Pautan Suara Sukan

Friday, October 12, 2012

Marlon : Jaringan terpenting musim ini


PENJARING terbanyak Piala Malaysia 2012, Marlon Alex James sudah meledakkan 11 gol tetapi tiada yang lebih penting selain jaringannya dalam separuh akhir timbal balik kedua menentang Lions XII kelmarin.

Tandukan pemain berusia 35 tahun itu pada detik terakhir tempoh lima minit masa kecederaan memberikan nafas kedua buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di ambang penyingkiran selepas ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Agu Casmir pada minit ke-27.


ATM yang terikat 2-2 menerusi agregat akhirnya menempah tiket ke final menerusi penentuan penalti yang berpihak kepada mereka 5-4, seterusnya menamatkan penantian 46 tahun untuk beraksi di pentas perlawanan akhir.

“Sudah tentu ia adalah gol yang paling penting dalam kempen Piala Malaysia pada kali ini kerana ia membawa kami mara ke final. Dalam bola sepak, kita tidak seharusnya berputus asa kerana keadaan boleh berubah dalam sekelip mata,” kata pemain kelahiran St Vincent & Grenadines itu.

Penyerang tinggi lampai yang bakal membuat penampilan ketiganya di final selepas membantu Kedah merangkul treble berganda pada dua musim berturut-turut, 2006/07 & 2007/08 menyifatkan kemenangan itu sebagai sinonim dengan jolokan mereka sebagai ‘Manchester City Malaysia’.

“Kami dikenali sebagai ‘Manchester City Malaysia’ jadi ini adalah cara terbaik buat kami untuk meraih kemenangan,” katanya secara berseloroh.

Pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim lalu, Manchester City memerlukan jaringan masa kecederaan Sergio Aguero untuk meraih kemenangan 3-2 ke atas Queens Park Rangers, seterusnya membolehkan mereka memintas jiran, Manchester United ke gelaran EPL.

“Tetapi kami berharap untuk tidak mengulangi persembahan ini pada perlawanan akhir akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment