Saturday, August 9, 2014

Tengku Nana sedia bawa transformasi dalam FAS

Transformasi menyeluruh perlu dilakukan di dalam Persatuan Bolasepak Selangor jika mahu kembali mengangkat martabat mereka bukan sahaja selaku gergasi bola sepak tanah air malahan di peringkat serantau, dan Tengku Haji Shakirinal’ Amin Sulaiman Shah bersedia untuk membawa pembaharuan itu andai diberi peluang untuk merealisasikannya.

Anakanda Tengku Panglima Diraja Selangor yang dikenali dengan panggilan Tengku Nana ini diketahui merupakan peminat setia skuad Gergasi Merah Kuning dan mula menunjukkan minat serius terhadap perkembangan bola sepak pasukan itu sejak bermula saingan musim 2014.

Dan kini beliau menterjemahkan kesungguhannya ke satu fasa lebih tinggi apabila bersedia menapak masuk untuk berada di dalam FAS sekiranya diberi peluang apabila berlangsungnya Kongress FAS tidak lama lagi.



Tanpa mahu memperkecilkan usaha yang telah dibuat individu-individu di dalam FAS, Tengku Nana berpendapat sudah tiba masanya bola sepak Selangor dipacu pengurusan professional yang efektif, energetik dan efisyen agar mereka tidak terus kekal di takuk lama, seterusnya mengembalikan era kegemilangan dan kecemerlangan sebagai pasukan paling berjaya dalam arena bola sepak tanah air.

"Demi kegemilangan dan kecemerlangan pasukan Selangor, dan strategi pengurusan yang lebih profesional dan efisyen, saya sanggup bekerjasama serta menggalas tanggungjawab dan amanah jika diberi peluang. Insha Allah."

Antara agenda utama yang pastinya berada dalam fokus Tengku Nana adalah memperkemaskan dan menyusun semula program pembangunan bola sepak Selangor – dari skuad senior hinggalah ke junior dengan menjulang seberapa banyak kejuaraan.

Tidak ketinggalan mengeratkan hubungan baik bersama ahli gabungan di semua peringkat, penelitian terhadap penganjuran bola sepak liga daerah, dan paling penting membina keyakinan di kalangan penaja untuk terlibat bersama bola sepak Selangor.

Tengku Nana tidak mahu mengambil sikap semata-mata mahu membidas atau menyalahkan sesiapa di atas kegagalan untuk mengulangi pencapaian dan reputasi lampau, sebaliknya mahu memikul tanggungjawab dan amanah demi memartabatkan bola sepak Selangor yang cukup disayanginya dan kini bersedia untuk menapak membawa angin perubahan demi sebuah kebangkitan. 

1 comment:

Unknown said...

assalamualaikum...
jemput melawat blog saya tentang kesihatan dan kecantikan :)

terima kasih bagi tumpang lalu sini.

menowizme.blogspot.com