Rekod cemerlang Kelantan yang tidak
tewas dalam 42 perlawanan di Kota Bharu sejak 25 Mei 2011, kini tinggal hanya
sejarah apabila ianya lebur di tangan pahlawan The Gladiators yang
menterjemahkan antara aksi terbaik musim ini untuk pulang dengan kemenangan
3-1.
ATM menjadi pasukan pertama membawa
pulang tiga mata dari gelanggang keramat Stadium Sultan Muhammad ke-IV sejak
T-Team melakukannya hampir dua tahun lalu – terima kasih kepada jaringan kapten
kesayangan, Hairuddin Omar, Christie Jayaseelan dan penyerang import klinikal,
Marlon Alex James.
Lebih manis, kemenangan ATM
diinspirasikan perancangan taktikal hebat B.Sathianathan yang menolak ke tepi
seketika sentimen dan hubungan baiknya dengan penyokong serta pihak pengurusan
Kelantan untuk membawa ATM mencatat kemenangan pertama dalam aksi 90 minit ke
atas The Red Warriors selepas gagal melakukannya sejak 5 pertemuan lalu.
“Ya, ia satu kemenangan yang
manis. Kita menjadi pasukan pertama membawa pulang tiga mata dari sini selepas
dua tahun.
“Tetapi, saya tidak fikir pasal
rekod mereka, yang selalu saya tekankan adalah prestasi pemain saya, mereka mengikut
segala arahan saya dengan baik dan cukup menakjubkan malam ini. Saya tetap
berpendapat Kelantan sebuah pasukan yang baik dan akan bangkit selepas ini,”
kata Sathianathan.
Pada perlawanan yang berlangsung
di hadapan lebih 20,000 penyokong setia tuan rumah itu, Hairuddin memilih detik
tepat untuk menoktahkan kemarau jaringan musim ini apabila rembatannya dari
luar kotak penalti membias kaki pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim sebelum
mengegar gawang kawalan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-11.
11 minit berselang, berpunca
daripada hantaran sepakan akrobatik Venice Alphi Denis Kaya, bola yang disambut
Marlon dilorongkan pula ke dalam kotak penalti dan Christie mudah menolak masuk
dari jarak dekat untuk ATM selesa mendahului 2-0.
Selepas gagal menyempurnakan
beberapa peluang keemasan menerusi Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohd dan
pemain import baru, Dickson Nwakaeme dek kecemerlangan Farizal Harun mengawal
gawang selain palang yang menjadi penghalang, Kelantan akhirnya merapatkan kedudukan menerusi rembatan Faiz Subri,
empat minit sebelum tamat babak pertama.
Namun, ATM tidak membenarkan dua
kesilapan pertahanan yang berlaku di Paroi berulang kali ini sebaliknya
menoktahkan episod kebangkitan Kelantan menerusi rembatan voli rendah Marlon
pada minit ke-63 – gol ke-12 penyerang St Vincent & Grenadines itu musim
ini.
“Memang kita bernasib baik
Kelantan tidak memanfaatkan beberapa peluang jaringan yang mereka dapat, kita
pula menggunakan sebaiknya setiap peluang. Itu yang memisahkan.
“Saya tidak nafikan, pada
kedudukan 2-1, memang saya sudah tidak senang duduk, dapat dilihat sepanjang 20
minit pertama babak kedua Kelantan menguasai perlawanan dan berusaha mencari
gol penyamaan tetapi mereka kehilangan idea. Pemain saya bertindak bijak mengagalkan
setiap gerakan mereka dan menutup ruang, meminimakan kesilapan,” tambah
Sathianathan.
Mengenai gol pertama Hairuddin
musim ini, Sathia berkata : “Dia membuktikan kualiti yang ada padanya, saya
tidak pernah kisah tentang kemarau golnya, kerana saya tahu walaupun dia tidak
menjaringkan gol, dia tetap memberi sumbangan terbaik kepada pasukan.
“Dia adalah pemain yang mengikut
setiap arahan dan ini memudahkan mana-mana jurulatih untuk bekerjasama baik
dengannya. Inilah contoh pemain yang perlu ada dalam setiap pasukan.”
No comments:
Post a Comment