Pautan Suara Sukan

Saturday, April 28, 2012

Bekas Juara Dunia Langgar Arahan Doktor Untuk Rampas Kembali Mahkota


Rina Jordana Adnan merampas kembali mahkotanya sebagai ratu silat kebangsaan walaupun terpaksa melanggar nasihat doktor apabila dia dinobatkan semula gelaran juara kebangsaan di Kejohanan Silat Kebangsaan ke-16 di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras, hari ini.

Rina (Lincah Malaysia) sambil diperhatikan Bibi Aisyah  (pengadil) juga bekas pesilat negara.

Pesilat berusia 32 tahun itu yang kali terakhir memenangi kejuaraan kebangsaan pada 2006, bersara daripada arena persilatan pada 2007 - tahun ketika dia merampas kejuaraan dunia - kerana komitmen kerja.

Walaupun tidak memasang impian yang besar sebelum kejohanan ini bermula, Rina Jordana jelas tiada tandingan kepada pencabar kelas Putri B (50-55kg) termasuk pesilat Kedah, Nur Adilah bt Abd Hamid pada pertarungan akhir hari ini, walaupun dia bertarung dengan ibu jari kaki kanan yang patah apabila menguasai penuh saingan untuk kemenangan 5-0.

“Saya tidak sangka akan menang di kejohanan ini kerana saya tidak dapat menjalani latihan dengan kerap," kata Rina Jordana yang turut mewakili negara dalam acara futsal.

“Saya sebenarnya lebih banyak berlatih dan bermain futsal kerana peluang untuk terpilih mewakili negara lebih cerah. Silat bagaimanapun, kekal menjadi sukan kesayangan saya dan kerana itulah saya membuat keputusan untuk bertanding di kejohanan kebangsaan ini.

“Malangnya, saya tidak tahu sama ada boleh mendapat cuti untuk meneruskan kehidupan sebagai atlit dua sukan ini."

Mengenai kecederaan kakinya, Rina Jordana berkata: “Ia berlaku beberapa hari lalu. Pada mulanya saya hanya menyangka ia terseliuh. Kemudian saya mendapat tahu tulangnya etak dan doktor yang merawat menasihatkan saya supaya menarik diri daripada pertandingan ini."

Selepas melihat pencabar lain dalam kategori berat badan yang disertainya, Rina Jordana berpendapat dia berpelang cerah untuk menang dan membuat keputusan melanggar nasihat doktor itu walaupun terpaksa beraksi dalam kesakitan.

“Saya terpaksa menukar corak pada pertarungan separuh akhir dan akhir kerana saya tidak dapat melakukan serangan kerana kecederaan ini. Mungkin pengalaman luas sebelum ini membantu saya menewaskan pencabar itu yang terlalu ghairah mahu mengutip mata," katanya yang memenangi pingat emas Sukan Asia 2002 ketika pencak silat menjadi acara pertunjukan.

“Seperti yang saya katakan, saya tidak pasti sama ada akan diserapkan semula ke dalam pasukan kebangsaan. Tetapi jika diberi peluang, saya akan cuba walaupun sedar pesilat muda negara ketika ini lebih bertenaga."

Jika Rina Jordana mahu bertanding di Kejohanan Dunia pada penghujung tahun ini, dia mungkin perlu berdepan Noor Farhana Ismail, yang kini bergelar pesilat nombor satu kebangsaan. -- Media247 ---

No comments:

Post a Comment