Segalanya boleh dianggap selesai antara Datuk Misbun Sidek dan Persatuan Badminton Malaysia, cuma mungkin ada satu-dua perkara yang masih perlu diberi perhatian contohnya perihal berkaitan kontrak yang mana SS yakin akan selesai sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Apapun, tahniah kepada Misbun, di atas keputusan bijak diambil untuk menarik balik perletakan jawatan serta kembali ke pangkuan BAM selepas bermain tarik tali lebih 3 bulan, sekaligus membuktikan keputusan muktamad dan terakhir adalah di tangan anda – meskipun selepas ini BAM pula dijangka ‘berkuasa’ dengan menetapkan beberapa syarat atau peraturan baru apabila beliau menandatangani kontrak baru kelak.
Apa yang pasti, tempoh 3 bulan untuk membuat suatu keputusan pastinya diakui sebagai satu tempoh masa yang panjang, dan pada ketika ramai mempersoalkan tindakan Misbun seolah pentingkan diri, sebab sebenar beliau berbuat demikian hanya akan terjawab sekiranya Misbun sendiri membuka mulut, dan SS yakin Misbun pastinya mempunyai sebab konkrit untuk berbuat demikian.
Untuk renungan bersama BAM selaku badan induk mempunyai kuasa untuk memberi kata dua kepada Misbun dan jika Misbun bersalah, adakah BAM akan memujuk dan meminta beliau kembali, menarik balik perletakan jawatan, seterusnya memberi tempoh yang begitu lama untuk beliau membuat keputusan, dengan alasan kes Misbun adalah kes yang istimewa, dan kini menerima balik Misbun dalam BAM?
Kenapa tidak BAM menerima sahaja keputusan Misbun yang mahu meletak jawatan sebelum ini, adakah khuatir ia akan menjejaskan pula prestasi jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei? Jawapannya ada di situ.
Perlu diingat, di sebalik ketiadaan Misbun, Rashid Sidek dan Tey Seu Bock berjaya menjalankan tanggungjawab dengan cukup baik dalam menguruskan Chong Wei serta 4 pemain elit yang lain iaitu Tan Chung Seang, Chong wei Feng, Darren Liew dan Chan Kwong Beng.
Malah, Chong Wei terutamanya berjaya menyesuaikan diri dengan baik di sebalik ketiadaan Misbun, meskipun pernah menyatakan akan mengikut jejak Misbun untuk keluar daripada BAM dan seringkali mengeluarkan kenyataan meminta sifunya itu kembali, dan membentuk kombinasi jurulatih-pemain terbaik sepanjang zaman.
Sepanjang ketiadaan Misbun juga, Chong Wei, 29 tahun, mara ke empat aksi final – Aksi Akhir Masters Siri Super, Terbuka Malaysia, Terbuka Korea, dan All England. Chong Wei menang 3 daripadanya, hanya tewas di Terbuka Korea, dan mencatat kemenangan straight set ke atas Lin Dan dalam laluan mengekalkan kejuaraan All England.
Kini, kembalinya Misbun bermakna 5 pemain elit ini akan dilatih 3 jurulatih, sekaligus mengugat kedudukan salah seorang antara Rashid dan Seu Bock. Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan di bawah Ng Chin Chai, perlu bijak membuat keputusan dalam hal ini, dan pastinya struktur kejurulatihan yang sedia ada tidak akan dirombak semata-mata kerana kembalinya Misbun.
Selain membimbing Chong Wei mencipta gemilang di Olimpik 2012, Misbun juga akan bertanggungjawab mencungkil bakat-bakat baru dunia badminton tanah air, meskipun pendapatannya mungkin tidak semewah apa yang diperolehinya sebelum ini, di mana beliau merupakan jurulatih dengan gaji tertinggi dalam kem negara.
Apa sekalipun situasinya, SS yakin peminat sukan Badminton tanah air pastinya gembira melihat Misbun kembali membimbing Chong Wei, dan diharap lebih banyak kejayaan gemilang menyusul selepas ini.
Sekali lagi, Tahniah Datuk Misbun!!
Untuk melahirkan jaguh bukan kerja sehari dua..biar pun berjaya dia sudah pun dilandasannya dan untuk melupa Dato' Misbun begitu sahaja dan terus mengatakan tanpanya LCW pun berjaya kurang tepat....
ReplyDelete