Pautan Suara Sukan

Sunday, April 10, 2011

Kecewa Berganda Dari Australia, Apapun Syabas Choong Hann, Pei Tty & Eei Hui


Lupakan kekalahan, sebaliknya pencapaian anda layak untuk dibanggakan. Tahniah buat pemain perseorangan bebas, Wong Choong Hann dan beregu wanita, Chin Eei Hui / Wong Pei Tty di atas kejayaan mara sehingga ke peringkat final Kejohanan Grand Prix Terbuka Australia 2011.


Masing-masing tewas kepada lawan dari Jepun dalam aksi final, Choong Hann kepada pemain pilihan keenam, Sho Sasaki, manakala Eei Hui / Pei Tty kepada pilihan keempat, Shizuka Matsuo / Mami Naito.

Memang kemenangan yang kita harapkan untuk dibawa pulang, namun Suara Sukan yakin peminat pastinya tidak begitu kecewa melihat kepada keputusan ini, apatah lagi tiada harapan tinggi diletakkan, dan muncul finalis sudah boleh dianggap satu kejayaan.

Choong Hann terutamanya, pada usia veteran, 34 tahun membuktikan kudratnya lebih berbisa berbanding Tommy Sugiarto, pemain yang lebih muda 11 tahun daripadanya, malah berjaya mengheret Sasaki beraksi 3 set (pertarungan selama sejam) sebelum tewas 11-21, 21-12, dan 19-21.

Keputusan ini pastinya menghidupkan peluang buat Choong Hann untuk beraksi di Kejohanan Dunia, buat kali ketujuh, dan juga mungkin yang terakhir baginya. Untuk makluman, pemain yang berada di 24 ranking teratas dunia, akan beroleh tiket beraksi di Kejohanan Dunia, yang akan berlangsung di London Ogos depan.

Bagi pasangan Eei Hui / Pei Tty yang sebelum ini terlalu jarang bergandingan kerana masalah kecederaan, ini mungkin boleh menjadi batu loncatan untuk kembali menggoncang arena badminton dunia selepas ini.

No comments:

Post a Comment