Pautan Suara Sukan

Wednesday, April 13, 2011

Perak Meniti Era Gemilang, Menghidupkan Pertembungan Menentang Selangor


Sudah lama rasanya sejak kali terakhir melihat Perak merakamkan kemenangan besar dalam satu perlawanan besar, dan sudah lama juga rasanya sejak kali terakhir melihat gamatnya Stadium Ipoh, Perak dengan sorakan puluhan ribu penyokong yang menjadi saksi kemenangan besar 4-0 Perak ke atas pendahulu liga, Kelantan.

Benar, bolasepak Perak jatuh sejak beberapa musim lalu, dek kerana masalah dalaman seperti mana pernah penulis kupas sebelum ini, baca di sini. Namun, jelas musim 2011, Perak bukan lagi pasukan yang boleh dipandang sebelah mata, dan buktinya dapat dilihat dengan jelas bahawa kebangkitan mereka bukan sekadar seketika, sebaliknya mula memberi impak besar terhadap perjalanan liga.

Berada di tangga kedua, hanya 1 mata di belakang pendahulu, Selangor, selepas 11 perlawanan, nyata satu pencapaian menakjubkan buat pasukan berwajah baru Perak, yang baru tewas sekali musim ini kepada Sabah.

Bukan mudah untuk sebuah pasukan dengan pengurusan dan pemain baru menunjukkan kejayaan atau peningkatan mendadak, justeru anak buah Norizan Bakar wajar dipuji, atas komitmen dan usaha mereka. 

Sememangnya pengurusan yang baik adalah pemangkin kepada sebuah pasukan yang baik, sepertimana dapat dilihat di Kelantan.

Dengan prestasi terkini mereka, pertemuan Perak menentang Selangor Sabtu depan, pastinya menghidupkan suasana permusuhan dua musuh tradisi ini di atas padang dan menjadikan pertembungan ini lebih menarik, apatah lagi sudah lama mereka tidak menentang Gergasi Merah Kuning, pada kedudukan yang begitu rapat, yang mampu mencabar kedudukan pendahulu liga.

Akmal Rizal membuktikan pelaburan besar untuk membawanya ke Perak bukan satu kesilapan, begitu juga gandingan pemain berpengalaman dan muda, menjadikan Perak pasukan yang wajar digeruni pada musim ini.

Inilah yang sekian lama dinantikan penyokong Kejor Yop Kejor, kebangkitan semula zaman kegemilangan bolasepak Perak.

No comments:

Post a Comment