Bagi Yahya Ahmad, bekas pelumba basikal negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Montreal 1976, edisi kali ini membekalkan peluang terbaik kepada Malaysia untuk pulang dengan kilauan emas, terutamanya menerusi pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang the pocket-rocketman, selepas sekadar meraih dua perak dan dua gangsa dalam sejarah penyertaan di Sukan Olimpik.
"Saya melihat ini adalah kontijen terkuat kita sejak sekian lama, walaupun harapan utama kita Lee Chong Wei masih bergelut dengan kecederaan, tetapi semua atlet ada potensi membuat kejutan dan pastinya saya meletak harapan tinggi sukan berbasikal. Azizulhasni antara prospek yang kita ada, sudah tentu dia mahu menebus kecewa pada Olimpim 2008, dan selaku bekas jaguh keirin nombor satu dunia, Azizul pastinya mahu menjadikan olimpik ini sebagai detik terbaik dalam karier," ujar Yahya.
Sementara bekas ratu pecut negara, Datuk M.Rajamani pula di sebalik kekecewaan tiada atlet olahraga layak ke temasya berprestij itu, optimis potensi Malaysia untuk meraih pingat akan sekali lagi hadir menerusi acara badminton sepertimana empat pingat yang diraih sebelum ini.
"Secara jujur saya ingin melihat wakil acara olahraga di Sukan Olimpik, kita pernah ada Tan Sri M.Jegathesan, Ishtiaq Mubarak dan saya sendiri, walaupun tidak menang tetapi kita layak ke peringkat tertinggi karier.
"Apa sekalipun, itu tidak mematahkan semangat saya untuk menyokong kontijen negara kita dan saya yakin kita mampu meraih pingat menerusi badminton. Badminton jarang mengecewakan, semua pingat kita hadir menerusi sukan itu. Saya diberitahu Chong Wei masih cedera tetapi saya yakin dia akan bangkit tepat pada waktunya dan balas kepercayaan kita, tetapi jangan terlalu tekan dia," kata Rajamani yang pernah mempamer kelibat di Sukan Olimpik Tokyo 1964.
Tidak ketinggalan berkongsi pandangan, bekas pemain tengah prolifik pasukan bolasepak kebangsaan, Bakri Ibni yang merupakan midfield-maestro pada zaman kegemilangannya, memacu kemaraan pasukan negara ke Sukan Olimpik 1980 melalui jaringan pada perlawanan menentang Korea Selatan.
"Saya percaya kepada atlet-atlet kita, mereka telah dan sedang dipersiapkan sebaiknya oleh Majlis Sukan Negara melalui Program Road to London. Jika dulu satu dua sukan seperti badminton sahaja yang berpotensi menyerlah, hari ini kita tengok terjun, memanah, berbasikal semuanya ada prospek pingat. Pandalela umpamanya nombor tiga dunia, ini satu perkembangan baik dan saya merasakan kita mampu meraih lebih daripada dua pingat, tidak kira pingat apa, tapi berikan yang terbaik, atlet kita boleh melakukannya..".
Manakala lagenda bolasepak tanah air, Tan Sri Datuk Abdul Ghani Minhat pula berpendapat hasrat untuk meraih emas pertama negara tidak mustahil untuk direalisasikan sekiranya setiap atlet mengelakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah.
Perkiraannya cukup mudah, bila mereka (atlet) kurang buat kesilapan, peluang untuk menang itu tinggi. Jangan kita harapkan pihak lawan buat silap, tetapi kurangkan kesilapan kita, yakin pada diri sendiri, buang rasa gugup dan gementar, sahut semangat Malaysia Boleh. Atlet kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa, jurang adalah terlalu kecil. Jika kita improve sedikit kita boleh tewaskan mereka, untuk itu kurangkan kesilapan," ujar Ghani yang turut dikenali sebagai Raja Bola.
Kesemua tokoh sukan negara ini menerusi kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, hadir memeriahkan Team Malaysia Fan Run anjuran Telekom Malaysia (TM) di Dataran Merdeka pada Ahad.
Larian ini adalah satu daripada inisiatif diambil TM sebagai sokongan dan pembakar semangat kepada atlet yang membawa cabaran di Olimpik London, dan dilepaskan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.
Impian Emas Olimpik 2012 bukan misi mustahil.. Segalanya boleh.. Malaysia Boleh..
ReplyDelete