Perancang berpengaruh Angkatan Tentera Malaysia, Bruno
Sebastian Martelotto percaya kemenangan ke atas Kelantan pada aksi Piala Sultan
Ahmad Shah merupakan permulaan kepada satu lagi musim cemerlang finalis Piala
Malaysia 2012 itu dan menegaskan pencabar mereka dalam saingan Liga Super belum
lagi dipertontonkan dengan aksi sebenar ATM yang beraksi di bawah prestasi
sebenar ketika menewaskan juara treble itu.
foto : Ahmad Junaidi/365images |
“Saya gembira kami membuka kalendar tahun 2013 dengan
bergaya, ia sebenarnya aksi seimbang 50-50 dan walaupun hanya menang penalti
saya percaya kami belum menampakkan aksi sebenar kami. Ketika final Piala
Malaysia, kami bangkit dua kali selepas ketinggalan, dan ceritanya masih sama
kali ini.
“Apabila mereka (Kelantan) menjaringkan gol, kami
serlahkan perwatakan sebenar, mula menekan mereka dan memaksa mereka melakukan
kesilapan. Jika rentak seperti ini boleh diteruskan, tiada siapa boleh sekat
kami,” ujar pemain kelahiran Argentina yang menyempurnakan sepakan penalti
terakhir yang menghadiahkan kemenangan kepada The Gladiators.
Tambahnya lagi : “Kami dianggap budak mentah dalam
Liga Super, saya akui cabarannya adalah berbeza berbanding ketika menjuarai
Liga Perdana, kami perlu berusaha keras. Menentang Lions seawal perlawanan
pertama pastinya sangat sukar, tetapi pasukan ini memiliki semangat juang
tinggi, semangat tidak mudah mengalah. Saya pasti anda semua telah melihatnya
sendiri sejak tahun lalu.”
Menariknya, pada 2003, Martelotto membantu MPPJ
Selangor muncul pasukan kelab pertama menjuarai Piala Malaysia dan setahun
kemudian, dia sekali lagi cemerlang membantu pasukan itu muncul kelab pertama
menjulang Piala Sumbangsih – ibarat pembawa tuah, pemain berusia 30 tahun itu
menjadi antara tonggak B. Sathianathan dalam melakar gemilang bersama ATM menjuarai
Liga Perdana dan terbaru, Piala Sumbangsih juga buat kali pertama.
“Kami tidak mahu terlalu terbuai dengan apa yang telah
dicapai setakat ini sebaliknya akan terus meningkat dalam mencapai sasaran
menjulang tiga piala. Saya sudah menjulang Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dua
kali, trofi Liga Perdana pada musim lalu, sekarang saya mahu menambah Piala FA
dan Liga Super dalam koleksi saya dan mahu merealisasikannya bersama ATM.”
ATM akan membuka tirai Liga Super menentang naib juara
musim lalu, Lions XII pada 9 Januari di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi,
sebelum bertandang ke Stadium Shah Alam untuk menentang PKNS Selangor pada 12
Januari, dan kembali ke Paroi melayan kunjungan T-Team pada 15 Januari.
No comments:
Post a Comment