Pautan Suara Sukan

Monday, October 22, 2012

Julang Piala Malaysia, Kelantan bukti reputasi selaku kuasa besar bolasepak tanah air

Selain idea sendiri, artikel ini turut diolah berdasarkan beberapa laporan media tempatan terutamanya nukilan Dayne Azmin, wartawan Utusan Malaysia dek kerana kesuntukan masa.

Kelantan mengesahkan reputasi hebat mereka selaku kuasa besar bolasepak tanah air dengan menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun sekaligus melengkapkan kejuaraan treble musim ini selepas muncul juara Piala FA dan Liga Super.

gambar : 360 images
gambar : 360 images
The Red Warriors menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, menerusi gol kemenangan jaringan pemain veteran sensasi, Indra Putra Mahayuddin pada minit keenam masa tambahan – gol yang menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 seterusnya menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam kalendar bolasepak Kelantan.
Indra yang tidak dikawal menyambut hantaran Badri Razi menerusi satu gerakan pantas dari tengah padang, sebelum melepaskan rembatan kencang ke gawang kawalan Farizal Harun – dalam aksi 90 minit permainan, ATM terdahulu dua kali bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan kepada jaringan pemain terbaik perlawanan, Norshahrul Idlan Talaha.
Norshahrul atau lebih popular dengan panggilan Matyo, menjadi duri dalam daging buat pasukan ATM bimbingan B.Sathianathan sejak dari sepak mula dan hampir dua kali membolosi gawang ATM dalam tempoh 15 minit pertama, namun dinafikan ketangkasan Farizal.
Perlawanan selepas 20 minit babak pertama bagaimanapun bertukar sedikit hambar kedua-dua pasukan dilihat lebih menampilkan permainan berhati-hati, dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang sebelum hadir gol pembukaan Matyo pada minit ke-44 apabila penyerang kebangsaan itu menyudahkan gerakan dari sebelah kanan diilhamkan Badri.

Faktor Subra punca pertahanan goyah
ATM bagaimanapun tidak menanti lama untuk membalas jaringan tersebut, apabila tiga minit bersambung babak kedua, bekas pemain Kelantan dan Negeri Sembilan, Rezal Zambry Yahya melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk mengikat kedudukan – malang buat Kelantan kerana gol itu terhasil tidak sampai seminit selepas pertahanan kental mereka, S.Subramaniam dikeluarkan kerana kecederaan lutut dan digantikan Rizal Fahmi Rosid.
Kelantan bagaimanapun mengambil masa kurang seminit untuk kembali mendahului, sekali lagi menerusi Matyo yang bijak memperdaya K.Reuben namun semangat juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan dua pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.
Penyerang veteran prolifik ATM, Marlon Alex James menyerlahkan betapa pertahanan Kelantan pincang tanpa kelibat Subra apabila menanduk masuk gol penyamaan hasil hantaran sepakan percuma Rezal pada minit ke-62.   
Kedudukan kekal 2-2 sehingga tamat permainan, dan Kelantan muncul pemenang selepas mengharungi aksi tegang dalam tambahan masa 30 minit, berikutan beberapa keputusan berat sebelah dan kontroversi oleh pengadil, Nafeez Wahab, malah hampir terjadi pergaduhan ketika minit akhir masa tambahan apabila pemain ATM bertindak meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir Shaari yang cedera diberikan rawatan.
Sebaik wisel penamat ditiup, Kelantan muncul pasukan ketiga selepas Selangor dan Kedah untuk menjulang tiga piala dalam semusim.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra adalah antara yang hadir menyaksikan final bersama-sama hampir 90,000 penonton itu. 

No comments:

Post a Comment