Pautan Suara Sukan

Monday, October 3, 2011

Rexy Bukti Wibawa, Kejayaan Jangan Ternoktah Di Sini..


Kali terakhir penulis bertemu pasangan di ranking no.60 dunia ini, adalah pada 2009, ketika itu sebagai wartawan yang mencari bahan berita. Beregu wanita yang menjadi tumpuan, pastinya tidak lain tidak bukan pasangan nombor satu dunia ketika itu, Wong Pei Tty/Chin Eei Hui - manakala kelibat pemain perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei, pasangan beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Fairuzizuan Tazari/Zakri Latiff, dan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah adalah antara nama wajib dicari setiap kali berkunjung ke pusat latihan di Bukit Kiara.

Kelibat WOON KHE WEI mahupun VIVIAN HOO langsung tidak menarik tumpuan para pemberita untuk diberikan liputan, apatah lagi mereka sekadar pelapis, sekadar BACKUP yang belum menampakkan sebarang petanda atau reputasi bakal mengoncang persada badminton dunia dalam tempoh terdekat.

Sesekali, kalau adapun, mungkin kerana tertarik dengan wajah si cantik manis Khe Wei – menarik minat ramai wartawan, jurukamera, jurufoto kaum Adam untuk mendekatinya. Hari ini, Khe Wei dan Vivian, di bawah bimbingan JURULATIH DILUCUT TARAF, Rexy Mainaky, meraih kejuaraan antarabangsa pertama dengan menjuarai Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Indonesia – peningkatan hebat selepas 5 bulan digandingkan semula.

Khe Wei/Vivian mengejutkan pasangan pilihan, juga juara Terbuka Jepun, Yixin Bao/Zhong Qianxin dengan kebangkitan menakjubkan selepas tewas set pertama, 19-21, 21-19, 21-18, dengan mempamer aksi bertahan mantap dan persefahaman yang baik, selain permainan bijak yang memerangkap lawan. Malah, mereka turut mengetepikan pasangan pilihan keenam dari China, Chen Shu/Pan Pan, serta Sujitra Ekmongkol/Punyada Munkitcho (Thailand) dalam laluan ke final.

Lebih menarik, daripada lima kejohanan yang disertai tahun ini, Khe Wei, 22 dan Vivian, 21, berjaya mengekalkan konsistensi dengan mara ke dua aksi separuh akhir (Terbuka Taiwan, Terbuka Thailand), dan satu suku akhir (Terbuka Vietnam), dan kini disebut sebagai calon penganti terbaik kepada Pei Tty/Eei Hui yang dijangka bersara selepas Olimpik 2012.

Apapun, individu yang paling gembira melihat kejayaan pasangan muda ini, pastinya jurulatih, Rexy yang baru sebulan mengambil alih tugas jurulatih beregu wanita dari Pang Cheh Chang. Rexy pastinya menarik nafas lega melihat kejayaan anak buahnya, namun harus diakui ranjau lebih berliku menanti mereka selepas ini, dalam usaha mencipta nama selaku beregu wanita bertaraf dunia, dan mereka tidak boleh CARRIED AWAY dengan kejayaan pertama ini.

Jika lima kejohanan sebelum ini bertaraf Grand Prix Gold, selepas ini Khe Wei/Vivian akan beraksi dalam Kejohanan Siri Super Premier dan Siri Super Denmark serta Terbuka Perancis yang pastinya menampilkan lawan lebih hebat. Semoga kejayaan diraih di Kalimantan tidak terhenti di sini, selamat berjaya!

No comments:

Post a Comment