Pautan Suara Sukan

Monday, May 20, 2013

Muaythai & Gimnastik sandaran Kelantan


Selepas kali terakhir menulis tentang SUKMA pada 2008, ketika itu berlangsung di Terengganu, saya agak teruja apabila ditawarkan sebuah syarikat PR Sukan terkemuka untuk menulis tentang temasya ini yang kini berlangsung secara tahunan, baru-baru ini. 

Saya menganggap ianya satu peluang untuk turut membantu mempromosikan sukan ini. Artikel yang ditulis dipaparkan di laman web rasmi SUKMA iaitu sukanmalaysia.nsc.gov.my dan selepas ianya disiarkan di laman web tersebut, barulah saya siarkannya di blog ini agar keasliannya masih menjadi milik sekretariat - saya menulis untuk mereka, maka mereka adalah pemilik artikel tersebut. 

Jadi untuk seketika sehingga tempoh berakhir SUKMA pada 7 Julai, rajin-rajinlah melayari laman web rasmi SUKMA itu untuk perkembangan kontijen dan segala maklumat yang diperlukan tentang temasya ini, dan ini pula antara nukilan terbaru saya. 



Muaythai & Gimnastik sandaran Kelantan

Kontijen Kelantan yakin mampu membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat emas daripada acara Muaythai pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Kuala Lumpur bulan depan, demikian menurut Penolong Pengarah Pentadbiran dan Atlet Majlis Sukan Negeri Kelantan, Tuan Aziz Tuan Mat.

Tambah Tuan Aziz yang juga pegawai yang bertindak menguruskan persediaan atlet SUKMA Kelantan : “Muaythai memang pertama kali dipertandingkan di SUKMA, tetapi sukan ini agak popular di kalangan rakyat Kelantan, persiapan kita sangat teliti kerana kita mahu mendominasi Muaythai di peringkat kebangsaan.

“Kita tidak mahu meletak cita-cita tinggi, tetapi saya berpendapat kita boleh meraih sekurang-kurangnya 5 pingat emas dari sukan ini. Ia adalah KPI (petunjuk aras prestasi) yang saya yakin kita boleh penuhi. Atlet-atlet kita diberi latihan khusus dan menjelang hari pembukaan pada 2 Julai, kita pasti sudah bersedia sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi tengah hari tadi.

Tuan Aziz berkata selain Muaythai, sukan lain yang diyakini berpotensi cerah menghadiahkan pingat atau lebih tepat disasarkan membawa pulang emas buat kontijen Cik Siti Wan Kembang itu adalah Ragbi, Gimnastik dan Bola Baling.

“Kita mempunyai skuad ragbi dan bola baling yang mantap, manakala gimnastik artistik pula kita ada beberapa atlet yang mampu menyerlah. Kita memiliki bekas atlet kebangsaan yang dahulunya berlatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan ketika berlatih sepenuhnya di bawah program MSNK. Pengalaman yang ada padanya adalah kelebihan bagi kita.”

Kontijen Kelantan ke SUKMA kali ini akan bertanding dalam 11 jenis sukan daripada keseluruhan 20 yang dipertandingkan iaitu bola tampar pantai, bolasepak pantai, bola jaring, sofbol, bola keranjang, ping pong, bina badan, gimnastik artistik, bola baling (lelaki dan wanita), ragbi dan muaythai.

Pada edisi ke-14 di Kuala Lumpur dua tahun lalu apabila SUKMA mula dianjurkan sebagai kejohanan tahunan, Kelantan hanya berupaya meraih 3 pingat emas, 2 pingat perak dan 1 pingat gangsa seterusnya menduduki tempat ke-11 senarai pungutan pingat.

No comments:

Post a Comment