Tuesday, December 25, 2012

Julang Piala AFF kali keempat, Singapura kuasa bolasepak Asia Tenggara

Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah Kakibola edisi minggu akhir Disember dan saya baru berkesempatan untuk upload story ini di blog.

Singapura mengesahkan reputasi mereka selaku gergasi bolasepak Asia Tenggara apabila menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki buat kali keempat menerusi kemenangan aggregat 3-2 ke atas Thailand meskipun tewas 0-1 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Supachalasai, 22 Disember lalu.

Membawa bekalan 2 gol hasil kemenangan 3-1 yang dicatat di laman sendiri, Stadium Jalan Besar pada 19 Disember, Singapura bimbingan Radojko Avramovich memilih untuk bermain lebih defensif dan ternyata ianya membuahkan hasil meskipun terpaksa menahan asakan hebat tuan rumah sepanjang 90 minit perlawanan.


Gol jaringan Kirati Keawsombut menerusi tandukan kencang seminit sebelum babak pertama berakhir memecahkan kebuntuan permainan, sekaligus menyemarakkan moral dan semangat pemain Thailand yang sedar mereka boleh bergelar juara menerusi kelebihan gol di tempat lawan dengan hanya perlu menambah satu lagi jaringan.

Di sebalik melancarkan serangan bertali arus dan mencipta deretan peluang keemasan, satu gol yang dicari itu gagal diterjemahkan oleh barisan depan Thailand yang diterajui Teerasil Dangda, Pichitphong Choeichiu dan Jakkraphan Pornsai – malah Kirati pastinya meratapi kegagalan menyempurnakan peluang keemasan memberikan Thailand gol kemenangan selepas percubaannya melepasi palang gol pada minit ke-66.

Malah, kredit juga harus diberi kepada barisan pertahanan Singapura diketuai Bhaihaki Khaizan yang berjaya mengawal tekanan seterusnya bertahan dengan baik, selain kecemerlangan penjaga gol, Izwan Mahbud yang tenang di gawang sekaligus menghampakan jurulatih Thailand, Winfried Schafer dan 20,000 penyokong setia skuad Gajah Perang.

Menariknya, kejayaan skuad Singapura ini dibantu aksi hebat 8 pemain tonggak mereka yang beraksi bersama pasukan Lions XII yang muncul naib juara dalam saingan Liga Super Malaysia, membuktikan bahawa Liga Malaysia mempunyai kualiti untuk melahirkan pemain terhebat di rantau ini.

Tetapi malangnya hanya dua sahaja pemain dari skuad Kelantan yang muncul juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA tahun ini melekat dalam skuad Harimau Malaya, itupun bukan di dalam kesebelasan utama - di mana silapnya?


Kejayaan terbaru ini bermakna Singapura layak berbangga selaku negara paling banyak memenangi trofi ini sejak ia diperkenalkan pada 1996 (ketika itu dikenali dengan nama Piala Tiger), diikuti Thailand sebanyak tiga kali, manakala Malaysia dan Vietnam, masing-masing sekali.

Thailand pula terus kempunan untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 10 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 2002 dan kekalahan kali ini merupakan kekalahan kali ketiga berturut-turut pada aksi final selepas 2007 dan 2008.

Ketua pasukan Singapura yang beraksi untuk Lions XII dalam saingan Liga Super Malaysia, Shahril Ishak dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) manakala penyerang Thailand, Teerasil Dangda muncul penjaring terbanyak kejohanan – manakala Malaysia yang kecewa gagal mempertahankan kejuaraan meraih Anugerah Fair Play (permainan bersih).

No comments: