Kecundang dua kali berturut-turut di peringkat separuh akhir
sebelum ini, skuad futsal Selangor berazam memastikan penampilan mereka di
Sukan Malaysia kali ini bukan sahaja dapat menghapus badi separuh akhir,
sebaliknya pulang dengan kilauan emas buat pertama kali.
Pengurus pasukan, K.Santhana Raju berkata episod kegagalan
lalu menjadi pembakar semangat barisan pemainnya dan mereka yang digalaskan
tanggungjawab kesemuanya berinspirasi tinggi untuk memastikan sasaran emas kali
ini dapat direalisasikan.
“Kekalahan musim lalu, memang sangat perit kerana kita hanya
beberapa minit dipisahkan dari final. Ketika itu kita sedang mendahului 5-3,
perlawanan sudah menuju penghujung tapi sedikit kelekaan sahaja kedudukan sudah
menjadi 5-5, dan kemudian dimenangi Negeri Sembilan. Pemain-pemain cukup
bersemangat mahu menebus kekalahan itu, itu janji mereka,” kata Santhana Raju.
skuad futsal Selangor. foto : duniasukan |
Menurut Santhana Raju, skuad bimbingan gabungan tiga
jurulatih Noraidi Azhar Sulaiman, Rashid Zainot dan Ruzaley Aziz ini tidak
memandang enteng cabaran mana-mana pasukan lawan sebaliknya berpendapat dengan
kehadiran pemain-pemain yang beraksi bersama kelab seperti PKNS dan MPSJ dalam
Liga Futsal Felda memberi kelebihan buat Selangor.
“Kita juga ada pemain yang bermain untuk skuad kebangsaan,
saya boleh katakan kali ini kita menghimpunkan antara barisan pemain terbaik
yang kita ada. Melihat kekuatan pasukan yang kita miliki serta adunan pemain
muda dan berpengalaman seperti Khairul Efendi dan Mohamad Izuwan, kita tidak
boleh tersasar daripada kilauan emas,” tambahnya.
Untuk
edisi kali ini yang disertai 12 pasukan, Selangor diundi sekumpulan bersama
pemenang pingat emas 2011, Johor, Perak dan Sabah - Johor muncul juara pada
2011 dengan menewaskan Negeri Sembilan pada aksi final manakala Sarawak
berkesudahan di tempat ketiga.
No comments:
Post a Comment