Pautan Suara Sukan

Tuesday, October 9, 2012

Pertarungan ATM vs Singapura, maruah negara jadi pertaruhan

BAK perajurit di medan sempadan, barisan Angkatan Tentera Malaysia tidak sesekali akan membenarkan penceroboh menyusup masuk untuk merampas hak milik tanah air yang tercinta.

Begitulah lafaz dan janji penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun yang bertekad untuk berjuang habis-habisan untuk memastikan Piala Malaysia kekal di negara ini dan tidak menyeberangi tambak Johor ke Singapura.

gambar ini selepas aksi semi kedua. foto : duniawarriors
“Kami berjanji untuk tidak sekali-kali membenarkan Piala Malaysia menyeberangi tambak Johor.

Pertembungan Khamis  ini bukan sekadar perlawanan separuh akhir tetapi perhitungan antara Malaysia dan Singapura.

“Justeru, kami pemain ATM berjuang habis-habisan mempertahankan maruah negara. Tiada lagi ruang buat sebarang kesilapan pada perlawanan ini,” kata penjaga gol berusia 26 tahun itu.

Farizal yang menampilkan aksi kemas pada timbal balik pertama di Stadium Jalan Besar, Jumaat lalu hanya tewas dengan tandukan Safuwan Baharuddin menerusi sepakan percuma Baihakki Khaizan 10 minit sebelum tamat.

Dengan berbekalkan satu gol di tempat lawan hasil ledakan kesepuluh penjaring terbanyak Piala Malaysia, Marlon Alex James, Farizal kini semakin yakin dengan kemampuan juara Liga Perdana itu untuk membuat penampilan semula pada final sejak kali terakhir melakukannya pada 1966.

“Kami lulus ujian pertama kami bermain di atas padang rumput tiruan di Jalan Besar. Sebelum ini, kami hanya berpeluang untuk berlatih hanya sekali di atas permukaan itu di Wisma FAM sebelum bertolak ke Singapura.

“Pergerakan bola di atas permukaan rumput tiruan begitu laju berbanding di atas permukaan biasa. Kini kami semakin yakin untuk meraih keputusan positif di Selayang,” tambah Farizal.

Sebaik tiba di ibu negara Sabtu lalu, pemain dibenarkan rehat sebelum dikerah berlatih malam Ahad dengan pengendali, B Sathianathan mahu pemainnya menggandakan usaha sepanjang minggu ini sebelum pertembungan getir Khamis ini.

“Selepas berdepan secara terus dengan mereka, kami memiliki gambaran sebenar mengenai kekuatan mereka dan jurulatih sudah memasang perangkap secara taktikal untuk menangani bahaya mereka, terutama menerusi penyerang, Shahril Ishak.

“Kami yakin untuk menjaringkan gol kerana kami tidak pernah gagal untuk menembusi gawang lawan dalam semua perlawanan tidak kira di tempat sendiri atau lawan.

“Yang penting, kami perlu memastikan bahawa kami tidak bolos pada perlawanan ini,” kata pemuda kelahiran Gemas, Negeri Sembilan itu.

No comments:

Post a Comment