Pautan Suara Sukan

Friday, June 21, 2013

Pasangan kembar sandaran Kelantan

Kelantan meletakkan harapan tinggi di bahu pasangan kembar seiras, Hao He Peng dan Hao He Hao untuk merealisasikan sasaran membawa pulang dua pingat emas acara gimnastik artistik di Sukan Malaysia ke-16 yang akan membuka tirai secara rasmi pada 28 Jun nanti.

Jurulatih pasukan, Mohd Jailani Daud berkata dua beradik yang merupakan bekas pelatih kebangsaan dan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil itu dilihat sebagai prospek terbaik Kelantan untuk memperbaiki pencapaian di Pahang tahun lalu di mana mereka sekadar meraih sebutir pingat perak dan sebutir gangsa.

“Mereka berdua inilah harapan emas kita. Mereka pernah berada dalam skuad elit kebangsaan dan pernah menyertai kejohanan-kejohanan besar jadi kita pertaruhkan pengalaman dan kelebihan yang ada pada mereka.

“Kali ini kita turun dengan persiapan lebih baik dan sasaran lebih realistik, kita mahu menjadi pencabar yang serius, bukan sekadar beraksi melengkapkan jadual pertandingan.”

Jailani yang pernah mewakili negara di Sukan Sea 1989 berkata keyakinan di kem Kelantan turut diperkukuhkan dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan gimnas mereka di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia yang berlangsung dari 2-9 Jun lepas di Shah Alam, di mana kontijen Kelantan membawa pulang 2 emas, 2 perak dan 1 gangsa.

 Menurutnya, kesemua 6 gimnas yang akan membawa cabaran kini berada dalam mood cukup bersedia dan memasuki fasa akhir latihan yang diadakan di Pusat Latihan Gimnastik, Kompleks Sekolah-Sekolah di Kota Bharu sebelum mereka menyertai Kem Motivasi Atlet membabitkan kesemua atlet SUKMA Kelantan di Besut pada 23 dan 24 Jun nanti.

Selain He Peng dan He Hao, empat lagi gimnas lain yang diberi kepercayaan mengalas cabaran adalah Shamirul Aizat, Azizul Jusoh, Ang Jing Hoe dan Mohd Hakimi.

1 comment:

  1. xdok kuiz untuk final piala fa ko? pemenang boleh tiket free. tiket mahal loni ni..ejah kuiz la bro aiman.

    ReplyDelete