Pengalaman luas dua perenang
kebangsaan, Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee Ying Huey menjadi taruhan
skuad renang berirama Selangor untuk mencapai sasaran membawa pulang dua pingat
emas dari temasya Sukan Malaysia ke-16 yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Pengurus pasukan, Yap Soon Kiat
yakin ia sasaran realistik dengan mengambil kira reputasi hebat Katrina dan
Zylane : “Tujuh pingat emas ditawarkan, tetapi sasaran minima kita dua emas.
Saya yakin ia boleh dicapai kerana kita mempunyai Katrina dan Zylane yang akan
mengetuai pasukan, mereka berpengalaman luas dan pernah mewakili negara dalam
banyak kejohanan antarabangsa.”
Katrina adalah kakak kepada Farah Ann |
“Kita juga telah melantik
jurulatih baru, Song Yi Xin sejak Ogos lalu di mana beliau mengendalikan
latihan sehingga lima atau enam sesi seminggu. Dahulunya, kita cuma berlatih
dua atau tiga sesi, jadi ini pastinya meningkatkan komitmen dan tahap kesediaan
perenang kita.
“Mereka juga banyak menunjukkan
peningkatan dan lebih banyak menunjukkan prestasi impresif sejak kebelakangan
ini. Ini bukan bermakna kita letak sasaran tinggi, kerana kita tidak mahu beri
tekanan kepada jurulatih tetapi kita percaya pada kemampuan perenang kita,”
kata Soon Kiat yang berharap pencapaian 3 pingat emas pada 2011 dapat diulangi.
Zylane Lee |
Selain Katrina dan Zylane yang
berlatih di Kompleks Akuatik Bukit Jalil, seramai 8 perenang lain disandarkan
harapan iaitu Kimberley Yap Jie Yee, Michellyn Jane, Jessie Kwong, Nur Amira
Amiruddin, Ng Lyn Sze, Lai Nicole, Tan Wei Yi dan Sharifah Zarifah Syed
Sharifudin di mana mereka meneruskan latihan intensif di Pusat Akuatik Darul
Ehsan.
Renang berirama yang dijadual
berlangsung selama 3 hari bermula 2 – 4 Julai depan akan menawarkan tujuh
pingat emas untuk direbut, iaitu dua menerusi acara solo (rutin bebas dan
teknikal), dua menerusi acara duet (rutin bebas dan teknikal), dua menerusi
acara berpasukan (rutin bebas dan teknikal) manakala satu menerusi acara
kombinasi berpasukan.
No comments:
Post a Comment