Wednesday, November 5, 2014

KLHC Terus Gah, Import Korea Perkuat Cabaran THT

Dengan catatan dua kemenangan dalam dua perlawanan, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) pantas meletakkan diri sebagai pasukan pilihan awal dalam kancah saingan Liga Hoki TNB-MHL musim ini.
   
Meskipun terpaksa berdepan saingan sengit yang disajikan Tenaga Nasional Berhad (TNB), THT tetap berjaya membawa pulang tiga mata dengan kemenangan 2-1.  

Jurulatih THT, Sarjit Singh mengakui pasukannya mungkin beraksi dibayangi sedikit perasaan ‘terlebih yakin’ pada perlawanan tersebut selepas membelasah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 7-0 pada perlawanan pertama.

Selain itu, Sarjit turut meratapi hakikat betapa skuadnya agak pincang  : “Kami tidak dapat senaraikan barisan pemain terbaik kerana kami hanya mempunyai 14 pemain. Malek (Engku Abd Malek) tersisih kerana cedera manakala lima pemain import kami dari Korea Selatan belum tiba minggu lepas.”

Begitupun, Sarjit mengesahkan lima pemain Korea itu - Kang Moon Kyu,  Seo Jong Ho, Kang Moon Kweon, Bae Jeong Seok, dan Jang Jong Hyun, sudahpun menyertai rakan sepasukan lain dalam sesi latihan dan akan diturunkan  ketika THT turun menentang Maybank pada Jumaat.  

Seo Jong Ho
“Mereka bersedia untuk diturunkan beraksi pada Jumaat, itu adalah apa yang boleh saya katakan dengan pasti.” tambahnya.

Sementara itu, kehebatan juara bertahan, KLHC pula dilihat cukup sukar untuk digugat dari perlawanan ke perlawanan.  Selepas kemenangan 5-3 ke atas TNB pada perlawanan Piala Sumbangsih, pasukan itu kemudiannya mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Maybank pada Ahad lalu.  

“Kami turun pada perlawanan itu (menentang Maybank) dengan hasrat mengutip tiga mata tetapi kami tidak jangkakan dapat mencatat kemenangan mudah. Kami bernasib baik untuk mendapat gol awal dan ia membuka ruang untuk kami terus memberi tekanan kepada mereka,” kata jurulatih KLHC, M. Dhaarma Raj.

Bercakap mengenai lawan mereka pada Jumaat ini, Sapura HC, Dhaarma berkata : “Walaupun kami akan menentang THT pada Ahad depan, kami akan pergi dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Buat masa ini, fokus kami adalah Sapura, ia sudah tentu satu perlawanan yang sukar.”

Dalam satu lagi perlawanan pada Jumaat, TNB akan turun menentang UniKL, dengan kedua-dua pasukan masih mencari kemenangan pertama mereka dalam saingan liga musim ini. 

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, berkata : “Secara keseluruhan saya merasakan kami telah beraksi dengan baik ketika menentang THT Ahad lalu. Ia perlawanan yang sengit dan kami memiliki banyak peluang yang baik, saya gembira dengan prestasi pemain-pemain saya. Seperkara yang perlu kami tingkatkan adalah sentuhan penyudah di depan gol yang dilihat masih tumpul.”

Selepas mengalami kekalahan memalukan 0-7 pada perlawanan pembukaan, UniKL tampil lebih meyakinkan ketika menentang Sapura. Mereka tidak bernasib baik untuk membawa pulang satu mata apabila menghadiahkan pukulan penalti pada lewat permainan yang membawa kepada kekalahan 2-1.

“Ianya persembahan yang jauh lebih baik dan bertenaga (menentang Sapura) berbanding perlawanan sebelumnya. Kami beraksi dengan lebih keyakinan dan akan terus menunjukkan aksi lebih baik apabila berdepan TNB nanti,” jelas jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

Jadual Perlawanan:


Jumaat: Sapura lwn KLHC (6.0ptg, Padang 1); UniKL lwn TNB (6.0pm, Padang 2); Maybank lwn Terengganu Hockey Team (8.0malam, Padang 2). Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

No comments: