Pautan Suara Sukan

Thursday, October 11, 2012

Dramatik Finale! ATM Mara Penuh Keajaiban

Sebelum kita berjaya,
Jangan harap kami pulang!
Inilah sumpah pendekar kita,
Menuju medan bakti!

KEAJAIBAN! Itulah perkataaan terbaik untuk menggambarkan kejayaan dramatik Angkatan Tentera Malaysia ke atas Singapura, 5-4 menerusi sepakan penalti untuk melayakkan diri ke final Piala Malaysia buat kali pertama sejak kejohanan bola sepak domestik terulung tanah air bertukar nama daripada Piala HMS Malaya pada 1967.

foto kredit : BERNAMA
Ketika harapan tampak pudar buat 30,000 penyokong ATM yang membanjiri Stadium Majlis Perbandaran Selayang, ketika pemain simpanan Lions XII menantikan tiupan wisel penamat untuk menyerbu masuk, ketika tinggal hanya beberapa detik sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil, Samsudin Ibrahim, ketika itulah keajaiban dijelmakan oleh wira-wira ATM.

Ketika sebilangan penyokong sudah mula keluar dari stadium dengan kekecewaan selepas menyaksikan pasukan mereka dikejutkan gol Agu Casmir pada babak pertama, pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak enggan berputus asa sambil terdetik doa di dalam hatinya: “Ya Allah, kalau ada rezeki buat kami, masukkan bola itu ke dalam gol.”

Dan doanya termakbul apabila penyerang tinggi lampai kelahiran St Vincent & Grenadines, Marlon Alex James menanduk masuk hantaran lintang Aidil melepasi penjaga gol Izwan Mahbud pada aksi serangan terakhir untuk memberikan nyawa kedua buat ATM.

foto : BERNAMA
Jaringan itu pada minit kelima masa kecederaan, adalah yang ke-11 buat Marlon sepanjang saingan Piala Malaysia dan pastinya yang paling penting buat dirinya sejak menyertai ATM musim ini.

Gol itu menyaksikan perubahan momentum berpihak kepada ATM dengan pemain tampak lebih berkeyakinan diiringi penyokong kembali berpadu dalam satu suara, digerakkan oleh kumpulan Ultras dengan penuh semangat dalam menuju misi kemaraan ke final.

Masa tambahan milik ATM dengan serangan bertali arus dilancarkan ke kubu Lions XII, dibantu dengan penyingkiran Isa Halim pada minit ke-95 berikutan kesalahan kad kuning kedua.

Namun tiada jaringan lagi mampu dihasilkan ke atas barisan 10 pemain Lions XII dengan nasib kedua-dua pasukan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Marlon tampil dulu dan tenang menyempurnakan sepakannya tetapi percubaan Aidil kemudiannya diselamatkan untuk meninggalkan pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu rebah ke tanah dengan penuh kekecewaan.

Begitu pun, perjuangan ATM masih belum berakhir dengan Mohd Farizal Harun bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan kaki kiri Saiful Esah. Kedua-dua pasukan menamatkan siri sepakan penalti mereka dengan kedudukan 4-4 memaksa perlawanan diheret ke sudden death penalti.

Drama tidak berakhir di sana dengan sepakan A Varanthan singgah ke palang sebelum sekali lagi Farizal tampil menafikan pemain tinggi lampai, Baihakki Khaizan.

Kini tiba giliran Fitri Omar, yang masuk sebagai pemain gantian dan penyerang yang beralih ke posisi pertahanan itu membuktikan dia masih belum kehilangan sentuhan penyudahnya apabila menyumbat penalti ketujuh.

Tekanan yang diletakkan pada bahu Yasir Hanapi dilihat terlalu berat dengan sepakan pemain pertahanan itu sekadar singgah di tiang kiri untuk menamatkan penantian 46 tahun sejak penampilan terakhir di pentas perlawanan akhir pada 1946.

“Ia bukan nasib, kami memang berhak menang. Pada 20 minit pertama mereka menguasai perlawanan tetapi kami mula mendapat peluang selepas itu,” kata pengendali B Sathianathan yang merencanakan kemaraan ke final ketiga selepas penampilan Kelantan pada 2009 & 2010.

“Kita akan menikmati saat ini dulu sebelum memikirkan mengenai perlawanan akhir. Saya tidak kisah pemain saya gagal menyempurnakan penalti, asalkan kami menang. Penentuan penalti diibaratkan seperti Russian roulette,” tambahnya.

Lebih manis, kejayaan itu disusuli dengan habuan RM50,000 yang diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah yang juga Pemerintah Tertinggi ATM sejurus perlawanan berakhir.

No comments:

Post a Comment