Pautan Suara Sukan

Sunday, May 8, 2011

Wira Tak Didendang : Shamsudin Puas Walau Hanya Setahun Bergelar Atlet Negara


Tarikh Lahir : 13/11/1956

Mendengar nama Shamsudin Mat, mungkin tidak ramai yang begitu mengenali bekas atlet lumba jalan kaki negara ini, yang bergelar atlet negara hanya setahun, iaitu pada 1977.

Shamsudin yang sempat mewakili negara di Sukan Sea 1977 di Kuala Lumpur, lebih banyak menyerlah di kejohanan amatur tempatan, dengan membawa nama Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau yang sinonim dengan acara 20km, meraih pelbagai kejuaraan sepanjang penglibatan selama hampir 10 tahun dalam bidang yang diceburinya sejak bangku sekolah ini.

Pelbagai pengalaman pahit manis, suka duka ditempuhnya sepanjang tempoh itu termasuklah menang Kejohanan Jalan Kaki Malay Mail (bagi setiap peringkat umur), Kejohanan Star Walk, Kejohanan Anjuran PDRM, dan sebagainya. 

Namun di antara pelbagai kenangan itu, yang paling sukar untuk dilupakannya sehingga kini, apabila gagal menamatkan perlumbaan jalan kaki 50km di Ipoh, Perak. Beliau sekadar menamatkan 30km perlumbaan, sebelum kehabisan tenaga gara-gara tidak cukup latihan.

Beliau bersara secara penuh dari bidang olahraga, pada 1985, kerana faktor usia, dan bapa kepada 3 anak ini, kini sudahpun 11 tahun bersama Puncak Niaga, berkhidmat sebagai Pengurus Kanan.

Shamsudin bersama Isteri, Salmah Osman, ditemui penulis ketika bersama-sama mengerjakan Umrah di Tanah Suci Mekah, dan baginya Program Lambaian Kaabah ini bukan sahaja dapat beribadah, malah satu usaha murni dalam menghargai jasa bekas atlet yang banyak berkorban untuk negara.

Selain itu, beliau juga gembira dapat bertemu semula rakan-rakan lama yang sekian lama terputus hubungan, antaranya Abdul Mutalib (Menembak), Khalid Ali (Bola), Nik Rosli (Basikal), Rashid Yahya (Takraw) dan ramai lagi rakan sezaman ketika itu.

No comments:

Post a Comment