Orangnya mudah didekati, senang dibawa berbicara, senang
berkongsi cerita, seorang yang cukup humble, itulah Mat Zan Mat Aris, Ketua
Jurulatih Terengganu yang kini berdepan tekanan berat untuk mengembalikan
reputasi hebat Sang Penyu selaku satu daripada kuasa besar bolasepak tanah air.
Ketika dihubungi SS, Mat Zan jelas tidak keberatan untuk
berkongsi pandangannya mengenai peluang Terengganu yang sedang dalam usaha
pulih daripada prestasi lesu, dan optimis naib juara liga super dan finalis
Piala Malaysia musim lalu ini akan bangkit mempamer aksi lebih bertenaga
selepas ini.
“pada saya, saya tak suka banyak berbicara, cakap camgitu
camgini, sebab at the end prestasi pemain yang akan menentukan, so biar pemain
buktikan bahawa mereka bagus. Saya sebagai jurulatih takboleh cakap sesuatu
yang mungkin memberikan tekanan kepada pemain, saya boleh tentukan line-up,
tentukan strategi, tentukan formasi mahupun taktikal, tapi yang mengaplikasikan
di atas padang adalah pemain, dan saya yakin terhadap pemain saya, saya beri
mereka peluang dan kepercayaan penuh..
“saya akui moral pemain sebelum ini ada yang terjejas ekoran
beberapa insiden luar padang, seperti bantahan dan desakan penyokong, provokasi
dan sebagainya. Namun tak semua penyokong macam tu, ada juga memberi sokongan
penuh, dan pemain juga faham tanggungjawab, apa yang perlu mereka lakukan,
kemenangan besar ke atas Song Lam sedikit sebanyak mengembalikan semangat mereka,
dan saya mahu ia menjadi turning point untuk skuad ini..”. – Mat Zan Mat Aris.
Mat Zan percaya pemainnya juga sudah bersedia menterbalikkan
kekalahan 1-2 kepada Sime Darby FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA
tempoh hari, di mana Terengganu perlu mencari setidak-tidaknya kemenangan
melebihi defisit 2 gol untuk mara buat kali kedua berturut-turut ke final
seterusnya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Tanpa Manaf Mamat yang diberitakan masih dalam proses
merawat kecederaan, Mat Zan bagaimanapun yakin dapat menurunkan barisan
kesebelasan terbaik dan dijangka sekali lagi menagih kudrat trio berbisa di
barisan depan, Ashaari Shamsudin - Forkey Doe – Hadi Yahya.
Ditanya mengenai kontroversi di sebalik pengantungan yang
sepatutnya dijalani pemain import, Forkey Doe, namun diturunkan pada separuh
akhir pertama yang lalu malah menjaringkan gol penyamaan, Mat Zan menafikan
perkara itu dan menganggap ianya hanya salah faham.
“saya rasa ianya salah faham, sebelum ini saya kata kita
tidak dapat guna khidmat pemain seperti Ismail Faruqi, Zubir Azmi, Forkey Doe
dan Manaf yang mana menjalani pengantungan dan kecederaan. Jadi pengantungan tu
saya merujuk kepada Ismail dan Zubir, Doe dan Manaf pula kecederaan, itu jer,
mungkin ada berlaku salah faham, dia tidak digantung cuma cedera ringan, tempoh
hari kita terpaksa juga turunkan Doe sebab tiada pilihan lain, manakala Manaf
pula saya berpendapat adalah tidak elok mengambil risiko memandangkan dia belum
pulih sepenuhnya..”.
Terengganu baru-baru ini mengesahkan tiket ke pusingan kedua
Piala AFC selepas membelasah Song Lam 6-2 di gelanggang sendiri, dan berada di
tangga ketiga Liga Super di belakang Lions dan Kelantan, manakala dalam saingan
Piala FA, mereka di ambang tersingkir selepas tewas di gelanggang sendiri
kepada Sime Darby, namun berpotensi mengubah situasi itu jika para pemain
mengekalkan konsistensi dan menunjukkan aksi sepertimana ketika membenam kelab
dari Vietnam itu..
simple sangat la article ni bro..patutnye lpas dapat award lagi best cerita2 dlm blog..tapi takpelah..harap perbaiki di masa akan datang..ok chow..
ReplyDelete