Pautan Suara Sukan

Saturday, April 2, 2011

Prestasi Tidak Menentu, Piya Menjadi Sasaran Kritikan


Piya atau Badri Razi, anak jati yang juga pemain kesayangan Kelantan, jelas pemain yang menjadi sanjungan di kem The Red Warriors sejak beberapa musim yang lalu. Layak diangkat sebagai pemain serba boleh dek kerana larian deras, hantaran-hantaran tepat, peranannya selaku kapten pasukan dan kelebihannya sebagai pakar sepakan percuma, Piya adalah asset skuad Kelantan, sepertimana pernah diakui dua bekas jurulatih Kelantan, Peter James Butler dan B.Satianathan suatu ketika dahulu.

Gol menarik sepakan percuma ketika menentang Selangor pada perlawanan Piala Sumbangsih di awal musim, serta satu gol ketika menentang Terengganu pada 1 Februari lalu, adalah gol terakhir Piya dalam saingan liga manakala 2 lagi gol, dalam saingan Piala FA, dengan yang terakhir pada saingan suku akhir menentang Felda Utd, 15 March lalu.

Menjaringkan gol tidak bermakna anda beraksi dengan baik, mungkin itu yang cuba disampaikan ratusan peminat bolasepak Kelantan menerusi e-mail kepada Suara Sukan, yang nyata kurang berpuas hati dengan kemerosotan prestasi Piya sejak beberapa perlawanan lalu, dan meminta pemain ini segera memperbaiki prestasi jika tidak mahu terus menjadi sasaran kritikan.

Perlawanan menentang Harimau Muda pada Jumaat, yang mana Kelantan menang 2-1 menampakkan Piya agak kekok dalam segenap aspek dan tidak menunjukkan sentuhan sebenar, tenggelam punca, dan seolah hilang fokus yang memaksa Ketua Jurulatih, Dato M.Karathu menggantikannya dengan Khairan Izuan Razali.
Seperti biasa Suara Sukan mendapatkan reaksi Karathu, namun beliau lebih memilih untuk bersifat defensive dan tidak menyalahkan kaptennya itu. 

“Mana-mana pemain ada on-off mereka, hari ni Piya tidak menjadi bukan bermakna dia pemain yang tidak baik, dia contoh yang baik kepada pasukan, dia kapten, cuma mungkin hari ini bukan hari dia, saya tetap berpuas hati dengan permainan Piya dan keluarkan dia kerana tidak mahu dia berdepan risiko kecederaan, dia ada pengalaman buruk beraksi di atas padang becak..”, jawab Karathu.

Merujuk kepada pengalaman buruk dimaksudkan Karathu, kecederaan patah kaki dialami Piya dua tahun lalu ketika menentang Pulau Pinang adalah di atas padang becak, justeru adalah relevan tindakan Karathu mengeluarkannya dan memberi peluang kepada Khairan Izuan beraksi pada perlawanan kompetitif.

Piya sememangnya diakui antara tulang belakang TRW justeru peminat di luar sana pastinya tidak mahu pemain kesayangan mereka ini hilang tumpuan di atas padang. Kritikan yang dilemparkan, SS yakin bukan bermaksud untuk menjatuhkan Piya, sebaliknya suntikan motivasi untuk pemain ini beraksi lebih cemerlang di masa akan datang.

Kepada Piya dan TRW, selamat maju jaya.


2 comments: