan.
"Namun saya bersyukur kerana ATM layak ke final, saya tahu semua penyokong hampa. Tetapi untuk sebuah pasukan underdog seperti ATM dengan rata-rata pemain baru, skuad yang baru dibentuk tahun ini mara ke final adalah pencapaian yang cukup hebat. Kepada para penyokong yang tidak henti-henti memberi sokongan, saya harap mereka tabah dan teruskan menyokong pasukan ini.”
Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini apabila hanya menandatangani kontrak semusim bersama skuad kendalian B. Sathianathan, Hairuddin berkata dia mahu berehat seketika sebelum membuat keputusan.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan ATM selepas ini, memang mereka mahu menawarkan kontrak baru tapi saya mahu meneliti dulu kontrak itu. Memang ada beberapa pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya, semua ini akan saya fikirkan selepas ini,” katanya yang enggan mendedahkan nama pasukan terbabit.

Matyo tepis kritikan

Artikel ini jugo diolah berdasarkan idea sendiri serta artikel nukilan beberapa rakan wartawan lain seperti Aziman Rosdi, Azlan Muhammad Zain dan Hilmie Hussain dari Harian Metro.
gambar : 360images
360 images 
Hampir sepanjang musim, prestasinya dicemuh dan dikritik peminat, dia bergelut untuk kembali ke prestasi sebenar selepas pulih daripada kecederaan dan pada ketika dia dilihat sudah kehilangan bisa yang mengangkatnya sebagai Pemain Paling Bernilai Liga-M musim lalu, Matyo memilih saat yang terbaik untuk memuncak sekaligus menutup mulut pengkritik yang mempertikai kredibilitinya.
Dua gol jaringan Matyo bukan sahaja menyaksikannya menemui semula sentuhan jaringan dan muncul wira TRW, tetapi turut diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan sekaligus keluar dari bayangan penyerang import, Mahmoud Ghaddar dan Norfarhan Mohamad.
“Ramai yang mengatakan ketiadaan Ghaddar dan Norfarhan akan menyukarkan kami. Namun saya bersama rakan sepasukan membuktikan ramalan itu silap. Saya cuba memberikan aksi terbaik dan ketika perlawanan terikat 2-2, jurulatih mengarahkan kami bermain seperti biasa dan melancarkan serangan. Bagi saya kunci kejayaan kami adalah semangat juang tinggi ditunjukkan semua pemain selain bermain sebagai satu pasukan di atas padang walaupun tanpa Ghaddar dan Farhan.”
Tambahnya : “Pentas final ini mengembalikan sentuhan jaringan dan ia adalah sangat penting untuk memberi keyakinan kepada saya bagi menghadapi Piala AFF bulan depan.”

Indra : Final terbaik saya
Wira Kelantan, Indra Putra berkata aksi final Piala Malaysia 2012 akan selamanya kekal sebagai kenangan terindah dalam hidupnya selepas gol jaringannya pada masa tambahan memisahkan kedua-dua pasukan dan berpendapat gol itulah membangkitkan semangat juang sebenar Kelantan.    
"Jaringan yang paling indah, paling manis dalam karier saya, ia cukup berharga buat pasukan. Jaringan itu adalah hasil semangat juang dan kesungguhan pemain Kelantan yang tidak pernah luntur. Kami menunjukkan bahawa kami tidak pernah berputus asa walaupun ATM dua kali bangkit menyamakan kedudukan, faktor itulah yang membantu kami muncul juara. Jika selama ini tuah berpihak kepada Hai-O, kali ini tuah berpihak kepada Indra," katanya yang merupakan pemain sezaman dengan Hairuddin Omar, kapten ATM.
Indra bagaimanapun masih berteka-teki mengenai masa depannya sama ada akan terus menyarung jersi TRW atau berpindah ke pasukan lain.

Piya kapten terbaik Kelantan sepanjang zaman
Kapten Kelantan, Badri Razi kini menjadi kapten paling berjaya dalam sejarah bolasepak Kelantan selepas berjaya mengemudi The Red Warriors meraih treble musim ini.
Selain mara ke suku akhir saingan Piala Konfederasi Bola Sepak (AFC) pada penampilan pertama, perancang tengah kreatif itu memastikan almari TRW musim ini lengkap dengan tiga trofi yang menjadi rebutan kancah bola sepak tempatan dan lebih membanggakan pemain berusia 30 tahun itu, tiga gol yang dihasilkan Kelantan dalam pentas final Piala Malaysia berpunca daripada hantarannya.
360 images
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang lain kerana mencipta sejarah dengan meraih treble buat kali pertama dalam sejarah bola sepak Kelantan. Kejayaan yang diraih musim ini adalah sesuatu yang membanggakan. Semua pemain telah memberikan aksi bertenaga sepanjang perlawanan termasuk ketika masa tambahan 30 minit bagi memastikan Piala Malaysia kembali ke Kelantan selepas dimenangi Negeri Sembilan musim lalu.
“Pada 10 minit pertama kami bermain secara berhati-hati sehinggalah mendapat gol pertama namun kami terlalu yakin sehingga membenarkan ATM kembali menyamakan kedudukan dua kali. Jadi saya harap pada musim depan kami akan terus memberikan aksi yang lebih baik,” katanya.
Kejayaan tiga piala musim ini melengkapkan transformasi Kelantan yang dimulakan Presiden Kafa yang kini menjalani penggantungan, Tan Sri Annuar Musa bermula dengan gelaran naib juara Piala Malaysia dan FA pada 2009.

Julang Piala Malaysia, Kelantan bukti reputasi selaku kuasa besar bolasepak tanah air

Selain idea sendiri, artikel ini turut diolah berdasarkan beberapa laporan media tempatan terutamanya nukilan Dayne Azmin, wartawan Utusan Malaysia dek kerana kesuntukan masa.

Kelantan mengesahkan reputasi hebat mereka selaku kuasa besar bolasepak tanah air dengan menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun sekaligus melengkapkan kejuaraan treble musim ini selepas muncul juara Piala FA dan Liga Super.

gambar : 360 images
gambar : 360 images
The Red Warriors menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, menerusi gol kemenangan jaringan pemain veteran sensasi, Indra Putra Mahayuddin pada minit keenam masa tambahan – gol yang menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 seterusnya menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam kalendar bolasepak Kelantan.
Indra yang tidak dikawal menyambut hantaran Badri Razi menerusi satu gerakan pantas dari tengah padang, sebelum melepaskan rembatan kencang ke gawang kawalan Farizal Harun – dalam aksi 90 minit permainan, ATM terdahulu dua kali bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan kepada jaringan pemain terbaik perlawanan, Norshahrul Idlan Talaha.
Norshahrul atau lebih popular dengan panggilan Matyo, menjadi duri dalam daging buat pasukan ATM bimbingan B.Sathianathan sejak dari sepak mula dan hampir dua kali membolosi gawang ATM dalam tempoh 15 minit pertama, namun dinafikan ketangkasan Farizal.
Perlawanan selepas 20 minit babak pertama bagaimanapun bertukar sedikit hambar kedua-dua pasukan dilihat lebih menampilkan permainan berhati-hati, dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang sebelum hadir gol pembukaan Matyo pada minit ke-44 apabila penyerang kebangsaan itu menyudahkan gerakan dari sebelah kanan diilhamkan Badri.

Faktor Subra punca pertahanan goyah
ATM bagaimanapun tidak menanti lama untuk membalas jaringan tersebut, apabila tiga minit bersambung babak kedua, bekas pemain Kelantan dan Negeri Sembilan, Rezal Zambry Yahya melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk mengikat kedudukan – malang buat Kelantan kerana gol itu terhasil tidak sampai seminit selepas pertahanan kental mereka, S.Subramaniam dikeluarkan kerana kecederaan lutut dan digantikan Rizal Fahmi Rosid.
Kelantan bagaimanapun mengambil masa kurang seminit untuk kembali mendahului, sekali lagi menerusi Matyo yang bijak memperdaya K.Reuben namun semangat juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan dua pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.
Penyerang veteran prolifik ATM, Marlon Alex James menyerlahkan betapa pertahanan Kelantan pincang tanpa kelibat Subra apabila menanduk masuk gol penyamaan hasil hantaran sepakan percuma Rezal pada minit ke-62.   
Kedudukan kekal 2-2 sehingga tamat permainan, dan Kelantan muncul pemenang selepas mengharungi aksi tegang dalam tambahan masa 30 minit, berikutan beberapa keputusan berat sebelah dan kontroversi oleh pengadil, Nafeez Wahab, malah hampir terjadi pergaduhan ketika minit akhir masa tambahan apabila pemain ATM bertindak meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir Shaari yang cedera diberikan rawatan.
Sebaik wisel penamat ditiup, Kelantan muncul pasukan ketiga selepas Selangor dan Kedah untuk menjulang tiga piala dalam semusim.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra adalah antara yang hadir menyaksikan final bersama-sama hampir 90,000 penonton itu. 

Saturday, October 13, 2012

Sathia : Impian Bertemu Kelantan Termakbul


Artikel ini disumbangkan Harris rajahdin, rakan karib penulis.

IMPIAN pengendali Angkatan Tentera Malaysia, B Sathianathan untuk bertemu pasukan lamanya, Kelantan pada final Piala Malaysia menjadi kenyataan apabila The Red Warriors menempah tiket selepas menyingkirkan Selangor 3-0 secara agregat pada separuh akhir kedua semalam.

Sathia yang mendedahkan hasrat untuk bertemu bekas pasukannya selepas membawa ATM mara ke final pertama sejak 46 tahun berada di Stadium Shah Alam untuk menyaksikan anak buah Bojan Hodak meraih kemenangan 2-0 menerusi jaringan Mohammed Ghaddar pada minit ke-84 dan ketua pasukan, Badhri Radzi (m-90).


Timbal balik pertama di Stadium Sultan Mohammad IV berakhir dengan keputusan 1-0 dengan juara berganda itu yang memburu misi treble itu meneruskan rekod cemerlang mereka beraksi dalam 4 final dalam 5 musim sejak 2008.

“Terbukti Kumpulan B adalah ‘Kumpulan Maut’ pada kempen Piala Malaysia pada kali ini. Sehingga sekarang saya masih menyatakan bahawa Kelantan adalah pasukan yang terbaik di Malaysia.

“Kelantan adalah pasukan yang berpengalaman. Kedua-dua perlawanan kami di peringkat kumpulan adalah yang paling sukar buat kami sepanjang musim ini,” tambahnya.

Sedikit kelegaan buat Sathia berikutan Ghaddar, yang bertindak solo mengatasi tiga pertahanan sebelum menyungkit bola melepasi Norazlan Razali dan Norfarhan Muhammad yang tidak dapat beraksi pada final, 20 Oktober ini di Shah Alam berikutan penggantungan.

Namun, Sathia turut terkilan dengan ketiadaan bek tengah, Irwan Fadly Idrus yang terpaksa diketepikan selepas menerima kad kuning pada perlawanan getir menentang Lions XII tempoh hari.

“Sungguh pun Ghaddar dan Norfarhan tidak dapat beraksi, mereka masih memiliki pemain lain yang mampu mencipta masalah buat kami. Tanpa Piya (Badhri) sekali pun (yang masuk sebagai pemain gantian) mereka masih memilki senjata ampuh untuk menewaskan Selangor.

“Kami akan merasai kehilangan Irwan Fadly. Dia adalah pemain kami yang paling konsisten di bahagian pertahanan. Saya mungkin menurunkan Taj (Amiridzwan) atau Reuben untuk mengisi kekosongan di bahagian itu,” katanya.

Norfarhan : Kami tidak bermimpi di siang hari, tapi akan terlepas aksi final


Dia adalah penjaring terbanyak Kelantan bagi kedua-dua saingan berstatus piala, tetapi nasib tampak tidak menyebelahi winger comes forward kesayangan The Red Warriors, Norfarhan Mohd yang akan sekali lagi terlepas aksi final pada musim 2012, kali ini Piala Malaysia apabila layangan kad kuning ketika kemenangan 2-0 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam menyaksikannya akan menjalani penggantungan automatic satu perlawanan.

farhan terkilan lagi. foto kredit : BERNAMA
Norfarhan yang beraksi cemerlang meledak 5 gol di Piala Malaysia, nyata cukup kecewa dengan situasi tersebut yang disifatkannya sebagai satu daripada kekecewaan terbesar dalam kariernya.

“Memang saya kecewa sangat-sangat, cukup terkilan, ini kali kedua saya terlepas final, saya sudah memberikan yang terbaik kepada pasukan tetapi bila tiba time final jer mesti tak boleh main, tapi saya gembira kerana walau apapun kita sudah membuktikan kita tidak bermimpi di siang hari, Ghaddar menjaringkan gol yang cantik, manakala kemasukan Badri menambah derita Selangor. Walaupun saya tak dapat bermain nanti, saya percaya kawan-kawan akan memberikan komitmen lebih 100% untuk memastikan Kelantan muncul juara treble musim ini,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Farhan sebelum ini terlepas beraksi dalam aksi final Piala FA pada Mei, apabila Bojan Hodak lebih berminat menggandingkan Norsharul Idlan yang baru pulih ketika itu denga Ghaddar di barisan depan, meskipun rekod jaringan Farhan ketika itu cukup baik. Pada perlawanan itu yanga mana Kelantan menewaskan Sime Darby 1-0, dia sepatutnya dimasukkan ketika saingan berbaki 15 minit untuk berakhir tetapi kecederaan Daudsu Jamaludin menyaksikan Farhan berputih mata untuk diturunkan.

Turut akan terlepas aksi final, wira Piala FA, Mohd Ghaddar yang turut dilayangkan kad kuning.

Ghaddar turut terlepas final. foto kredit : BERNAMA
Pada perlawanan separuh akhir kedua itu, Selangor turun dengan misi mencatat kemenangan 2 gol tanpa balas atau kemenangan dengan defisit dua gol bagi menghidupkan Misi33 mereka, tetapi sekadar menyaksikan misi itu berkubur di tangan pahlawan merah.

Kedua-dua pasukan tidak begitu menyerlah di babak pertama, dengan layangan badan Khairul Fahmi Che Mat untuk menyelamatkan percubaan jarak jauh Amri Yahyah dilihat satu-satunya percubaan pada 45 minit pertama – tempo permainan sedikit berubah di babak kedua namun baik Selangor mahupun Kelantan gagal untuk mencari sentuhan penyudah sehinggalah minit ke-85 apabila hasil satu gerakan yang boleh disifatkan sebagai TAMAK dan pentingkan diri sendiri, Ghaddar yang menerima bola membawa masuk ke dalam kawasan penalti sebelum memperdaya pertahanan Selangor, kemudiannya melambungkan bola melepasi Norazlan Razali yang sudahpun terpaku.

Badri Razi melengkapkan kemenangan mutlak pelawat, apabila sepakan percuma dari luar kawasan penalti – jaringan yang mengingatkan kita kepada gol hampir sama ketika menewaskan Selangor 2-0 dalam Piala Sumbangsih musim lalu – menerjah jaring pada masa kecederaan, sekaligus mematikan langkahan Selangor.

Bagi Bojan Hodak : “Kami menunjukkan karakter yang baik sepanjang perlawanan, satu lagi kemenangan dalam laluan mengejar treble, dan belum boleh bergembira selagi misi itu tidak tercapai, apapun saya kagum dengan determinasi pemain, kita hanya perlukan seri untuk layak, malah hingga 5 minit terakhir saya nampak kita akan pulang dengan keputusan seri, tapi mereka menyudahkannya dengan kemenangan. “ 

Friday, October 12, 2012

COBRA Bariskan Pasukan Lebih Mantap

Di sebalik saingan yang dijangka sengit, Combined Old Boys Rugby Association atau lebih dikenali sebagai COBRA tidak gentar di dalam menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke final Kejohanan Ragbi 10-Sebelah HSBC-COBRA yang akan berlangsung pada 10 dan 11 November depan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.



Pengurus pasukan yang juga Ketua Jurulatih skuad ragbi kebangsaan, Boon Hoon Chee berkata sasaran itu dilihat realistik andai mengambil kira persiapan pasukan, selain semangat tinggi di kalangan pemain yang mahu menebus duka dikecewakan di pentas final musim lalu.

“Saya percaya kita di berada di landasan tepat untuk mengulangi pencapaian mara ke final, itu sasaran pertama kita dan berdasarkan apa yang saya lihat ketika ini, tiada masalah untuk pemain-pemain COBRA melakukannya walaupun beberapa pasukan dari China (Shanghai FC), juara bertahan dari United Kingdom (Penguin), Impala dan Cape Town dilihat hadir dengan persiapan rapi ke kejohanan kali ini.

“Kita akan mendapat kepakaran dua bekas pemain All Black (New Zealand) iaitu Duncan Robertson dan Jeff Matheson yang akan tiba di sini minggu depan, mereka bersama kita sejak 5 tahun yang lalu dan dalam tempoh itu juga kita telah layak ke final sebanyak 3 kali, manakala menang kali terakhir pada 2008. Kondisi pemain juga berada pada tahap terbaik, ada beberapa pemain kita ketika ini sedang beraksi di pertandingan luar negara, jadi semuanya berada di landasan tepat,” kata Hoon Chee yang ditemui pada sidang media kejohanan di ibu negara, pada Jumaat.

Hoon Chee juga menjelaskan bahawa COBRA akan dapat menurunkan barisan pemain yang lebih mantap pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, dengan adanya 10 pemain kebangsaan di dalam pasukan, iaitu adunan 3 pemain dari Fiji dan selebihnya pemain tempatan yang diyakini pengalaman mereka.

Ada di antara mereka sedang beraksi di Kejohanan 7-sebelah di Mumbai, iaitu Mohd Shahir Asraff, Mohd Saizul Hafiz, K.Dineshvaran, Mohd Amin Jamaludin dan Mohamad Nazeer Mohamad Nesharah.  

Sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan di kejohanan yang memasuki edisi ke-43 ini, dengan Malaysia akan menampilkan tiga lagi pasukan tempatan selain COBRA, iaitu ASAS RC, NS Wanderers dan Sabah Borneo Eagles, termasuk juga penyertaan pertama kali sebuah pasukan yang berpangkalan di Perancis.

Tahun lalu, COBRA sekadar berpuas hati dengan kedudukan naib juara selepas tunduk kepada Penguin International 10-12 justeru Hoon Chee mahu pemainnya membuktikan mereka adalah sebuah pasukan yang sudah jauh meningkat pada tahun ini, dalam masa sama tidak mahu pemainnya memandang rendah keupayaan  pasukan lawan.

“Memang kita memiliki rekod yang baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi pemain kita perlu membuktikan sesuatu dan tidak terbuai dengan ekspetasi tinggi yang diletakkan. Bagi saya setiap pasukan ada kelemahan dan kekuatan mereka, jadi saya mahu kita manfaatkan kekuatan kita dan eksploitasi kelemahan mereka, ini peluang yang baik untuk kita buktikan kita sudah melangkah lebih jauh ke depan.”

Sementara itu, HSBC Bank Malaysia Berhad meneruskan komitmen mereka di dalam memartabatkan sukan ragbi apabila menyumbangkan RM250,000 seterusnya mencatat nama sebagai penaja utama kejohanan ini, buat tahun ketujuh berturut-turut sejak 2005.


Pada majlis penyerahan penajaan yang berlangsung tengah hari tadi, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Krishnan Tan berkata berkata sumbangan daripada HSBC membuktikan keprihatinan mereka di dalam membantu mengembalikan reputasi sukan ragbi yang merudum sejak beberapa tahun lepas, dan berharap kerjasama ini akan berterusan untuk jangka masa panjang.

Beliau juga berharap hadiah wang tunai lumayan USD10,000 akan menjadi tonik buat pemain COBRA untuk menunjukkan semangat juang tinggi seterusnya muncul juara.

Pengarah Urusan HSBC Bank Malaysia Berhad, Roni Abdul Wahab pula berkata : “Kerjasama antara HSBC dan COBRA sudah lama terjalin, dan sekali lagi kami berbangga untuk menjadi penaja utama kejohanan ini yang memasuki edisi ke-43. Kami mempunyai semangat yang tinggi untuk membangunkan sukan ragbi dari akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi.

“Ini adalah sukan yang menyerlahkan erti persahabatan dan semangat kesukanan serta mengalakkan semangat berpasukan, integrity, daya saing yang tinggi serta keikhlasan, sekaligus menepati apa yang HSBC perjuangkan. Kami akan teruskan sokongan ini untuk jangka panjang.”

Marlon : Jaringan terpenting musim ini


PENJARING terbanyak Piala Malaysia 2012, Marlon Alex James sudah meledakkan 11 gol tetapi tiada yang lebih penting selain jaringannya dalam separuh akhir timbal balik kedua menentang Lions XII kelmarin.

Tandukan pemain berusia 35 tahun itu pada detik terakhir tempoh lima minit masa kecederaan memberikan nafas kedua buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di ambang penyingkiran selepas ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Agu Casmir pada minit ke-27.


ATM yang terikat 2-2 menerusi agregat akhirnya menempah tiket ke final menerusi penentuan penalti yang berpihak kepada mereka 5-4, seterusnya menamatkan penantian 46 tahun untuk beraksi di pentas perlawanan akhir.

“Sudah tentu ia adalah gol yang paling penting dalam kempen Piala Malaysia pada kali ini kerana ia membawa kami mara ke final. Dalam bola sepak, kita tidak seharusnya berputus asa kerana keadaan boleh berubah dalam sekelip mata,” kata pemain kelahiran St Vincent & Grenadines itu.

Penyerang tinggi lampai yang bakal membuat penampilan ketiganya di final selepas membantu Kedah merangkul treble berganda pada dua musim berturut-turut, 2006/07 & 2007/08 menyifatkan kemenangan itu sebagai sinonim dengan jolokan mereka sebagai ‘Manchester City Malaysia’.

“Kami dikenali sebagai ‘Manchester City Malaysia’ jadi ini adalah cara terbaik buat kami untuk meraih kemenangan,” katanya secara berseloroh.

Pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim lalu, Manchester City memerlukan jaringan masa kecederaan Sergio Aguero untuk meraih kemenangan 3-2 ke atas Queens Park Rangers, seterusnya membolehkan mereka memintas jiran, Manchester United ke gelaran EPL.

“Tetapi kami berharap untuk tidak mengulangi persembahan ini pada perlawanan akhir akan datang,” katanya.

Thursday, October 11, 2012

Dramatik Finale! ATM Mara Penuh Keajaiban

Sebelum kita berjaya,
Jangan harap kami pulang!
Inilah sumpah pendekar kita,
Menuju medan bakti!

KEAJAIBAN! Itulah perkataaan terbaik untuk menggambarkan kejayaan dramatik Angkatan Tentera Malaysia ke atas Singapura, 5-4 menerusi sepakan penalti untuk melayakkan diri ke final Piala Malaysia buat kali pertama sejak kejohanan bola sepak domestik terulung tanah air bertukar nama daripada Piala HMS Malaya pada 1967.

foto kredit : BERNAMA
Ketika harapan tampak pudar buat 30,000 penyokong ATM yang membanjiri Stadium Majlis Perbandaran Selayang, ketika pemain simpanan Lions XII menantikan tiupan wisel penamat untuk menyerbu masuk, ketika tinggal hanya beberapa detik sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil, Samsudin Ibrahim, ketika itulah keajaiban dijelmakan oleh wira-wira ATM.

Ketika sebilangan penyokong sudah mula keluar dari stadium dengan kekecewaan selepas menyaksikan pasukan mereka dikejutkan gol Agu Casmir pada babak pertama, pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak enggan berputus asa sambil terdetik doa di dalam hatinya: “Ya Allah, kalau ada rezeki buat kami, masukkan bola itu ke dalam gol.”

Dan doanya termakbul apabila penyerang tinggi lampai kelahiran St Vincent & Grenadines, Marlon Alex James menanduk masuk hantaran lintang Aidil melepasi penjaga gol Izwan Mahbud pada aksi serangan terakhir untuk memberikan nyawa kedua buat ATM.

foto : BERNAMA
Jaringan itu pada minit kelima masa kecederaan, adalah yang ke-11 buat Marlon sepanjang saingan Piala Malaysia dan pastinya yang paling penting buat dirinya sejak menyertai ATM musim ini.

Gol itu menyaksikan perubahan momentum berpihak kepada ATM dengan pemain tampak lebih berkeyakinan diiringi penyokong kembali berpadu dalam satu suara, digerakkan oleh kumpulan Ultras dengan penuh semangat dalam menuju misi kemaraan ke final.

Masa tambahan milik ATM dengan serangan bertali arus dilancarkan ke kubu Lions XII, dibantu dengan penyingkiran Isa Halim pada minit ke-95 berikutan kesalahan kad kuning kedua.

Namun tiada jaringan lagi mampu dihasilkan ke atas barisan 10 pemain Lions XII dengan nasib kedua-dua pasukan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Marlon tampil dulu dan tenang menyempurnakan sepakannya tetapi percubaan Aidil kemudiannya diselamatkan untuk meninggalkan pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu rebah ke tanah dengan penuh kekecewaan.

Begitu pun, perjuangan ATM masih belum berakhir dengan Mohd Farizal Harun bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan kaki kiri Saiful Esah. Kedua-dua pasukan menamatkan siri sepakan penalti mereka dengan kedudukan 4-4 memaksa perlawanan diheret ke sudden death penalti.

Drama tidak berakhir di sana dengan sepakan A Varanthan singgah ke palang sebelum sekali lagi Farizal tampil menafikan pemain tinggi lampai, Baihakki Khaizan.

Kini tiba giliran Fitri Omar, yang masuk sebagai pemain gantian dan penyerang yang beralih ke posisi pertahanan itu membuktikan dia masih belum kehilangan sentuhan penyudahnya apabila menyumbat penalti ketujuh.

Tekanan yang diletakkan pada bahu Yasir Hanapi dilihat terlalu berat dengan sepakan pemain pertahanan itu sekadar singgah di tiang kiri untuk menamatkan penantian 46 tahun sejak penampilan terakhir di pentas perlawanan akhir pada 1946.

“Ia bukan nasib, kami memang berhak menang. Pada 20 minit pertama mereka menguasai perlawanan tetapi kami mula mendapat peluang selepas itu,” kata pengendali B Sathianathan yang merencanakan kemaraan ke final ketiga selepas penampilan Kelantan pada 2009 & 2010.

“Kita akan menikmati saat ini dulu sebelum memikirkan mengenai perlawanan akhir. Saya tidak kisah pemain saya gagal menyempurnakan penalti, asalkan kami menang. Penentuan penalti diibaratkan seperti Russian roulette,” tambahnya.

Lebih manis, kejayaan itu disusuli dengan habuan RM50,000 yang diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah yang juga Pemerintah Tertinggi ATM sejurus perlawanan berakhir.