Pautan Suara Sukan

Tuesday, January 10, 2012

Karim Berundur, Noraseela Dimaafkan, Fatimah Bebas Buat Keputusan


Selesai sudah mesyuarat lebih 2 jam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Sri Shahidan Kassim di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. Antara keputusan yang dibuat :

KOM tidak bercadang menjatuhkan sebarang hukuman ke atas salah seorang atlet kuartet emas 4x400m Sukan Sea Indonesia yang didapati positif dadah baru-baru ini. Shahidan menegaskan adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman ke atas atlet terbabit pada ketika dia belum dibuktikan bersalah, dan menegaskan KOM hanya akan mengambil tindakan selepas keputusan sampel B diketahui.

“nak hukum apa dia belum didapati bersalah, adalah tidak wajar kita hukum dia, dedahkan nama dia pada ketika siasatan masih berlangsung, apa-apa tunggu sampel B, kalau B kata dia negative, maka dia tidak bersalah, tak perlu dihukum, orang luar kata saya diam, saya tak jumpa atlet, itu tak betul, setiap hari saya call Majlis Olimpik, call Dato’ Sieh Kok Chi bertanyakan perkembangan perkara ini, kita mahu telus, jadi tak perlu ghairah untuk menjatuhkan hukuman, tunggu keputusan ujian, baru pikir pasal hukuman..”. – Datuk Sri Shahidan Kassim.

Shahidan juga mengumumkan Karim Ibrahim, dengan sukarela melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan (bukan jawatan Timbalan Presiden), berkuatkuasa serta merta, dan beliau (Shahidan) sendiri akan mengambil alih jawatan itu mulai sekarang.

“saya sudah awal-awal lagi kata, kalau saya gagal capai KPI iaitu mengatasi kutipan pingat emas di Laos 2 tahun lalu, saya akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Kejurulatihan, dan sekarang saya kotakan janji saya..”. – Karim Ibrahim.

Ditanya apa relevannya dia mempertahankan kerusi Timbalan Presiden tatkala atlet dan jurulatih mula hilang kepercayaan terhadap kredibilitinya, Karim melepaskan ianya ke tangan atlet dan jurulatih serta barisan exco untuk memutuskannya sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan nanti.

Mengenai surat tunjuk sebab yang dihantar kepada Noraseela Khalid, Shahidan berkata Noraseela sudahpun membalas surat tersebut dengan meminta maaf, dan KOM menganggap isu ini sudah tutup cerita, dan tidak lagi perlu dibangkitkan.  Beliau berpendapat dengan permohonan maaf Noraseela, KOM mahupun orang luar tidak perlu lagi memanjangkan perkara ini.

Tentang hukuman yang dijatuhkan ke atas 6 atlet yang melarikan diri daripada ujian doping Jun tahun lalu, Shahidan berkata KOM sudah lama memberi mereka amaran keras agar tidak mengulangi perbuatan seperti itu (melarikan/menghilangkan diri). Katanya KOM tidak bercadang mengambil tindakan lanjut kerana kesemua mereka bukannya didapati positif ujian air kencing, sebaliknya negative.

Mengenai keputusan Siti Fatimah untuk beralih ke arena lumba basikal, Shahidan berkata KOM membenarkan atlet itu berbuat demikian kerana katanya Siti Fatimah tidak terikat kontrak dengan persatuan tersebut, dan ia adalah hak peribadi Siti Fatimah untuk menentukan sukan mana mahu diceburinya. Justeru, Siti Fatimah kini bebas memilih halatuju karier sukannya.

No comments:

Post a Comment