Sejak pendedahan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong tentang kegagalan enam atlet olahraga negara menghadirkan diri melakukan pemeriksaan kesihatan di Institut Sukan Negara (ISN), pelbagai cerita lain pula terbongkar di kem olahraga negara, sekaligus menimbulkan 1001 persoalan mengenai kredibiliti Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia yang semakin tercalar reputasinya.
Ceritanya begini, baca laporan Harian Metro ditulis oleh Azlan Muhammad Zain, atau lebih dikenali sebagai Lebai Pa di kalangan rakan wartawan, so tak perlulah Suara Sukan ulang balik perkara sama. SS tidak menulis tentang perkara ini semalam kerana tidak mahu mendahului rakan wartawan lain dalam menyampaikan berita ini, lagipun masa tu belum cukup info.
Karim, hilang selepas menari |
Sejurus selepas pendedahan itu pada Rabu, SS cuba mendapatkan pandangan ‘orang kuat’ KOAM, Karim Ibrahim, malangnya beberapa SMS dihantar tidak berbalas, dan berbelas panggilan telefon tidak dijawab.
Sebagai makluman, pejabat KOAM tak sampai 50 meter pun dari pejabat penulis, dan tinjauan juga mendapati Karim tiada di pejabat.
Sebelum ini tidak pernah pula Karim tidak menjawab panggilan atau tidak membalas SMS selama ini, malah akan menghubungi semula jika ada miscall. Sehari sebelum pendedahan oleh Dato Zol, Karim datang ‘menari-nari riang’ di pejabat penulis, justeru apabila dia memilih untuk ‘melarikan’ / ‘menghilangkan’ diri, bukankah ia nampak seperti ada yang tidak kena?
Dan hari ini, salah seorang daripada 6 atlet negara yang ‘menghilangkan’ diri dari menjalani pemeriksaan kesihatan di ISN semalam, mendedahkan bahawa mereka berbuat demikian atas arahan Ketua Jurulatih, Harun Rashid.
Arahan Harun itu menyebabkan mereka tidak berfikir panjang, memilih untuk bersarapan pagi dan kemudiannya terus pulang, dengan menyangkakan ujian doping tersebut, adalah ujian pemeriksaan kesihatan biasa yang lazim dilakukan seperti sebelumnya.
Dan sebagai membuktikan mereka tidak bersalah, dia bersama dua lagi rakan, hari ini datang menjalani ujian tersebut, atas nasihat daripada Dato Zol, selain mahu membersihkan nama yang tercemar sejak perkara ini didedahkan.
Tambahnya, Harun juga selalu membekalkan ‘supplemen’ yang diperolehi dari luar negara, dengan menjelaskan ia hanyalah untuk membantu menaikkan prestasi mereka namun dia (Harun) sendiri tidak tahu adakah ‘supplemen’ itu mengandungi bahan terlarang. Setakat itu saja cerita dari SS, biar rakan media lain cerita yang selanjutnya, mereka lebih tahu.
Dato Zol pula menjelaskan ada di antara atlet ini mendedahkan bahawa mereka cuba dihantar ke Bulgaria, dengan kadar segera tanpa melakukan ujian pemeriksaan kesihatan, selain ianya cuba dilakukan dengan kadar segera tanpa melalui Majlis Sukan Negara (MSN), manakala cubaan mendapatkan maklumbalas Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim belum berhasil, kerana beliau tidak mahu menjawab pertanyaan diutarakan.
Apakah benar penggunaan dadah terlarang kembali menjangkiti arena sukan tanah air, wallahuallam, namun jika tidak mahu pelbagai persepsi buruk timbul selepas ini, KOAM harus tampil ke depan, menjawab tentang perkara ini, bukannya memilih untuk melarikan diri, ia sekadar akan memburukkan lagi imej anda.
No comments:
Post a Comment