Pautan Suara Sukan

Monday, September 30, 2013

Sathia yakin ATM akan bangkit

Andainya berpandukan sejarah, kekalahan 0-1 kepada Lions XII malam tadi seharusnya tidak terlalu menggusarkan pengendali Angkatan Tentera Malaysia, B Sathianathan.

Dalam aksi timbal balik pertama yang dilangsungkan di Stadium Jalan Besar, tandukan Madhu Mohana hasil sepakan penjuru Shahfiq Ghani pada minit ke-40 menjadi pemisah kedua-dua pasukan sebelum kembali beradu di gelanggang Jumaat ini.

Melihatkan pengalaman ATM sebelum ini di padang sintetik yang berakhir dengan kekecewaan  1-3, kekalahan tipis itu dianggap seperti ‘kemenangan’ buat Sathia yang mahu anak buahnya memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri dalam misi menyingkirkan pasukan dari tambak seberang Johor itu buat musim kedua berturut-turut.

Masih segar di ingatan perlawanan mendebarkan dan dramatik pada malam Oktober tahun lalu yang menyaksikan ATM bangkit daripada ketinggalan 1-2 secara agregat untuk mengheret perlawanan ke aksi tambahan sebelum mara menerusi penentuan penalti.

Ketika itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Jalan Besar sebelum Agu Casmir mengejutkan penyokong tuan rumah di timbal balik kedua di Selayang menerusi jaringan pada babak pertama. Tersentak, ATM menggandakan asakan dengan kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila tangkal azimat, Marlon Alex James menanduk masuk gol pada masa kecederaan.

Bisa sentuhan Marlon ditagih ATM.
Meskipun gagal menjaringkan gol buat pertama kalinya dalam kempen Piala Malaysia ini, Sathia tetap yakin dengan kemampuan naib juara musim lalu itu untuk menemui gawang Jumaat ini berdasarkan jumlah 15 gol dalam semua 6 perlawanan pada peringkat kumpulan.

“Ini adalah perlawanan pertama yang menyaksikan kami gagal menjaringkan gol. Tetapi saya tidak bimbang kerana yakin mereka akan dapat menjaringkan gol pada timbal balik Jumaat ini.

“Kekalahan ini adalah seperti ‘kemenangan’ buat kami kerana kami hanya bolos satu gol di sana berbanding pertemuan sebelum ini yang berakhir dengan kekalahan 1-3.

“Apa yang lebih menggembirakan saya, adalah tiada pemain yang mengalami kecederaan, jadi kami menurunkan kesebelasan utama bagi perlawanan akan datang. Namun, Irwan Fadzli (Idrus) masih belum pulih daripada kecederaannya, jadi Taj (Amiridzwan) akan terus mengisi posisinya di pertahanan kanan,” tambah Sathia.


Melihatkan percaturan matematik, ATM perlu menang perlawanan di Selayang dengan keputusan 2-0 untuk menjamin kemaraan. Seandainya bolos sekali lagi, finalis musim lalu itu perlu menang dengan kelebihan tiga gol untuk menafikan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Sunday, September 29, 2013

Kelantan tempah laluan berliku

Juara bertahan Kelantan menempah laluan berliku di dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia
yang dimenangi musim lalu apabila menampilkan antara aksi terburuk musim ini dalam kekalahan 2-4 kepada Johor Darul Takzim pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Larkin.

Deretan aksi longlai barisan pertahanan di babak pertama dihukum sebaiknya JDT menerusi jaringan Jasazrin Jamaludin, Norsharul Idlan Talaha dan Safiq Rahim sebelum sepakan percuma cantik Leonel Nunez memastikan tuan rumah membawa bekalan selesa dua gol untuk bertandang ke Kota Bharu.

Positifnya bagi Kelantan, dua gol di tempat lawan jaringan Indra Putra dan Obinna Nwaneri memberikan sedikit harapan buat mereka untuk menterbalikkan keputusan perlawanan namun apa yang dikhuatiri ramai ketika ini adalah kepincangan barisan pertahanan yang gagal berfungsi dengan baik meskipun ketika beraksi di Kota Bharu.

Perlawanan lain menyaksikan Lions XII membawa bekalan tipis ke Selayang hasil kemenangan 1-0 ke atas ATM manakala Sarawak kini memiliki kelebihan untuk mara selepas mengikat Sime Darby 0-0 di gelanggang mereka - pada aksi berlangsung terdahulu pada 27 September, Pahang menewaskan PKNS 3-2 dengan Matias Conti menjaringkan hatrik.


Tuesday, September 24, 2013

Ejai terkenang pengalaman manis singkirkan Lions XII

Artikel disumbangkan Harris Rajahdin bekas wartawan Berita Harian

Pertemuan suku akhir menentang Lions XII mengimbau kenangan manis buat penjaga gol Angkatan Tentera Malaysia, Mohd Farizal Harun yang bertindak cemerlang dalam penentuan sepakan penalti untuk membawa ATM ke final pertama Piala Malaysia sejak 1966.

Pada pertemuan separuh akhir menentang Lions XII yang berakhir 2-2 secara agregat selepas pertarungan 210 minit di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Ejai bertindak cemerlang menyelamatkan dua sepakan pada detik penentuan.

Farizal Harun, Foto : Shekhinah PR
Ketika pertembungan pertama berakhir dengan seri 1-1 di Stadium Jalan Besar, tuan rumah disentak dengan gol pendahuluan Agu Casmir pada babak pertama.

Penyerang tinggi lampai, Marlon Alex James muncul penyelamat apabila menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Masa tambahan gagal memisahkan kedua-dua pasukan dengan penentuan penalti menyaksikan Ejai menyelamatkan percubaan Saiful Esah dan Baihakki Khaizan sebelum sepakan Yasir Hanapi sekadar singgah di tiang kiriuntuk menamatkan penantian 46 tahun buat The Gladiators.

“Siapa boleh melupakan saat itu, dua aksi penyelamat saya dalam detik penentuan menentang Lions XII. Mana taknya, kejayaan itu membolehkan ATM menamatkan penantian beraksi dalam final Piala Malaysia sejak 46 tahun,” katanya.

“Sekiranya kami dapat mengulangi keputusan itu seperti di Jalan Besar tahun lalu, adalah cukup baik. Beraksi di Jalan Besar menghadirkan cabaran yang tersendiri dengan lantunan bola mengelirukan dan pergerakan bola yang pantas tetapi kami berharap dapat menanganinya dengan baik pada kali ini,” tambahnya.

Masih segar dalam ingatan kekalahan 1-3 pada penampilan sebelumnya di Jalan Besar dalam aksi liga, namun penjaga gawang ATM kelahiran Gemas itu bertekad untuk menghalang gawangnya dibocori seterusnya menamatkan rentetan bolos enam perlawanan berturut-turut.


“Coach (B Sathianathan) ada timbulkan perkara ini. Dia kata ATM memiliki kemampuan untuk menjaringkan banyak gol tetapi bolos dengan jumlah jaringan besar. Kalau boleh, kami tak mahu bolos dalam pertemuan menentang Lions XII nanti,” katanya.

Sunday, September 22, 2013

Pahang mara dibantu Terengganu, aksi Perak meragukan

Aksi peringkat kumpulan menutup tirai dengan 7 lagi pasukan melengkapkan kemaraan ke pusingan suku akhir tatkala kesemua pasukan pilihan menepati ramalan pada hari terakhir.

Paling mencuri tumpuan, pastinya pertembungan Kelantan dan Pahang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu - hatrik Dickson Nwakaeme membantu tuan rumah mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh seterusnya mengesahkan status selaku juara kumpulan.

Namun kesudahan penuh dramatik terhasil di mana pada ketika Pahang merasakan mereka sudah tersingkir daripada kempen kali ini, gol jaringan lewat permainan Ashaari Shamsudin di Paroi membantu Terengganu mengikat Negeri Sembilan sekaligus Pahang tetap mara berdasarkan kelebihan gol.

Sarawak pula mengganas di Kuching apabila membelasah Perak 6-1 untuk mara selaku juara Kumpulan D - tetapi apa yang menimbulkan keraguan adalah persembahan tidak bermaya Perak yang membenarkan lawan menjaringkan gol-gol mudah yang membawa kepada kekalahan ketiga berturut-turut.

Untuk rekod, Perak hanya memerlukan 1 mata daripada 3 perlawanan terakhir mereka sebelum ini, tetapi mereka dihadiahkan kekalahan ketiga berturut-turut menerusi hatrik jaringan Muamer Salibasic serta gol masing-masing menerusi Khairi Kiman (gs), Zamri Morshidi dan Bobby Gonzales.

Keputusan penuh Matchday 6 :

Kumpulan A :
ATM 1-1 Sime Darby
Selangor 1-1 Johor

Kumpulan B
JDT 0-2 PKNS
Felda 2-1 T-Team

Kumpulan C
Kelantan 4-0 Pahang
NS 2-2 Terengganu

Kumpulan D
Kedah 1-3 Lions
Sarawak 6-1 Perak





Friday, September 20, 2013

Jumpa Sime Darby ibarat final buat ATM

Memerlukan seri untuk melangkah ke peringkat kalah mati saingan Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut, tidak timbul isu Angkatan Tentera Malaysia beraksi ala kadar dalam memastikan satu mata menentang Sime Darby pada perlawanan terakhir Kumpulan A Sabtu ini.

Sebaliknya, barisan bimbingan B Sathianathan akan turun di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dengan misi meraih tiga mata penuh yang bakal memastikan tempat mereka selaku juara kumpulan untuk menempah tempat dengan naib juara Kumpulan D.

Dengan Kumpulan D masih lagi terbuka, ATM berdepan cabaran sukar daripada Sarawak, Lions XII, Perak dan Kedah yang memasuki pusingan akhir perlawanan dengan kesemua empat pasukan masih dalam perebutan dua tiket ke suku akhir.

Kemenangan ke atas Selangor Selasa lalu seharusnya menjamin tempat ke suku akhir, namun kegagalan untuk mengelakkan diri daripada dibolosi buat perlawanan kelima berturut-turut menyaksikan finalis musim lalu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.


Kini dengan peluang kedua diberikan buat The Gladiators, tidak mahu disia-siakan anak buah Sathia yang bertekad untud memuktamadkan isu itu di Selayang, Sabtu ini.

Selain itu, terdapat misi balas dendam yang mahu dilangsaikan berikutan kekalahan 3-4 pada aksi pembukaan yang menyaksikan ATM ketinggalan 1-4 kepada naib juara Liga Perdana itu pada satu ketika sebelum bangkit dengan dua gol.

“Kami akan turun dengan misi memburu kemenangan. Kami tidak boleh mengharapkan seri kerana tidak tahu apa yang akan berlaku dalam perlawanan Johor menentang Selangor.

“Kita tidak tahu sama ada Johor akan mendapat kemenangan besar ke atas Selangor. Seandainya ia berlaku, kami akan tersingkir sekiranya tewas kepada Sime Darby.

“Perlawanan menentang Sime Darby umpama final buat kami. Kami perlu menampilkan aksi yang lebih baik berbanding yang ditunjukkan menentang Selangor tempoh hari,” katanya.

Tambah Sathia, dia terpaksa merombak sekali lagi barisan pertahanannya berikutan kecederaan otot koyak yang menimpa pemain muda, Safwan Hasyim pada sesi latihan pagi tadi. Tempatnya di bahagian kanan bakal diisi K Reuben yang kembali membarisi kesebelasan utama selepas membuat kemunculan pada babak kedua menentang Selangor.


Kepulangan tonggak pertahanan Harimau Muda itu yang membantu barisan bawah 23 kebangsaan itu menjulang Pestabola Merdeka minggu lalu dijangka memberikan kestabilan pada bahagian bawah ATM yang kini pincang dengan ketiadaan bek tengah, Irwan Fadzli Idrus yang masih belum pulih daripada kecederaan lutut.

Thursday, September 19, 2013

Jadual mengarut jejaskan kualiti - Marlon

Menjaringkan gol keempat peribadinya untuk bergelar penjaring terbanyak Angkatan Tentera Malaysia sedikit pun tidak mengundang kegembiraan buat Marlon Alex James. 

Penyerang St Vincent & Grenadines dari Kepulauan Carribbean itu jelas kecewa dengan kegagalan ATM untuk memanfaatkan kelebihan pada babak pertama dan seterusnya meraih tiket awal ke peringkat kalah mati Piala Malaysia.

Pemenang Kasut Emas itu meletakkan finalis musim lalu itu di depan pada minit ke-37 apabila mudah menampan masuk hantaran lintang S Thinagaran yang melepasi jangkauan Sharbinee Allawee namun ia dinafikan oleh tandukan Fitri Shazwan pada minit ke-74 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan ATM mengekalkan tampuk penguasaan di atas Kumpulan A dengan lapan mata dipisahkan dengan Sime Darby menerusi perbezaan gol. The Gladiators kini hanya perlu mengelakkan kekalahan dengan Sime Darby untuk mara ke pusingan suku akhir buat musim kedua berturut-turut.

Kegagalan berbuat demikian akan membuka laluan buat Johor yang perlu meraih kemenangan besar ke atas rekod juara 32 kali, Selangor yang sudah tersingkir sambil mengharapkan keputusan lain berpihak kepada mereka.

“Saya begitu kecewa malam ini. Ini adalah perlawanan kelima kami dan kami masih gagal untuk mengekalkan ‘clean sheet’ (bolos),” kata Marlon yang meledakkan 16 gol pada kempen Liga Super musim ini.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi saya begitu kecewa dengan persembahan malam ini. Sepatutnya selepas lima perlawanan, kami sudah melayakkan diri,” tambahnya.

Penyerang tinggi lampai itu turut mengkritik  tempoh rehat panjang Liga Malaysia musim ini yang sedikit sebanyak menjejaskan momentum pasukan.

“Kalau di negara lain,  liga (kejohanan domestik) sudah tamat selepas 8 atau 9 bulan. Kat sini, dah masuk dekat setahun pun tak habis lagi.


“Mana nak habis kalau hanya main lima perlawanan dalam dua bulan. Tetapi apa boleh buat, mereka yang berkuasa (FAM) yang menentukan segala-galanya. Kami hanya mampu ikut saja,” tambahnya.

Wednesday, September 18, 2013

Selangor, Terengganu tersingkir, PKNS pertama mara

Pelbagai drama tercetus pada pada matchday kelima tatkala aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia menghampiri kemuncaknya dengan juara 32 kali, Selangor muncul pasukan pertama mengucapkan selamat tinggal kepada saingan musim ini selepas sekadar mampu mencatat keputusan seri menentang ATM.

Selangor yang memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang gagal dalam misi mencatat kemenangan pertama sekaligus peluang kini dilihat terbuka di antara ATM, Sime Darby dan Johor untuk merebut dua slot ke suku akhir.

Kumpulan C pula menjanjikan debaran paling hebat pada aksi terakhir Sabtu ini - kemenangan skuad juara bertahan, Kelantan di Kuala Terengganu bermakna tuan rumah turut tersingkir daripada saingan tetapi Kelantan berdepan misi getir dalam usaha meneruskan kemaraan setelah Pahang mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Negeri Sembilan.

Ini bermakna salah satu daripada dua pasukan pantai timur itu hampir pasti tersingkir apabila kedua-duanya bertemu sesama sendiri untuk menentukan status juara kumpulan, tetapi jika Terengganu 'membantu' dengan menewaskan Negeri Sembilan, Kelantan dan Pahang kedua-duanya tetap akan mara selaku dua pasukan terbaik.

Keputusan penuh Matchday 5 :

Kumpulan A
Johor 2-2 Sime Darby
ATM 1-1 Selangor

Kumpulan B
PKNS 5-0 T-Team
Felda 2-5 JDT

Kumpulan C
Terengganu 1-3 Kelantan
Pahang 3-0 Negeri Sembilan

Kumpulan D
Perak 0-1 Kedah

Tuesday, September 3, 2013

Berjuanglah berteraskan semangat kenegaraan

Tidak cukup sekadar mempunyai nama besar dan berprofil tinggi, sebaliknya ia perlu diterjemahkan menerusi aksi setaraf reputasi yang dimiliki  – itulah harapan peminat bolasepak tempatan terhadap dua bintang muda skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor dan Wan Zack Haikal yang disebut akan menjadi sandaran Ong Kim Swee di Kejohanan Pestabola Merdeka yang berlangsung bulan depan.

Mungkin agak keterlaluan untuk meletakkan tekanan tinggi di bahu dua pemain ini semata-mata, tetapi pantas mencipta nama selaku aset bolasepak negara masa kini, ekspetasi adalah cukup tinggi betapa Nazmi yang pernah ‘berguru’ Portugal dan Wan Zack yang kini beraksi di Liga Jepun bersama FC Ryukyu, mampu menyerlahkan kelas sebenar mereka.



