Pautan Suara Sukan

Friday, October 12, 2012

COBRA Bariskan Pasukan Lebih Mantap

Di sebalik saingan yang dijangka sengit, Combined Old Boys Rugby Association atau lebih dikenali sebagai COBRA tidak gentar di dalam menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke final Kejohanan Ragbi 10-Sebelah HSBC-COBRA yang akan berlangsung pada 10 dan 11 November depan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.



Pengurus pasukan yang juga Ketua Jurulatih skuad ragbi kebangsaan, Boon Hoon Chee berkata sasaran itu dilihat realistik andai mengambil kira persiapan pasukan, selain semangat tinggi di kalangan pemain yang mahu menebus duka dikecewakan di pentas final musim lalu.

“Saya percaya kita di berada di landasan tepat untuk mengulangi pencapaian mara ke final, itu sasaran pertama kita dan berdasarkan apa yang saya lihat ketika ini, tiada masalah untuk pemain-pemain COBRA melakukannya walaupun beberapa pasukan dari China (Shanghai FC), juara bertahan dari United Kingdom (Penguin), Impala dan Cape Town dilihat hadir dengan persiapan rapi ke kejohanan kali ini.

“Kita akan mendapat kepakaran dua bekas pemain All Black (New Zealand) iaitu Duncan Robertson dan Jeff Matheson yang akan tiba di sini minggu depan, mereka bersama kita sejak 5 tahun yang lalu dan dalam tempoh itu juga kita telah layak ke final sebanyak 3 kali, manakala menang kali terakhir pada 2008. Kondisi pemain juga berada pada tahap terbaik, ada beberapa pemain kita ketika ini sedang beraksi di pertandingan luar negara, jadi semuanya berada di landasan tepat,” kata Hoon Chee yang ditemui pada sidang media kejohanan di ibu negara, pada Jumaat.

Hoon Chee juga menjelaskan bahawa COBRA akan dapat menurunkan barisan pemain yang lebih mantap pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, dengan adanya 10 pemain kebangsaan di dalam pasukan, iaitu adunan 3 pemain dari Fiji dan selebihnya pemain tempatan yang diyakini pengalaman mereka.

Ada di antara mereka sedang beraksi di Kejohanan 7-sebelah di Mumbai, iaitu Mohd Shahir Asraff, Mohd Saizul Hafiz, K.Dineshvaran, Mohd Amin Jamaludin dan Mohamad Nazeer Mohamad Nesharah.  

Sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan di kejohanan yang memasuki edisi ke-43 ini, dengan Malaysia akan menampilkan tiga lagi pasukan tempatan selain COBRA, iaitu ASAS RC, NS Wanderers dan Sabah Borneo Eagles, termasuk juga penyertaan pertama kali sebuah pasukan yang berpangkalan di Perancis.

Tahun lalu, COBRA sekadar berpuas hati dengan kedudukan naib juara selepas tunduk kepada Penguin International 10-12 justeru Hoon Chee mahu pemainnya membuktikan mereka adalah sebuah pasukan yang sudah jauh meningkat pada tahun ini, dalam masa sama tidak mahu pemainnya memandang rendah keupayaan  pasukan lawan.

“Memang kita memiliki rekod yang baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi pemain kita perlu membuktikan sesuatu dan tidak terbuai dengan ekspetasi tinggi yang diletakkan. Bagi saya setiap pasukan ada kelemahan dan kekuatan mereka, jadi saya mahu kita manfaatkan kekuatan kita dan eksploitasi kelemahan mereka, ini peluang yang baik untuk kita buktikan kita sudah melangkah lebih jauh ke depan.”

Sementara itu, HSBC Bank Malaysia Berhad meneruskan komitmen mereka di dalam memartabatkan sukan ragbi apabila menyumbangkan RM250,000 seterusnya mencatat nama sebagai penaja utama kejohanan ini, buat tahun ketujuh berturut-turut sejak 2005.


Pada majlis penyerahan penajaan yang berlangsung tengah hari tadi, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Krishnan Tan berkata berkata sumbangan daripada HSBC membuktikan keprihatinan mereka di dalam membantu mengembalikan reputasi sukan ragbi yang merudum sejak beberapa tahun lepas, dan berharap kerjasama ini akan berterusan untuk jangka masa panjang.

Beliau juga berharap hadiah wang tunai lumayan USD10,000 akan menjadi tonik buat pemain COBRA untuk menunjukkan semangat juang tinggi seterusnya muncul juara.

Pengarah Urusan HSBC Bank Malaysia Berhad, Roni Abdul Wahab pula berkata : “Kerjasama antara HSBC dan COBRA sudah lama terjalin, dan sekali lagi kami berbangga untuk menjadi penaja utama kejohanan ini yang memasuki edisi ke-43. Kami mempunyai semangat yang tinggi untuk membangunkan sukan ragbi dari akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi.

“Ini adalah sukan yang menyerlahkan erti persahabatan dan semangat kesukanan serta mengalakkan semangat berpasukan, integrity, daya saing yang tinggi serta keikhlasan, sekaligus menepati apa yang HSBC perjuangkan. Kami akan teruskan sokongan ini untuk jangka panjang.”

No comments:

Post a Comment