Nama mereka sudah mewarnai Liga Malaysia
sejak lebih sedekad yang lalu, tetapi Rezal Zambry Yahya dan Shukor Adan yang
kembali bergandingan dalam satu pasukan terus bernafsu besar dan bertekad
membuktikan usia bukan penghalang untuk mereka terus mencipta nama, mencipta
gemilang di arena bolasepak tempatan.
Rezal meraikan musim keduanya bersama The Gladiators dengan menampilkan aksi
berinspirasi ketika menundukkan Kelantan pada perlawanan Piala Sumbangsih,
manakala kehadiran Shukor – seorang lagi pemain berprofil tinggi berjaya
dipancing ATM dan beraksi pertama kali dalam jersi biru ATM menambah pengalaman
dan lebih keyakinan di barisan pertahanan skuad kendalian B.Sathianathan.
foto : Ahmad Junaidi/365images |
foto : Ahmad Junaidi/365images |
Aksi mereka di atas padang, membuktikan
kudrat masing-masing belum ‘berkarat’ dan lebih penting, semangat dan aspirasi
kedua-dua pemain berada di tahap cukup tinggi dan diyakini akan menjadi contoh
yang baik untuk membimbing pemain muda dalam pasukan seperti K.Reuben, Yusaini
Hafiz Che Saad, Mohd Afizze Faisal dan Syafiq Azri Ahmad Kamal.
Ironinya, dua pemain ini pernah mencipta
gandingan bersama pasukan kebangsaan di bawah bimbingan Norizan Bakar, meskipun
tidak lama dan kemudiannya bersama-sama mengangkat reputasi Negeri Sembilan
sebagai jagoan Piala Malaysia – muncul juara pada 2009 dan naib juara pada
2010, justeru faktor keserasian dan persefahaman dilihat bukanlah menjadi
masalah buat mereka sekaligus menjadi azimat berguna untuk dipertaruhkan
Sathianathan.
“Sebenarnya bukan hanya Rezal, tetapi saya,
Irwan Fadzly, Hairuddin, Farizal, kami semua pernah beraksi dalam satu pasukan,
bersama Negeri Sembilan. Kami sudah mengenali satu sama lain sejak sekian lama
dan membentuk gandingan cemerlang di sana.
“Saya harap tuah di Negeri Sembilan akan
mengiringi kami sekali lagi apatah lagi kami akan beraksi di Paroi, gelanggang
yang mempunyai pelbagai kenangan manis bagi kami dan kami mahu mengulanginya
bersama ATM, ia sudah tentu satu cabaran baru yang mana perlu kami hadapi
dengan mentaliti persis juara,” ujar Shukor, pemain versatile berusia 32 tahun
yang boleh beraksi di pelbagai posisi.
Manakala Rezal, 33 tahun pula berkata : “Saya
anggap menang Piala Sumbangsih dengan menundukkan Kelantan, sebagai kemenangan
moral buat pasukan dan percaya ia akan membangkitkan semangat rakan sepasukan
untuk mencipta kejayaan lebih gemilang tahun ini.
“Saya tahu ia bukan mudah, tetapi sudah
tentu kami mahu kehadiran ATM di Liga Super dirasai pasukan lawan dan kami
mempunyai skuad yang agak mantap. Adunan pemain muda dan berpengalaman pastinya
menjadikan ATM antara pasukan yang perlu diawasi tahun ini.”
Selain Rezal, barisan tengah skuad ATM
turut dibarisi kelibat kapten berpengaruh, Hairuddin Omar, pemain import, Bruno
Sebastian Martelotto, selain Shukor sendiri yang mempunyai kelebihan untuk
beraksi sebagai pemain defensif manakala pemain seperti Venice Elphi, Fitri
Omar, Christie Jayaseelan dan pemain muda meningkat naik dari skuad Piala
Presiden, Syazuan Hazani menjadi sandaran untuk menghadirkan ancaman dari
posisi sayap.
No comments:
Post a Comment