Legenda bolasepak negara, Datuk Santokh Singh yang begitu kebal mengemudi barisan pertahanan negara suatu masa dahulu berkata, tidak ada gunanya mereka berkelana begitu jauh jika tidak berupaya untuk menyumbang di saat kudrat mereka ditagih untuk memberi aksi terbaik.

“Pasukan ini sangat mahal harganya. Skuad ini berlatih di Slovakia, ada pemain pergi Portugal, ada pemain main di Jepun. Kalau ini semua diambil kira, kita tiada pilihan lain selain menjuarai kejohanan Pestabola. Pemain seperti Nazmi, Wan Zack, Wan Zaharulnizam perlu buktikan, mereka adalah lain dari yang lain kerana berpeluang mengembangkan potensi ke negara luar.

“Mereka tidak harus melihat ini sebagai satu tekanan, tetapi melihat ianya sebagai pembakar semangat, sebagai satu inspirasi. Dulu saya juga diletakkan harapan tinggi apabila turun beraksi, saya tidak rasa tertekan tetapi saya anggap ia sebagai pembakar semangat dan apabila menyanyikan lagu Negaraku sebelum sepak mula, satu aura patriotisme meresap dalam diri.

“Sebagai pemain, kita tidak mahu negara kita dimalukan di gelanggang sendiri, semangat ini perlu ada dalam diri semua pemain, dulu-dulu mana kami ada pergi berlatih empat-lima bulan di luar negara, yang penting semangat kenegaraan,” kata Santokh mengenang memori lalu.


Santokh juga berharap pemain yang menggalas tanggungjawab nanti tidak mensesiakan kepercayaan yang diberi jurulatih : “Walaupun kita petik beberapa nama seperti Nazmi, Wan Zack, kita perlu ingat bolasepak adalah permainan berpasukan. Tidak cukup meletak harapan ke atas satu pemain jika rakan-rakan tidak memberi sokongan. Jadi, bersatulah sebagai satu pasukan, balas kepercayaan yang diberi.”

Untuk kejohanan kali ini, Kim Swee dijangka dapat mempertaruhkan barisan terbaik kerana selain barisan Harimau Muda sedia ada yang dibarisi pemain tonggak seperti Irfan Fazail, Zaharulnizam, Wan Zack, A. Tamil Arasu dan Gary Steven Robbat, Kim Swee turut dapat menggunakan khidmat pemain seperti Junior Eldstal, Nik Shahrul Azim dan Zubir Azmi yang mendapat pelepasan Datuk K.Rajagobal.


Malah, penyerang meningkat naik kelahiran Sekolah Sukan Bukit Jalil, D.Saarvindran juga pastinya mempunyai sesuatu untuk dibuktikan selepas menyerlah ketika Sukan Universiade Dunia, pada Julai lalu.

Sunday, September 1, 2013

Kijang tumbang di Kota Bharu, hari keempat penuh kontroversi

Keputusan penuh kejutan, atau penuh kontroversi? Begitulah persoalan yang bermain di benak fikiran peminat bolasepak tempatan apabila saingan Matchday 4 Piala Malaysia menyaksikan beberapa keputusan di luar dugaan termasuklah kemenangan Lions XII di Stadium Jalan Besar yang 'dibantu' pengadil perlawanan.

Ketika juara bertahan, Kelantan dikejutkan dengan kekalahan 2-3 di laman sendiri kepada Negeri Sembilan, Terengganu turut mencuri tumpuan apabila gol minit akhir Khairul Ramadhan membantu mereka menewaskan Pahang 2-1, tatkala JDT pula dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada T-Team di laman sendiri.

Kedah yang mencatat tiga keputusan seri sebelum ini pula 'dengan mudah' diratah 4-0 oleh Sarawak, namun perlawanan yang paling hebat diperkatakan adalah antara Lions dan Perak yang mana pengadil, Nafeez Wahab tidak mengesahkan atau 'membatalkan' gol jaringan Paulo Rangel yang dilihat sudah melepasi garisan gol sebelum diselamatkan penjaga gol Lions.

Keputusan lain matchday 4 :

Kumpulan A :

ATM 4-1 Johor
Selangor 1-1 Sime Darby

Kumpulan B
JDT 1-2 T-Team
Felda 1-0 PKNS

Kumpulan C

Kelantan 2-3 Negeri Sembilan
Terengganu 2-1 Pahang

Kumpulan D

Lions 2-1 Perak
Sarawak 4-0 Kedah