Pautan Suara Sukan

Thursday, January 10, 2013

Pasukan pilihan langkah kanan, Darul Takzim gigit jari


Tamat perlawanan pertama bagi kesemua pasukan, semua pasukan pilihan iaitu Kelantan, Selangor dan Lions XII termasuk Perak bermula dengan langkah kanan apabila melakukan sepak mula musim baru liga dengan meraih tiga mata.

Piya menjaringkan gol penyamaan Kelantan. Foto : Wan Ahmad Jauzi/gawang.my
Kelantan, selaku juara bertahan sedikit cemas sebelum gol masa kecederaan Zairul Fitree mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas skuad bersemangat tinggi PKNS Selangor, manakala Lions XII menewaskan juara Piala Sumbangsih, Angkatan Tentera Malaysia 1-0 menerusi jaringan kapten pasukan, Shahril Ishak.

Selangor yang berwajah baru menewaskan Negeri Sembilan juga 1-0 menerusi jaringan bekas pemain Jang, S.Kunanlan sehari sebelumnya, begitu juga Perak di bawah bimbingan Azraai Khor Abdullah cemerlang mencatat kemenangan 1-0 meskipun memerlukan gol sendiri pada masa kecederaan Nuraliff Shamsudin untuk menewaskan T-Team.

Begitupun, aksi juara sulung Liga Super, Pahang menentang skuad bangsawan, Johor Darul Takzim paling mencuri tumpuan peminat bolasepak tempatan – Pahang bimbingan Dollah Salleh bangkit daripada ketinggalan 2 gol di babak pertama untuk menang 3-2 ke atas pasukan yang menghimpunkan deretan pemain berstatus bintang dalam pasukan mereka itu.

Fauzi Roslan menyumbang 2 gol, manakala R.Surendran menjaringkan gol kemenangan sekaligus memadam gol pendahuluan pelawat yang sebelum itu mendahului menerusi Safiq Rahim dan Norsharul Idlan.

Keputusan penuh Matchday 1 seperti berikut :

9 Januari 2013

Kelantan 2 – 1 PKNS Selangor (Badri, Zairul ; Helmi)
ATM 0 – 1 Lions XII (Shahril)

8 Januari

Perak 1 – 0 T-Team (gs Nuraliff)
Terengganu 1 -1 Felda (Ismail ; Ghaddar)
Selangor 1-0 Negeri Sembilan (Kunanlan)
Pahang 3 – 2 Darul Takzim (Fauzi, Fauzi, Surendran ; Safiq, Norsharul)

**penjaring pasukan tuan rumah dan pelawat dipisahkan dengan tanda (;)

No comments:

Post a Comment