Pautan Suara Sukan

Monday, June 10, 2013

Skuad bola jaring Selangor mahu tebus kecewa 2011

Meskipun bakal kehilangan dua pemain tonggak yang akan mewakili pasukan remaja kebangsaan di Kejohanan Bola Jaring Remaja di Brunei penghujung bulan ini, skuad bola jaring Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor yakin mampu mencapai sasaran minima layak ke aksi final.

Pengurus pasukan, Azlin Kamsah berkata kecewa tersingkir awal pada 2011 mahu ditebus oleh adunan pemain muda dan senior yang diletakkan harapan untuk menggalas cabaran di edisi kali ini dan menyifatkan skuadnya berada dalam sesi persiapan terbaik untuk mencapai sasaran itu.

“Saya yakin kita telah belajar sesuatu menerusi kegagalan pada 2011, kita perlu perbaiki kesilapan-kesilapan yang membawa kepada kekalahan. Itu kelemahan yang perlu kita atasi kerana secara keseluruhan saya lihat semua pasukan adalah lebih kurang, tiada yang terlalu kuat atau lemah jadi sasaran ini adalah realistik.

“Kita biasanya mengadakan latihan pada hujung minggu, bermula 14 Jun depan kita akan mula mengadakan latihan pusat sehinggalah SUKMA bermula. Penekanan aspek kecergasan mahupun teknikal, segalanya berjalan lancar. Keyakinan di kem juga semakin meningkat justeru kami hanya perlu fokus pada sesi persiapan,” katanya.    

KL Juara SUKMA 2011
Pasukan Selangor sebelum ini menjalani latihan di gelanggang terbuka Pejabat Daerah Petaling dan sejak beberapa minggu lalu menukar pusat latihan mereka itu ke gelanggang tertutup Kompleks Rakan Muda Klang, Kuala Selangor sebagai menyesuaikan diri dengan venue sebenar pertandingan nanti.

Mengenai pemilihan pemain, Azlin berkata pemantauan telah dilakukan dengan menilai pemain yang beraksi di Liga IPT serta Kejohanan MASUM serta membuka peluang kepada bakat-bakat berpotensi untuk memikat juri sebelum senarai akhir 12 pemain dimuktamadkan.

“Kita telah membuka peluang kepada ramai pemain, kemudian memilih 15 yang terbaik sebelum memuktamadkan 12 pemain terakhir pada hujung bulan Mei. Ia satu keputusan sukar dibuat kerana semua adalah terbaik. Jadi, skuad yang dibentuk ini saya yakin adalah skuad yang terbaik.”

Pada edisi kali ini, Selangor diundi sekumpulan bersama naib juara 2011, Terengganu dan Negeri Sembilan dan dijangka meletakkan harapan kepada ketajaman balingan ‘shooter’ mereka, S.Sakthieswary untuk meneruskan kemaraan .

No comments:

Post a Comment