Pautan Suara Sukan

Saturday, October 13, 2012

Norfarhan : Kami tidak bermimpi di siang hari, tapi akan terlepas aksi final


Dia adalah penjaring terbanyak Kelantan bagi kedua-dua saingan berstatus piala, tetapi nasib tampak tidak menyebelahi winger comes forward kesayangan The Red Warriors, Norfarhan Mohd yang akan sekali lagi terlepas aksi final pada musim 2012, kali ini Piala Malaysia apabila layangan kad kuning ketika kemenangan 2-0 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam menyaksikannya akan menjalani penggantungan automatic satu perlawanan.

farhan terkilan lagi. foto kredit : BERNAMA
Norfarhan yang beraksi cemerlang meledak 5 gol di Piala Malaysia, nyata cukup kecewa dengan situasi tersebut yang disifatkannya sebagai satu daripada kekecewaan terbesar dalam kariernya.

“Memang saya kecewa sangat-sangat, cukup terkilan, ini kali kedua saya terlepas final, saya sudah memberikan yang terbaik kepada pasukan tetapi bila tiba time final jer mesti tak boleh main, tapi saya gembira kerana walau apapun kita sudah membuktikan kita tidak bermimpi di siang hari, Ghaddar menjaringkan gol yang cantik, manakala kemasukan Badri menambah derita Selangor. Walaupun saya tak dapat bermain nanti, saya percaya kawan-kawan akan memberikan komitmen lebih 100% untuk memastikan Kelantan muncul juara treble musim ini,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Farhan sebelum ini terlepas beraksi dalam aksi final Piala FA pada Mei, apabila Bojan Hodak lebih berminat menggandingkan Norsharul Idlan yang baru pulih ketika itu denga Ghaddar di barisan depan, meskipun rekod jaringan Farhan ketika itu cukup baik. Pada perlawanan itu yanga mana Kelantan menewaskan Sime Darby 1-0, dia sepatutnya dimasukkan ketika saingan berbaki 15 minit untuk berakhir tetapi kecederaan Daudsu Jamaludin menyaksikan Farhan berputih mata untuk diturunkan.

Turut akan terlepas aksi final, wira Piala FA, Mohd Ghaddar yang turut dilayangkan kad kuning.

Ghaddar turut terlepas final. foto kredit : BERNAMA
Pada perlawanan separuh akhir kedua itu, Selangor turun dengan misi mencatat kemenangan 2 gol tanpa balas atau kemenangan dengan defisit dua gol bagi menghidupkan Misi33 mereka, tetapi sekadar menyaksikan misi itu berkubur di tangan pahlawan merah.

Kedua-dua pasukan tidak begitu menyerlah di babak pertama, dengan layangan badan Khairul Fahmi Che Mat untuk menyelamatkan percubaan jarak jauh Amri Yahyah dilihat satu-satunya percubaan pada 45 minit pertama – tempo permainan sedikit berubah di babak kedua namun baik Selangor mahupun Kelantan gagal untuk mencari sentuhan penyudah sehinggalah minit ke-85 apabila hasil satu gerakan yang boleh disifatkan sebagai TAMAK dan pentingkan diri sendiri, Ghaddar yang menerima bola membawa masuk ke dalam kawasan penalti sebelum memperdaya pertahanan Selangor, kemudiannya melambungkan bola melepasi Norazlan Razali yang sudahpun terpaku.

Badri Razi melengkapkan kemenangan mutlak pelawat, apabila sepakan percuma dari luar kawasan penalti – jaringan yang mengingatkan kita kepada gol hampir sama ketika menewaskan Selangor 2-0 dalam Piala Sumbangsih musim lalu – menerjah jaring pada masa kecederaan, sekaligus mematikan langkahan Selangor.

Bagi Bojan Hodak : “Kami menunjukkan karakter yang baik sepanjang perlawanan, satu lagi kemenangan dalam laluan mengejar treble, dan belum boleh bergembira selagi misi itu tidak tercapai, apapun saya kagum dengan determinasi pemain, kita hanya perlukan seri untuk layak, malah hingga 5 minit terakhir saya nampak kita akan pulang dengan keputusan seri, tapi mereka menyudahkannya dengan kemenangan. “ 

No comments:

Post a Comment