Pautan Suara Sukan

Sunday, June 3, 2012

Thailand Benam Malaysia, Muncul Juara Divisyen 2



Thailand muncul juara Divisyen 2 Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia selepas menundukkan tuan rumah, Malaysia dalam aksi final cukup dramatik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, petang tadi dengan kemenangan 22-19.

Ini adalah kali kedua Thailand menjuarai Divisyen 2, selepas melakukannya buat pertama kali pada 2008 juga dengan menewaskan Malaysia, sekaligus menghidupkan peluang untuk kembali beraksi di Divisyen 1 tahun depan, di mana mereka akan bertemu India, juara Divisyen 3 pada perlawanan play-off yang akan dilangsungkan pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Pengurus Thailand, Pogkrong Monthardpalin nyata cukup teruja di atas kemenangan ini yang disifatkannya turut dibantu faktor tuah. 

“Ia perlawanan cukup menghiburkan, cukup mendebarkan. Saya terkejut dengan kemenangan ini, saya merasakan Malaysia lebih berhak menang, namun faktor tuah menyebelahi kami. Kami mendapat banyak mata menerusi penalti, memang itu salah satu strategi kami dan amat malang untuk Malaysia kehilangan seorang pemain untuk keseluruhan separuh masa kedua, ia memberi kami kelebihan,” ujarnya.


Beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan hampir 1,000 penyokong, nyata menyuntik motivasi barisan pemain negara, dan hanya 3 minit diperlukan untuk merebut pendahuluan menerusi penalti Hafizh Zainal.

Strategi Thailand yang memaksa pemain negara kerap membuat kesilapan, nyata membuahkan hasil, apabila mereka bangkit mengutip sembilan mata berturut-turut, kesemuanya menerusi penalti Warongkorn Kumkoet untuk mendahului 9-3, namun Malaysia merapatkan kedudukan 6-9 sekali lagi menerusi penalti Hafizh.

Ibarat pesta penalti, begitulah ungkapan sesuai untuk mengambarkan tentang perlawanan ini, apabila Thailand kembali melebarkan defisit mata menerusi penalti Warongkorn, untuk kedudukan 12-6 sehingga tamat babak pertama.

Menambah malang pasukan negara, pemain import, Kini Rasasolosolo dilayangkan kad merah selepas bertindak menyerang pemain Thailand pada minit akhir babak pertama, menyaksikan Malaysia mengharungi keseluruhan babak kedua dengan hanya 14 pemain.

Ia bagaimanapun tidak sedikitpun menyentap semangat di kem negara, apabila seminit babak kedua bersambung, Malaysia menerusi try pertama perlawanan hasil serangan pantas dari sebelah kiri padang berjaya menambah 7 mata untuk mendahului 13-12.


Penalti dilakukan Hafizh mengukuhkan kedudukan skuad negara yang mendahului 16-12, namun Thailand kemudiannya mengurangkan defisit kepada hanya 1 mata, hasil percubaan penalti Warongkorn.

Kelebihan 4 mata kembali berpihak kepada Malaysia, dan pada satu ketika dilihat sudah berada di landasan terbaik untuk mencatat kemenangan menerusi penalti Hafizh pada minit ke-69, sebelum dikecewakan try dilakukan Thailand 5 minit sebelum tamat permainan menerusi Korrapong Ongsalangkarn, yang menterbalikkan keputusan kepada 22-19 berpihak kepada Thailand.

Asakan bertali arus, menggila pasukan negara pada minit-minit akhir permainan bagaimanapun tidak berjaya mengubah kedudukan dan Thailand utuh bertahan untuk mengesahkan kemenangan.

“Secara jujur saya kecewa dengan kekalahan ini, kita ada kelebihan, tapi kita tak dapat gunakannya. Kita patut menang tetapi beraksi dengan 14 pemain, nyata sukar untuk kita dan mereka menggunakan kelebihan itu sebaik mungkin. Kita banyak buat kesilapan mudah dengan menghadiahkan penalti, saya sudah nasihatkan pemain supaya jangan terlalu ke bawah, naik atas, tetapi mereka tak praktikannya,” kata jurulatih negara, Hoon Boon Chee.

Kekalahan ini bukan sahaja meleburkan hasrat Malaysia untuk mengintai peluang kembali ke Divisyen 1, tetapi turut menutup peluang untuk beraksi di Kelayakan Piala Dunia 2015.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Iran menewaskan China 52-3 untuk menamatkan saingan di tempat ketiga. Dengan kekalahan ini, China tersingkir ke Divisyen 3 bagi saingan musim depan.

No comments:

Post a Comment