Tidak lengkap kiranya bercerita tentang zaman kegemilangan Badminton tanah air, tanpa menyebut nama pelengkap kepada pembabitan cemerlang Anak-Anak Sidek yang mencetus sensasi dunia badminton di era 90-an, Rashid Sidek.
Datang dari keluarga yang mengabdikan diri kepada sukan badminton, Rashid dan 4 abangnya – Misbun, Jalani, Razif dan Rahman, dibentuk ayah mereka, Datuk Sidek Abdullah Kamar untuk bergelar juara, justeru tidak hairanlah bintang Rashid bersinar seawal usia 12 tahun apabila muncul pemain termuda menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Kebangsaan, pada 1980 – setahun selepas bertukar daripada acara beregu ke perseorangan.
Nama Rashid mula menjadi sebutan hebat, selepas menjuarai Kejohanan Kebangsaan B-18 tahun menewaskan Kwan Yoke Meng pada 1984, di mana ketika itu beliau masih menuntut sebagai pelajar tingkatan 3 di Victoria Instution. Kecemerlangannya mendominasi setiap kejohanan peringkat umur, pantas mengangkat namanya selaku pemain baru dengan reputasi yang wajar disegani, tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana lawan.
Rashid terus mengorak langkah gemilang pada 1985, apabila mara ke final Kejohanan Remaja Asia, namun tewas kepada Alan Budi Kusuma dari Indonesia. Rashid tidak lagi menoleh selepas itu, menjuarai Terbuka Selangor, seterusnya gelaran senior pertama di Terbuka Sarawak, mengetepikan barisan pemain berstatus bintang termasuk abangnya, Misbun Sidek dan Foo Kok Keong.
Sejurus tamat Sijil Penilaian Menengah (SPM), beliau diserap ke dalam skuad Projek 1988/1990 - misi merampas semula Piala Thomas. Rashid membalas kepercayaan, dengan menampilkan aksi hebat, menewaskan dua jaguh Indonesia di separuh akhir - Ardy Wiranata (1988) dan Alan Budi Kusuma (1990) – namun Malaysia tewas di kedua-dua aksi final, kepada China 1-4.
Kemuncak karier Rashid adalah di antara 1990 – 1992, selain tampil membuktikan kejaguhan selaku pemain nombor satu negara dengan menjuarai Terbuka Malaysia tiga kali berturut-turut (1990, 1991, 1992). Rashid turut mencipta sensasi apabila meraih emas Sukan Komanwel 1990 menewaskan Foo Kok Keong di Auckland pada usia 22 tahun, namun kegagalannya untuk menyerlah di kejohanan luar menyaksikannya dilabel ‘jaguh kampung’ – apapun ia tidak cukup untuk mencabar kredibilitinya selaku pemain berkelas dunia terkemuka.
Pada final Piala Thomas 1992, Rashid menewaskan Ardy Wiranata, menghadiahkan Malaysia mata pertama dalam laluan merangkul kejuaraan kelima hasil kemenangan dramatik 3-2 ke atas musuh tradisi, Indonesia – kejuaraan pertama dalam tempoh 25 tahun, serta yang terakhir hingga ke hari ini.
Tahun yang sama menyaksikan Rashid menjuarai Grand Prix Dunia menewaskan Alan Budi Kusuma, dan juga Kejohanan ABC, seterusnya kekal di kedudukan lima teratas dunia.
Prestasinya mula merudum untuk tempoh tiga tahun selepas itu. Setelah gagal meraih sebarang kejuaraan pada 1993, Rashid sekadar berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel pada 1994 di Kanada, menewaskan Ong Ewe Hock, dan muncul juara Terbuka Brunei 1995.
Bagaimanapun, Rashid bangkit garang pada 1996, meletakkan dirinya di kelompok 3 pemain terbaik dunia, apabila muncul juara Piala Asia dan Terbuka Jerman, seterusnya mara ke final All England sebelum tewas kepada Paul Erik Hoyer Larsen dari Denmark.
Kejayaan meraih gangsa di Sukan Olimpik Atlanta 1996 selepas menewaskan pemain Indonesia yang juga juara dunia 1995, Heryanto Arbi, 5-15, 15-11, 15-6 pastinya kekal sebagai detik paling manis dalam karier sepanjang lebih 16 tahun Rashid selaku pemain professional, apatah lagi beliau menumbangkan pemain pilihan pertama, Joko Suprianto dari Indonesia dalam laluan ke separuh akhir, sebelum tunduk kepada pemain China, Dong Jiong.
Selepas bergelar pemain nombor satu dunia pada 1997, Rashid mula memberi ruang kepada pemain seperti Wong Choon Hann, Yong Hock Kin dan Roslin Hashim untuk meningkat naik, dan bersara pada 2000, dengan pencapaian terakhirnya adalah Naib Juara Terbuka Korea.
Sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang serta reputasi hebatnya, pada hari ini Rashid berperanan sebagai Ketua Jurulatih Badminton negara, yang dibarisi pemain nombor satu dunia ketika ini, Datuk Lee Chong Wei.
**dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan**
**dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan**
Cinta 200 ela menjadi medan untuk mencuba nasib dalam bidang baru untuk Rashid Sidek..lawak tengok filem tuh
ReplyDeletesebagai pemain mmg rashid hebat...tp sebagai jurulatih beliau masih belum menjumpai pengganti chong wei
ReplyDeletePost mnarik. kalu blh SS tampilkan lg perihal Anak2 Sidek ni.
ReplyDeleteSkrg ni kita ktandusan pmain Melayu. Slps berakhirnya keluarga Sidek sbg pmain Malaysia - khususnya Melayu - tiada lg pmain bertaraf dunia spt ini.
Dua beradik anak Hashim (Roslin & Hafiz) blm mampu mnandingi reputasi anak Sidek.
Mungkin skrg Rashid blh tsenyum krn anak saudaranya, Ramdan Misbun (ank Misbun) ada aura utk mnjadi pmain ternama suatu ktika nanti. Mudah2an Ramdan mnjadi sprt ayah dan pakcik2nya.
hrp dia x alami nsib yg sama spt misbun & rexy lepas ni. semoga rashid anak2 didik rashid menempa nama spt mana datuk LCW
ReplyDeleteoff topik: KKK n TBH tukar jurulatih pn xjd gapo...buke salah jurulatih, rexy tu ok. player naek lemok, sbb BAM manjo sgt, g2 la hasil dio...
ReplyDeletekemahkemim
man..bikin satu post kasi hentam 1 x larrhh sm itu bergu 'karat' mlsia..main asik kalah ja..nk tukar coach,dah tukar,.boleh buang dah tu dr BAM'ngan'..haha
ReplyDelete