Pautan Suara Sukan

Friday, April 15, 2011

Sabah Mahu Cipta Kejutan Di Kota Bharu


Sehingga ketika ini, belum ada pasukan pelawat berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari gelanggang keramat skuad Kelantan, Stadium Sultan Muhammad Ke-4, Kota Bharu, bagi saingan musim 2011.

Kali terakhir, ketika tewas kepada Kedah pada saingan Liga Super Januari 2010, manakala dalam saingan Piala Malaysia kepada Negeri Sembilan, pada September.

Cubaan pasukan terakhir berkunjung ke Kota Bharu, Felda Utd untuk melakukannya, berkesudahan dengan mimpi ngeri, tewas 0-6, dan kini Sang Badak, Sabah, mahu mengintai ruang mencipta kejutan muncul pasukan pertama menewaskan Kelantan di Kota Bharu, sekaligus menambah derita tuan rumah yang sudah tewas 3 kali dalam 5 perlawanan terakhir. 

Ironinya, kesemua kekalahan Kelantan adalah di gelanggang lawan, kepada Pahang, T-Team dan terbaru 0-4 kepada Perak, manakala satu-satunya pasukan berjaya mengelak kekalahan di Kota Bharu, adalah Terengganu, yang membawa pulang satu mata hasil keputusan seri 1-1.

Untuk sebuah pasukan yang dilabel pencabar kejuaraan mencicirkan 9 mata daripada maksimum 15 mata, pastinya sesuatu yang perlu diberi perhatian serius, dan Sabah mahu memanfaatkan kekusutan melanda kem Wira Merah ketika ini, dengan mempamer aksi sama ketika ‘menghadiahkan’ kekalahan pertama buat Perak musim ini. 

Sabah tanpa diduga, muncul pasukan pertama menewaskan Perak yang berada di terbaik ketika ini, Sabtu lalu, dan baru-baru ini seri 2-2 menentang Perlis.

“dalam bolasepak, kita tak boleh duga apa akan berlaku. Kelantan bukan pasukan mudah, mereka pasti akan bangkit, yang saya mahu komitmen 100% pemain, kalau dapat 1 mata dah cukup nasib baik, 3 mata adalah bonus..saya takkan pressure pemain saya..”, SMS daripada penolong pengurus Sabah, Mark Jones.

Ketika ini, Sabah di kedudukan ke-13 daripada 14 pasukan yang beraksi dalam Liga Super, dengan 10 mata - 4 mata dibezakan dari zon pertengahan liga dan 10 mata di belakang Kelantan yang ketika ini menghuni tangga keempat.

No comments:

Post a Comment