Tuesday, June 28, 2011

Jelajah Malaysia : Arsenal Hadir Bersama Cahill, Gervinho, Tanpa Kelibat Fabregas?


foto : Standard, Getty Images, EPA
Kehadiran kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal ke Malaysia untuk aksi persahabatan 13 Julai depan, dijangka diperkuatkan beberapa muka baru, termasuk pertahanan kental Bolton Wanderers, Gary Cahill, penyerang berprofil tinggi Lille, Ricardo Alvarez dan Bintang Piala Dunia Sepanyol 2010, Juan Manuel Mata.

Perkembangan terbaru ini, pastinya berita gembira buat peminat The Gunners bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia, apatah lagi ia menampakkan usaha bersungguh-sungguh mereka untuk menoktahkan kemarau kejuaraan sejak 2005, dengan mula aktif di pasaran perpindahan pemain – sesuatu yang jarang dapat disaksikan peminat kelab utara London ini sebelum ini.

Nilai perpindahan untuk mendapatkan Cahill dan Gervinho dilaporkan mencecah £30 Juta. (Baca laporan ini)

Rundingan untuk mendapatkan Cahill dilaporkan sudah berada di fasa terakhir, dengan Arsenal bersedia membayar BAYARAN TEBUS KONTRAK (RELEASE CLAUSE) £17 Juta sepertimana ditetapkan, selain berkemungkinan besar menawarkan seorang pemain sebagai sebahagian daripada rundingan (PLAYER PLUS CASH DEAL).  

Manchester City sebelum ini dilaporkan hampir pasti mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun ini, namun Cahill dikatakan tidak begitu yakin akan dapat beraksi di kesebelasan utama andai berpindah ke Eastland, dan berkemungkinan besar memilih Emirates sebagai halatuju seterusnya.

Selain Cahill, Arsenal juga semakin hampir mendapatkan khidmat penyerang Lille, Alvarez, meskipun pasukan berpangkalan di Perancis itu tiba-tiba menaikkan harga Alvarez, pada ketika persetujuan sudah hampir dicapai.

Bidaan £10.5 Juta Arsenal pada awalnya sudah diterima, namun Lille menaikkan harga penyerang itu kepada £14 Juta pada saat akhir, dengan Arsenal dilaporkan membuat bidaan akhir bernilai £12 Juta.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger juga dilaporkan telahpun membuat bidaan ‘pecah-rekod’ perpindahan kelab utara London itu, dengan tawaran £18 Juta untuk mendapatkan khidmat Mata, pemain tengah Valencia yang turut menyatakan minat untuk menyarung jersi The Gunners. (Baca laporan ini)

Pegawai Arsenal diberitakan sudahpun bertemu agen dan juga bapa kepada Mata, dan Mata, pemain yang boleh beraksi di posisi tengah, dan sayap kiri sendiri dikatakan gembira untuk berbicara mengenai masa depannya untuk beraksi di Emirates.

Andai kesemua cakap-cakap, desas-desus atau khabar angin (bergantung pada persepsi masing-masing) ini menjadi kenyataan - Cahill, Gervinho dan Mata akan menjadi tiga pemain pertama dibeli Gunners sebagai persiapan menghadapi musim baru EPL, dan berkemungkinan besar diperkenalkan dalam jersi Arsenal ketika kunjungan ke Kuala Lumpur – sepertimana Luiz Felipe Scolari memperkenalkan Jose Bosingwa kepada peminat Chelsea buat pertama kali, di Kuala Lumpur pada 2009.

foto : reuters
Apapun, hasrat peminat setia Gunners untuk menyaksikan kelibat kapten berpengaruh Arsenal, Francesc Fabregas, mungkin tidak kesampaian apabila tawaran terbaru Barcelona, iaitu  £31 juta, dikatakan sukar ditolak Arsenal, apatah lagi pemain itu sendiri minta dilepaskan agar dapat kembali beraksi bersama pasukan ‘asal’nya.

Namun terdapat dua kemungkinan, a) meskipun bersetuju dengan tawaran Barcelona, Arsenal tidak akan melepaskan kapten mereka itu setidak-tidaknya hingga tamat Jelajah Asia Arsenal, kerana dia adalah antara daya tarikan kelab, manakala b) Arsenal akan terus bermain tarik tali hingga Barcelona menepati permintaan £40 Juta yang ditetapkan.

Apapun, peminat The Gunners di Malaysia, pastinya mahu melihat Arsenal turun dengan barisan terkuat mereka – Thomas Vermaelen, Theo Wallcott, Samir Nasri, Fabregas, Andrey Arshavin, dan Jack Wilshere – bukan sahaja sebagai hiburan untuk peminat, atau pengalaman buat Harimau Malaya, tetapi turut dapat menguji kemampuan pemain kita antaranya Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Khairul Fahmi Che Mat, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan, Baddrol Bakhtiar, Asrarudin Putra Omar, dan ramai lagi.

1 comment:

Akif Mazlan said...

wat mari laa sapo2 pon. yg pentim malaysia meme akn menang. hua3.