Lipas Kudung? Adakah ianya Nurul Azwan Roya? Atau Amirulhadi Zainal, S.Chanturu? Atau S.Kunanlan? Sebenarnya ‘Lipas Kudung’ yang dimaksudkan di sini, merujuk kepada pemain cukup popular 30 tahun dahulu, Johari Maina, pemain sayap kanan Pulau Pinang yang mewakili negara pada 1980 – 1982.
Johari (Kanan) |
“2 gol Johari Lipas Kudung Tumbangkan Jerman”, antara tajuk utama akhbar ketika Johari menjaringkan 2 gol menentang Jerman pada penampilan sulungnya bersama skuad negara, di Kejohanan Piala Presiden Republik Korea, ketika itu Malaysia menang 2-1, di bawah bimbingan Datuk M.Kuppan.
Sejak itu, namanya meniti di bibir peminat bolasepak tempatan selaku permata masa depan bolasepak negara, apatah lagi usianya ketika itu baru menjangkau 20 tahun.
Larian deras, hantaran mengelirukan serta kekuatan sepakan kaki kanannya sudah cukup untuk menghadirkan gerun buat pertahanan lawan, dan Johari pantas membina reputasi peribadinya, menjadi pemain kesayangan Karl Heinz Weigang, Datuk M.Kuppan, Datuk M.Chandran dan Jalil Che Su (jurulatih Malaysia 1980 – 1982).
Meskipun tidak banyak kejayaan diraihnya dalam tempoh singkat bergelar pemain negara, Johari tetap gembira dengan sumbangannya kepada pasukan negara sepanjang 3 tahun tersebut, apatah lagi ketika itu Malaysia masih lagi memegang status sebagai antara kuasa besar bolasepak rantau Asia.
Menyingkap penglibatannya selaku pemain bolasepak, Johari pemain kelahiran Georgetown, berkata ia bermula sejak zaman sekolah lagi, ketika beliau mewakili Sekolah Menengah Georgetown dan kemudiannya mewakili Kelab Sukan Kg. Makam, sebelum dipanggil untuk sessi pemilihan Piala Razak mewakili Pulau Pinang sekitar tahun 1977/1978.
Johari selepas itu menjadi asset Pulau Pinang dalam saingan Liga Malaysia, dan menjulang pelbagai kejuaraan bersama skuad Harimau Kumbang, bersama-sama pemain seangkatannya seperti Shukor Salleh, Namad Abdullah - antaranya Piala Emas Raja-Raja, Piala Agong, Piala Liga, serta Anugerah Fair Play yang pertama kali diperkenalkan.
Kecederaan serius yang pertama kali dialami, pada 1985 ketika menentang Selangor dalam saingan Piala Malaysia di lutut kanannya, menoktahkan terus karier Johari apabila beliau mendapati ianya terlalu sukar untuk kembali pulih seperti sebelumnya. Teringat pula kisah Zaquan Adha (baca).
Ia nyata keputusan sukar buatnya mengumumkan persaraan awal apatah lagi usianya yang masih muda, namun hakikat bahawa kecederaan dialaminya bukan kecederaan biasa, dan akan mengambil masa cukup panjang untuk kembali pulih 100%, memaksanya berbuat demikian.
Sejurus bersara, beliau mendirikan rumahtangga bersama Che Zainab Naning, dan kini dikurniakan 8 orang cahayamata.
Tahun ini masuk tahun ke-31 beliau berkhidmat sebagai pembaca jangka di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan harapannya, bolasepak Malaysia akan kembali digeruni di rantau Asia sepertimana suatu ketika dahulu.
No comments:
Post a Comment