Pautan Suara Sukan

Saturday, May 7, 2011

Wira Tak Didendang : Kemalangan Noktahkan Karier Romli


Jika tidak kerana kemalangan yang menyebabkan kaki kanannya patah, dan tidak lagi berupaya mengayuh basikal, Romli Desa, pastinya mencipta sejarah lebih gemilang dalam arena sukan lumba basikal tanah air.

Jika hari ini kita sinonim dengan nama Anuar Manan, Suhardi Hasan, Adiq Husaini (Lebuhraya), atau Azizulhasni Awang, Rizal Tisin dan Josiah Ng (Trek), Romli Desa pula nama yang meniti di bibir pengemar sukan itu, lebih kurang 40 tahun lalu.

‘Romli Raja Bukit Gantang’, ‘Romli Desa Pelumba Terbaik Pulau Pinang’, dan pelbagai lagi gelaran pernah diraih anak kelahiran Sungai Petani ini, yang seringkali menguasai perlumbaan peringkat tempatan sebelum rezeki untuk bergelar pelumba negara hadir pada usia 28 tahun iaitu pada 1969.

Anak didik arwah Alwi Ahmad, dan Shahrudin Jaafar ini, berkata beliau sekadar teringin nak mencuba apabila melihat ramai rakan-rakan, termasuk kawan baiknya Jamil Ishak mengayuh dan menyertai perlumbaan-perlumbaan tempatan.

Percubaan pertamanya untuk memikat panel penilai skuad kebangsaan, adalah menerusi perlumbaan anjuran Persatuan Lumba Basikal Kedah, untuk pemilihan ke Sukan Seap Rangoon 1969, namun beliau gagal dalam usahanya. 

Bercerita tentang pengalaman manisnya sepanjang tempoh singkat 4 tahun bergelar pelumba negara, Romli nyata belum dapat melupakan kejayaan Malaysia meraih emas 200km acara berpasukan Sukan SEAP 1973, ketika itu berganding antaranya bersama Elias Kamal, dan Raja Osman, selain kejayaan menduduki tempat keempat acara berpasukan dua tahun sebelumnya, di Sukan SEAP Kuala Lumpur 1971.

Manakala detik paling mengecewakan buatnya adalah kegagalan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Munich 1972, meskipun berbekalkan rekod cemerlang di setiap kejohanan tempatan.

Selepas kemalangan yang menoktahkan kariernya, Romli mengambil keputusan berehat, sebelum kembali sebagai jurulatih untuk tempoh 2-3 tahun - Shamsuddin Abdullah serta Abdul Rahman Ahmad adalah antara pelumba negara yang digilap bakat mereka oleh Romli.

Kini, pada usia 60 tahun, Romli, bapa kepada 6 cahayamata, lebih menumpukan perhatian kepada aktiviti amal ibadah. Ketika ini beliau bersama isterinya, Muhaizah Ali, mengerjakan Umrah di Tanah Suci Mekah dan beliau nyata gembira untuk akhirnya menjejakkan kaki pertama kali ke sini, hasil inisiatif Yayasan Kebajikan Atlet. 

Selain berkesempatan bertemu ramai rakan lama yang turut serta dalam program YAKEB ini, Romli berkata beliau amat bersyukur kerana tidak pernah menyangka akan beroleh peluang sebegini rupa, dan mahu memanfaatkan sebaik mungkin setiap detik berada di Mekah, meskipun keupayaannya sedikit terbatas dek kecacatan kekal di kaki kanan beliau.

No comments:

Post a Comment