Meskipun bakal
kehilangan dua pemain tonggak yang akan mewakili pasukan remaja kebangsaan di
Kejohanan Bola Jaring Remaja di Brunei penghujung bulan ini, skuad bola jaring
Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor yakin mampu mencapai sasaran minima layak ke
aksi final.
Pengurus
pasukan, Azlin Kamsah berkata kecewa tersingkir awal pada 2011 mahu ditebus
oleh adunan pemain muda dan senior yang diletakkan harapan untuk menggalas
cabaran di edisi kali ini dan menyifatkan skuadnya berada dalam sesi persiapan
terbaik untuk mencapai sasaran itu.
“Saya yakin kita
telah belajar sesuatu menerusi kegagalan pada 2011, kita perlu perbaiki
kesilapan-kesilapan yang membawa kepada kekalahan. Itu kelemahan yang perlu
kita atasi kerana secara keseluruhan saya lihat semua pasukan adalah lebih
kurang, tiada yang terlalu kuat atau lemah jadi sasaran ini adalah realistik.
“Kita biasanya
mengadakan latihan pada hujung minggu, bermula 14 Jun depan kita akan mula
mengadakan latihan pusat sehinggalah SUKMA bermula. Penekanan aspek kecergasan
mahupun teknikal, segalanya berjalan lancar. Keyakinan di kem juga semakin
meningkat justeru kami hanya perlu fokus pada sesi persiapan,” katanya.
KL Juara SUKMA 2011 |
Pasukan Selangor
sebelum ini menjalani latihan di gelanggang terbuka Pejabat Daerah Petaling dan
sejak beberapa minggu lalu menukar pusat latihan mereka itu ke gelanggang
tertutup Kompleks Rakan Muda Klang, Kuala Selangor sebagai menyesuaikan diri
dengan venue sebenar pertandingan nanti.
Mengenai
pemilihan pemain, Azlin berkata pemantauan telah dilakukan dengan menilai
pemain yang beraksi di Liga IPT serta Kejohanan MASUM serta membuka peluang
kepada bakat-bakat berpotensi untuk memikat juri sebelum senarai akhir 12
pemain dimuktamadkan.
“Kita telah
membuka peluang kepada ramai pemain, kemudian memilih 15 yang terbaik sebelum
memuktamadkan 12 pemain terakhir pada hujung bulan Mei. Ia satu keputusan sukar
dibuat kerana semua adalah terbaik. Jadi, skuad yang dibentuk ini saya yakin
adalah skuad yang terbaik.”
No comments:
Post a Comment