Pautan Suara Sukan

Monday, June 10, 2013

7 pingat emas sasaran skuad gimnastik Selangor

SUKMA 2013 akan berlangsung 28 Jun depan, bahang makin terasa meskipun sukan-sukan utama tidak dipertandingkan ia tentunya punyai tarikan tersendiri. Saya terlibat di dalam membantu pihak sekretariat mempromosikan SUKMA kali ini menerusi kekuatan editorial yang dimiliki. Ini antara nukilan yang saya hasilkan untuk Unit Media SUKMA 2013.

Andai tiada aral melintang, pasukan gimnastik artistik Selangor tidak akan bermasalah untuk membawa pulang 7 pingat emas menerusi penyertaan di Sukan Malaysia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 28 Jun – 7 Julai depan sekaligus memperbaiki pencapaian 6 pingat emas pada 2011.

Demikian reaksi penuh yakin pegawai teknikal pasukan yang juga bekas gimnas kebangsaan, Onn Kwang Tung : “Persiapan berjalan lancar, kita sasar paling kurang 7 pingat emas iaitu 4 emas menerusi acara lelaki, dan 3 emas menerusi acara wanita dan sudah tentu gimnas kita yang beraksi bersama pasukan kebangsaan dijadikan sandaran utama.

Barisan Emas 2011
“Bagi acara lelaki, kita sasarkan emas berpasukan, individu keseluruhan, kekuda berpelana dan palang sejajar manakala bagi wanita pula kita sasarkan emas berpasukan. Bagi acara individu wanita, Farah Ann dan Elli Elina adalah sandaran kita, tetapi tidak sasar mana-mana apparatus khusus kerana belum pasti acara yang akan mereka sertai nanti,” kata Kwang Tung.

Gimnas kebangsaan, Daniel Iskandar Richard dan Chau Jern Rong akan memimpin aksi skuad lelaki manakala bagi skuad wanita, selain dua gimnas berpengalaman – Farah Ann Abdul Hadi dan Nur Elli Elina Azmi – sandaran turut digalas Letitia Ng Wei Qi dan Nur Azira Aziri untuk mempertahankan emas berpasukan yang mereka menangi tahun lalu.

Tahun lalu ketika SUKMA berlangsung di Pahang, pasukan lelaki Selangor yang turun sebagai kuasa dominan sukan ini apabila merangkul pingat emas tujuh edisi berturut-turut sejak 1998 – 2010 (gimnastik tidak dipertandingkan pada 2011) sekadar meraih pingat perak, dikecewakan pasukan Pulau Pinang.

Justeru, skuad yang turut dibarisi Gan Gang Wen, Tan Fu Jie, Chim Ai Di dan Benjamin Cheong ini berazam untuk merampas semula pingat emas yang terlepas itu seterusnya memulihkan semula martabat gimnastik artistik Selangor.

Bagi acara wanita, Selangor merampas semula emas berpasukan yang terlepas ke tangan Melaka sejak tahun 2006 pada temasya SUKMA 2012 menerusi gandingan cemerlang Farah Ann, Nur Eli Ellina, Nur Azira, Letitia, Sarah Aneesa Mazwan dan Wafiyatun Nagiha Rosli - Farah Ann sebelum ini melaungkan azam mahu mempertahankan dua pingat emas yang dimenanginya tahun lalu, salah satunya menerusi acara senam lantai.

Farah Ann
Senarai penuh skuad :

Lelaki : Daniel Iskandar Richard, Benjamin Cheong Kok Kong, Chau Jern Rong, Chim Ai Di, Tan Fu Jie, Gan Gang Wen

Wanita : Farah Ann Abdul Hadi, Nur Eli Ellina Azmi, Letitia Ng Wei Qi, Nur Afiqah Rosnan, Nur Azira Aziri, Sarah Aneesa Mazwan

No comments:

Post a Comment