Pautan Suara Sukan

Wednesday, April 13, 2011

Bicara SS : Apa Sudah Jadi Khairul Fahmi?

Konsistensi aksi yang dicari nyata gagal diterjemah barisan pemain Kelantan, tatkala kekalahan ketiga dalam lima perlawanan terakhir mula mencalar kredibiliti mereka selaku pencabar kejuaraan, dan pasukan yang wajar diberi perhatian musim ini.

Ini bukanlah aksi sang wira, ini juga bukan aksi pasukan yang ada perwatakan juara. Untuk tewas 4-0 kepada sebuah pasukan yang baru tahun ini mula menjelmakan kembali era gemilang bolasepak mereka – Perak -  adalah cukup sukar diterima peminat, yang rata-ratanya terlopong, dan tidak percaya Kelantan akan tewas dengan defisit begitu besar.

Tiada langsung aksi mirip, atau setidak-tidaknya menghampiri aksi ketika menewaskan Felda United 6-0, tatkala Perak bangkit melupakan kekalahan 1-2 kepada Sabah tempoh hari.

Fazrul Hazli, Shafiq Jamal, Akmal Rizal dan Razali Umar, empat pemain berbeza yang membolosi gawang penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat, sekaligus menyaksikannya sudahpun bolos 11 gol dalam 5 perlawanan terakhir. 

Apa sudah jadi, mungkin itulah persoalan yang bermain di pemikiran rata-rata penyokong Kelantan, yang pada awal musim mengharapkan Kelantan mampu melangkah lebih jauh dengan adanya penjaga gol ‘kebal’ ini.

Musim lalu dia begitu sukar ditembusi, sehingga ada yang menyebarkan khabar angin Khairul Fahmi guna bomoh, dan baca ayat untuk pastikan gawangnya tidak bolos. Namun, kita percaya itu hanya cakap-cakap kosong sekadar polemik untuk menjatuhkannya. 

Cuma, bagi seorang penjaga gol kebangsaan, apakah relevan untuk melepaskan 4 gol begitu mudah, atau lebih tepat 14 gol secara keseluruhannya musim ini, jumlah sama yang dilepaskan sepanjang musim Liga Super 2010 (26 perlawanan).

Dua gol terakhir jaringan Akmal dan Razali seharusnya boleh diselamatkan, malah aksinya malam ini tidak seperti sediakala.

Apakah beliau mula terasa ketiadaan Azizi Mat Rose, atau tekanan selaku penjaga gol nombor satu negara bagi skuad senior, dan Olimpik mula menghimpit prestasinya.

Atau adakah publisiti melampau media terhadap kehidupan luar dan dalam padang mula menjejaskan fokusnya? Apapun kami percaya pemain ini memerlukan masa untuk kembali tenang dan memulihkan mentalnya yang pasti teruk terjejas dek kekalahan besar ini.

Khairul Fahmi nyata tidak berada di prestasi terbaiknya sejak kebelakangan ini, namun penulis percaya dia tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya di atas prestasi buruk barisan pertahanan Kelantan, yang sudah hilang status keampuhan mereka. Malah, desakan agar beliau direhatkan bagi membolehkannya mendapat sedikit ruang mengembalikan keyakinan makin sering kedengaran namun penulis yakin jurulatih, Dato' M.Karathu lebih mengetahui sebabnya.

Apapun, Karathu perlu melihat semula apakah taktikal beliau mengadaptasi permainan menyerang dengan menolak pemain pertahanan naik ke atas perlu dikekalkan atau menutup segera setiap kelemahan jika tidak mahu Kelantan terus tercicir.

Kekalahan menyaksikan Kelantan jatuh ke tangga keempat, tatkala Perak melonjak ke tangga kedua di belakang Selangor. Apapun, hanya tiga mata memisahkan kedudukan 4 pasukan teratas justeru belum terlewat untuk mana-mana pasukan memperbaiki kelemahan mereka menjelang perlawanan akan datang.

3 comments:

  1. rasanya karathu tk ngam laa dgn TRW..kena beri pd sathia jugak akhirnyaa...

    ReplyDelete
  2. bro, salahkan khairul fahmi saja xboleh jugak...aku tgk game smlam (aku sokong skuad yob)..selain gol ketiga (akmal rizal score), gol lain agak mustahil utk diselamatkan wpun oleh GK terhebat di dunia..semua peluang depan gol..jelas defend kelantan ade masalah komunikasi...

    ReplyDelete
  3. tak patut la salahkan GK je... Bola sepak kan permainan berpasukan... lagi pun gol yang terhasil bukan kesilapan individu... kalau defender beri ruang banyak sgt, GK mati la nak save semua bola.. dah nyata mmg perak form kelmarin.. kelebihan mental dan fokus kunci kemenangan sesebuah pasukan..

    ReplyDelete