Kebangkitan ditunjukkan Kelantan serta rekod pertemuan yang secara nyata
menyebelahi pasukan Pantai Timur itu tidak sedikitpun menggentarkan semangat
para pemain The Gladiators yang berazam memulakan fasa kedua aksi Liga Super
dengan nota ceria.
Angkatan Tentera Malaysia akan membuka tirai pusingan kedua dengan
berkunjung ke gelanggang keramat pasukan lawan, Stadium Sultan Muhammad ke-IV,
membawa misi menebus kekalahan 2-3 pada pertembungan terbaru kedua-dua pasukan
pada aksi terakhir pusingan pertama 29 Mac lalu.
Kunjungan terakhir ke Kota Bharu menyaksikan pasukan bimbingan
B.Sathianathan tewas 3-4 dalam aksi berbalas jaringan penuh dramatik.
foto kredit : ATMFA |
Ironinya, skuad ATM tidak pernah menewaskan The Red Warriors dalam aksi
90 minit permainan setidak-tidaknya dalam 10 pertemuan terakhir antara
kedua-dua pasukan sejak 2007 meskipun berjaya menjulang Piala Sumbangsih
menewaskan lawan sama menerusi sepakan penalti pada awal musim tempoh hari.
Manakala Kelantan pula mengetepikan prestasi suram awal musim dengan
catatan 6 kemenangan berturut-turut namun Sathianathan tidak mahu membazir masa
memikirkan tentang prestasi semasa lawan mereka itu.
Bekas pengendali skuad kebangsaan ini tampak lebih berminat untuk
mempersiapkan pasukannya dalam misi merampas semula takhta liga yang terlepas
ke tangan Lions XII sejurus berakhirnya pusingan pertama Liga Super.
“Kita ada baki 11 perlawanan, setiap perlawanan adalah mencabar, bukan
hanya menentang Kelantan. Saya tidak mahu tumpuan atau persiapan pasukan
terganggu memikirkan kekuatan pasukan lain, mana-mana pasukan akan ada pasang
surut jadi kami tidak gentar.
“Cabaran terbesar saya ketika ini adalah mempersiapkan pasukan ini pada
situasi beberapa pemain tonggak masih tidak dapat bersama pasukan tetapi saya
percaya pemain yang sedia ada semuanya mempunyai potensi untuk membuktikan
sesuatu,” kata Sathianathan.
ATM ketika ini kehilangan khidmat pemain versatile berpengaruh, Shukor
Adan serta tiga lagi pemain – G. Jeevanathan, R.Surendran dan pemenang kasut
emas Liga Perdana 2010, Fitri Omar – akibat penggantungan perlawanan manakala Norfazly Alias pula tersisih akibat kecederaan
tulang pipi.
Begitupun, sedikit keceriaan di kem ATM apabila mendapat semula khidmat
dua pemain, Rezal Zambry Yahya dan pemain pertahanan meningkat naik, K.Reuben
yang tidak beraksi dalam kekalahan kepada Kelantan kerana menjalani
penggantungan automatik satu perlawanan dek mengutip tiga kad kuning.
Sathianathan juga menegaskan dia berpuas hati dengan kelibat dua pemain
import, Marlon Alex James dan Bruno Sebastian Martelotto justeru tiada sebab
untuk membuat rombakan atau menggantikan mereka dengan pemain lain pada ketika
pasaran perpindahan Liga Malaysia sudahpun dibuka sejak 8 April lalu sehingga
22 April depan.
“Saya kagum dengan komitmen mereka, boleh dikatakan pemain import
terbaik dalam Liga-M. Jadi sudah tentu saya gembira untuk terus bekerjasama
dengan mereka, tiada keperluan untuk kita mencari yang lain. Kita juga akan
memberi lebih peluang kepada pemain muda dari skuad Piala Presiden, serta mendapatkan
khidmat seorang pemain Piala Presiden Terengganu yang kini berkhidmat dengan
Tentera Udara Diraja Malaysia.”
Dalam pada itu, kapten pasukan, Hairuddin Omar pula tidak gusar dengan
kemarau jaringan yang dilaluinya ketika ini dan berpendapat ia adalah asam
garam yang perlu dilalui mana-mana penyerang.
“Masanya akan tiba untuk saya menjaringkan gol. Fernando Torres pun
kemarau gol tetapi akhirnya menjaringkan gol. Lagipun, pada musim ini saya
tidak bertindak sebagai penyerang tetapi lebih kepada pemain tengah. Tugas saya
adalah mengumpan kepada pemain lain untuk menjaringkan gol, jadi itu tidak
menjadi kebimbangan,” katanya.
foto kredit to ATMFA |
Musim lalu, Hairuddin atau lebih popular dengan panggilan Hai-O
merupakan penjaring kedua terbanyak ATM dengan 17 gol, di belakang Marlon yang
unggul dengan ledakkan 34 gol.
1 comment:
Thanks ffor a great read
Post a Comment