Artikel nukilan saya untuk Media ATM..
Persatuan
Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia mengucapkan setinggi takziah di atas
pemergian Allahyarham Kamarudin Mohd Nor, pembantu jurulatih pasukan yang
meninggal dunia pada 4 Jun kerana sakit jantung.
Antara tonggak senior
pasukan, Irwan Fadzly Idrus berkata dia masih lagi terkilan dengan pemergian
mengejut arwah yang disifatkannya sebagai seorang individu yang sangat rapat
dan mesra sebagai ‘Che Din’ di kalangan para pemain.
“Tidak saya
nafikan, pemergian beliau amat mengejutkan. Even pada hari beliau sakit, beliau
masih lagi meluangkan masa untuk bersama-sama pemain di padang latihan. Seorang
yang sangat tegas, susah untuk tengok beliau senyum di atas padang, tetapi di
luar kami semua mesra bagai satu keluarga dan tiada jurang antara kami.
“Saya setiap
hari akan duduk berborak dengan arwah, selepas latihan bersarapan pagi, beliau
selalu bercerita bahawa ketika sebagai pemain beliau tidak pernah menjulang
piala berprestij dan mahu kami di ATM menang piala yang besar seperti Liga
Super atau Piala Malaysia. Beliau nampak pasukan ini ada potensi dan masa depan
sangat baik, dan inilah peluang terbaik untuk melakukannya,” kata Irwan.
Jurulatih,
B.Sathianathan yang turut bersama-sama beberapa pegawai pasukan untuk memberi penghormatan
terakhir kepada Allahyarham yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Panji,
Kota Bharu, berkata kehilangan Che Din sesuatu yang sangat dirasai setiap
anggota pasukan.
“Saya kenal
beliau bukan setahun dua, bukan ketika menjadi jurulatih ATM sahaja, tetapi
sudah berpuluh tahun. Sejak 80-an kami sudah berkawan, kemudian saya
bekerjasama dengan dia di Kelantan, ketika itu arwah Pengarah Kejurulatihan
Kelantan, dan kami terus bersama apabila berkhidmat di ATM, memang satu
kehilangan yang besar.”
Sementara rakan
karib Allahyarham, Hamid Ramli yang juga jurulatih penjaga gol ATM berkata :
“Saya dan dia bukan semata-mata kenal satu sama lain atas dasar profesyen
sebagai jurulatih, tetapi kami berkawan baik sejak dia mula-mula kenal
bolasepak.
“Pada usia 18
tahun, dia adalah pemain termuda diserap ke skuad senior Kelantan, saya senior
dia masa tu. Kami sama-sama beraksi untuk Kelantan, dan sama-sama dalam skuad
kebangsaan. Kami menjadi rakan karib, dari zaman sebagai pemain hingga ke
bidang kejurulatihan. Atas dan di luar padang, malah di ATM ini juga kami
tinggal serumah.
“Memang ia satu
yang cukup menghibakan,” ujar Hamid yang sama-sama menganggotai skuad pemenang
emas Sukan Sea Jakarta 1979 bersama Allahyarham.
Untuk rekod,
Allahyarham Kamarudin menyertai ATM sebagai pembantu jurulatih kepada
Sathianathan pada 2012 dan terlibat antara tonggak yang membawa pasukan ini
menjuarai Liga Perdana 2012 seterusnya finalis Piala Malaysia dalam apa yang
disifatkan sebagai revolusi besar-besaran skuad ATM.
Segala sumbangan
Che Din amat kami hargai dan sekali lagi, terima kasih di atas segala jasa Che
Din di dalam mengangkat martabat ATM – jasamu dikenang.
No comments:
Post a Comment