Pautan Suara Sukan

Sunday, May 19, 2013

Hajat Gladiators tidak kesampaian

Hajat besar Angkatan Tentera Malaysia untuk mengambil kesempatan di atas kegagalan Lions XII mengutip mata penuh pada Jumaat, tidak kesampaian apabila dipaksa berputih mata tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan yang turut menjadi kemenangan pertama buat skuad Hoben Jang Hoben selepas 17 perlawanan Liga Super.

Ketua jurulatih, B.Sathianathan nyata kurang gembira dengan kegagalan pasukannya mengekalkan momentum kemenangan setelah mencatat empat kemenangan berturut-turut sebelum ini.


foto : utusan
“Ya memang mengecewakan untuk tewas pada ketika kita turun penuh bersemangat, tetapi kredit perlu diberikan kepada Negeri (Sembilan). Mereka main dengan penuh semangat, kita kena akui kita yang berikan mereka kemenangan ini, kita buat kesilapan mudah, hadiahkan sepakan percuma yang tidak sepatutnya diberikan di kawasan bahaya.

“Kita tidak berada pada prestasi sepertimana biasa kita tetapi kekalahan ini bagaimanapun tidak harus menyentap semangat pemain semua, saya mahu kita bangkit dan kembali kepada prestasi asal dan terus berada di landasan untuk mencapai sasaran kelompok tiga teratas,” ujar Sathianathan yang membimbing ATM menjuarai Liga Perdana musim lalu.

Selepas ketinggalan kepada jaringan minit pertama Fauzi Nan yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti hasil kesilapan Venice Alphi yang memegang bola terlalu lama, ATM bangkit menyamakan kedudukan menerusi kapten berpengaruh, Hairuddin Omar yang merembat masuk hantaran pemain sayap, Christie Jayaseelan.

Begitupun, malang buat The Gladiators apabila rentak kebangkitan yang cuba dijelmakan sedikit terencat dengan gol kedua menerusi sepakan percuma Nazrin Nawi yang gagal sama sekali diselamatkan Farizal Harun dan diburukkan dengan kecederaan menimpa Hai-O pada minit ke-41 – memaksa dia digantikan oleh Fitri Omar.

Ditambah ketiadaan penyerang tulen ekoran kecederaan dialami penyerang prolifik juga penjaring terbanyak, Marlon Alex James serta penyerang veteran, Nizarudin Yusof, ATM mendapati ianya terlalu sukar mencari gol penyamaan menentang skuad yang pertama kali dibimbing bekas penyerang Perlis, Ridzuan Abu Shah itu.

Tetapi Sathianathan tidak mahu menjadikan ianya sebagai alasan : “Ketiadaan Marlon sudah cuba saya tutup dengan meletakkan Hai-O, tetapi sayang dia tidak boleh meneruskan permainan. Nizarudin pula mengalami kecederaan saat akhir jadi ini sahaja pilihan kita ada. Kita perlu belajar bagaimana mahu bangkit apabila hilang pemain tonggak.”

Tamat perlawanan ke-18 buat ATM, liga akan berehat lebih sebulan dan hanya akan bersambung semula pada 21 Jun dengan perlawanan ATM yang seterusnya adalah menentang Selangor – dalam tempoh rehat panjang ini, Sathianathan menjelaskan pasukannya akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan untuk mengekalkan kecergasan pemain.  

No comments:

Post a Comment