Pautan Suara Sukan

Tuesday, January 8, 2013

Inspirasi Rezal, Shukor Azimat ATM


Nama mereka sudah mewarnai Liga Malaysia sejak lebih sedekad yang lalu, tetapi Rezal Zambry Yahya dan Shukor Adan yang kembali bergandingan dalam satu pasukan terus bernafsu besar dan bertekad membuktikan usia bukan penghalang untuk mereka terus mencipta nama, mencipta gemilang di arena bolasepak tempatan.

Rezal meraikan musim keduanya bersama The Gladiators dengan menampilkan aksi berinspirasi ketika menundukkan Kelantan pada perlawanan Piala Sumbangsih, manakala kehadiran Shukor – seorang lagi pemain berprofil tinggi berjaya dipancing ATM dan beraksi pertama kali dalam jersi biru ATM menambah pengalaman dan lebih keyakinan di barisan pertahanan skuad kendalian B.Sathianathan.

foto : Ahmad Junaidi/365images

foto : Ahmad Junaidi/365images
Aksi mereka di atas padang, membuktikan kudrat masing-masing belum ‘berkarat’ dan lebih penting, semangat dan aspirasi kedua-dua pemain berada di tahap cukup tinggi dan diyakini akan menjadi contoh yang baik untuk membimbing pemain muda dalam pasukan seperti K.Reuben, Yusaini Hafiz Che Saad, Mohd Afizze Faisal dan Syafiq Azri Ahmad Kamal.

Ironinya, dua pemain ini pernah mencipta gandingan bersama pasukan kebangsaan di bawah bimbingan Norizan Bakar, meskipun tidak lama dan kemudiannya bersama-sama mengangkat reputasi Negeri Sembilan sebagai jagoan Piala Malaysia – muncul juara pada 2009 dan naib juara pada 2010, justeru faktor keserasian dan persefahaman dilihat bukanlah menjadi masalah buat mereka sekaligus menjadi azimat berguna untuk dipertaruhkan Sathianathan.

“Sebenarnya bukan hanya Rezal, tetapi saya, Irwan Fadzly, Hairuddin, Farizal, kami semua pernah beraksi dalam satu pasukan, bersama Negeri Sembilan. Kami sudah mengenali satu sama lain sejak sekian lama dan membentuk gandingan cemerlang di sana.

“Saya harap tuah di Negeri Sembilan akan mengiringi kami sekali lagi apatah lagi kami akan beraksi di Paroi, gelanggang yang mempunyai pelbagai kenangan manis bagi kami dan kami mahu mengulanginya bersama ATM, ia sudah tentu satu cabaran baru yang mana perlu kami hadapi dengan mentaliti persis juara,” ujar Shukor, pemain versatile berusia 32 tahun yang boleh beraksi di pelbagai posisi.

Manakala Rezal, 33 tahun pula berkata : “Saya anggap menang Piala Sumbangsih dengan menundukkan Kelantan, sebagai kemenangan moral buat pasukan dan percaya ia akan membangkitkan semangat rakan sepasukan untuk mencipta kejayaan lebih gemilang tahun ini.

“Saya tahu ia bukan mudah, tetapi sudah tentu kami mahu kehadiran ATM di Liga Super dirasai pasukan lawan dan kami mempunyai skuad yang agak mantap. Adunan pemain muda dan berpengalaman pastinya menjadikan ATM antara pasukan yang perlu diawasi tahun ini.”

Selain Rezal, barisan tengah skuad ATM turut dibarisi kelibat kapten berpengaruh, Hairuddin Omar, pemain import, Bruno Sebastian Martelotto, selain Shukor sendiri yang mempunyai kelebihan untuk beraksi sebagai pemain defensif manakala pemain seperti Venice Elphi, Fitri Omar, Christie Jayaseelan dan pemain muda meningkat naik dari skuad Piala Presiden, Syazuan Hazani menjadi sandaran untuk menghadirkan ancaman dari posisi sayap.  

No comments:

Post a Comment