Wednesday, November 12, 2014

ANAK DIDIK HAN JIAN KETUAI KEMARAAN

Dilihat sebagai platform untuk mencari dan mengetengahkan bakat-bakat baru dari kalangan remaja, Piala Axiata Junior menampilkan kumpulan pertama lapan pemain berbakatnya – empat lelaki dan empat wanita, yang muncul juara di peringkat negeri masing-masing selepas berakhirnya proses pemilihan minggu lalu.

Mendahului senarai, Wong Kin Pan, 15, yang mengatasi tentangan sengit daripada Abu Ubaidah pada perlawanan akhir kategori lelaki peringkat negeri Selangor di Akademi Badminton Michael di Puchong, Ahad lalu.  

Pelajar tingkatan empat Sekolah Antarabangsa Seri Sempurna di Cheras itu, yang mana gerak permainannya agak mirip dengan bintang badminton China, Chen Long, merakamkan kemenangan 21-13, 21-16 ke atas Abu Ubaidah dalam masa 40 minit menerusi ‘drop shots’ mengelirukan selain permainan jaring cukup baik untuk mara ke Pusingan Akhir Kebangsaan di Stadium Kuala Lumpur BA di Cheras pada 4 Disember.

Bakal menyertai Wong di Stadium KLBA bulan depan adalah pelajar SMJK Katholik, Petaling Jaya, Chen Ai Yin yang meraih 8A pada PMR tahun lalu. Pelajar berusia 16 tahun itu tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan Martina Leong Wei Chen menerusi kemenangan 21-9, 21-4.

Kin Pan (kiri) dan Ai Yen
“Ia perlawanan yang sukar di set yang pertama, tetapi saya mengekalkan ketenangan dan cuba untuk kurangkan kesilapan,” kata Wong, anak didik Juara Dunia 1985 dari China, Han Jian yang merupakan ketua jurulatih di Akademi Badminton Setia di Cheras. Han Jian juga merupakan ketua jurulatih ketika Malaysia memenangi Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1992.

“Saya telah berlatih di bawah panel kejurulatihan diketuai Han Jian dan hari ini saya cukup gembira dengan kemenangan pada aksi final ini. Saya berharap untuk mengekalkan prestasi saya ini apabila beraksi di Grand Finals,” tambahnya.  

Di Kelantan, Mohammad Akram Mohd Razi, 16, dan Tuan Nur Aina Nazirah Tuan Daud, 13, muncul juara masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita di Pusat Sukan Shape Up di Pengkalan Chepa 2, Kota Bharu.

Mohammad Akram dari SMK Putera di Kota Bharu mengalahkan Chan Wei Lun pada aksi akhir manakala Tuan Nur Aina, pelajar SMK Agama (1) Nurul Ittifak, Pasir Putih, menundukkan Ruhul Atifah Roslan.

Muhammad Shahfuan Mat Desa dan Hafizah Adila Hasran, kedua-duanya berusia 14 tahun, pula akan mewakili Terengganu pada Pusingan Akhir selepas muncul juara dalam kategori mereka manakala cabaran Pahang akan diketuai Nabeel Azriq Nazri, pemain berusia 13 tahun yang menewaskan Sam Victor, lawan yang dua tahun lebih tua daripadanya pada aksi akhir kategori lelaki. 

Skrip yang sama terhasil dalam aksi kategori wanita apabila Wong Jia Meng, 13, dari SMK Air Putih, Kuantan menampilkan aksi cukup bertenaga untuk menewaskan Izzati Nur Nadiah pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kelab Raket Kilas Kilat di Bandar Indera Mahkota.

Kesemua juara dan naib juara di peringkat Negeri menerima RM500 di atas usaha mereka manakala sekolah yang mereka wakili turut menerima RM300 sebagai token penghargaan.

Terbuka kepada pelajar sekolah menengah, lelaki dan wanita berusia di antara 13 ke 16 tahun, Pemilihan Piala Axiata Junior akan berlangsung pula di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan pada Sabtu dan Ahad ini. 

Pemain yang menyerlah di peringkat pemilihan awal akan bersaing untuk muncul juara peringkat negeri, dan kemudiannya merebut gelaran juara Piala Axiata Junior peringkat kebangsaan, sekaligus membuka laluan untuk bergelar bintang masa depan arena badminton tanah air.

Bekas pemain kebangsaan, Cheah Soon Kit, yang berpasangan dengan Yap Kim Hock untuk memenangi pingat perak acara beregu lelaki di Sukan Olimpik Atlanta 1996, bersama-sama panel penilainya akan memilih 12 pemain lelaki dan 12 pemain wanita pada pengakhiran pusingan awal untuk beraksi di Peringkat Akhir Kebangsaan. 

No comments: