Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah Kakibola edisi minggu akhir Disember dan saya baru berkesempatan untuk upload story ini di blog.
Singapura mengesahkan reputasi mereka selaku gergasi bolasepak
Asia Tenggara apabila menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki buat kali keempat
menerusi kemenangan aggregat 3-2 ke atas Thailand meskipun tewas 0-1 pada
perlawanan akhir kedua di Stadium Supachalasai, 22 Disember lalu.
Membawa bekalan 2 gol hasil kemenangan 3-1 yang dicatat di laman
sendiri, Stadium Jalan Besar pada 19 Disember, Singapura bimbingan Radojko
Avramovich memilih untuk bermain lebih defensif dan ternyata ianya membuahkan
hasil meskipun terpaksa menahan asakan hebat tuan rumah sepanjang 90 minit
perlawanan.
Gol jaringan Kirati Keawsombut menerusi tandukan kencang seminit
sebelum babak pertama berakhir memecahkan kebuntuan permainan, sekaligus
menyemarakkan moral dan semangat pemain Thailand yang sedar mereka boleh
bergelar juara menerusi kelebihan gol di tempat lawan dengan hanya perlu
menambah satu lagi jaringan.
Di sebalik melancarkan serangan bertali arus dan mencipta deretan
peluang keemasan, satu gol yang dicari itu gagal diterjemahkan oleh barisan
depan Thailand yang diterajui Teerasil Dangda, Pichitphong Choeichiu dan
Jakkraphan Pornsai – malah Kirati pastinya meratapi kegagalan menyempurnakan peluang
keemasan memberikan Thailand gol kemenangan selepas percubaannya melepasi
palang gol pada minit ke-66.
Malah, kredit juga harus diberi kepada barisan pertahanan
Singapura diketuai Bhaihaki Khaizan yang berjaya mengawal tekanan seterusnya bertahan
dengan baik, selain kecemerlangan penjaga gol, Izwan Mahbud yang tenang di
gawang sekaligus menghampakan jurulatih Thailand, Winfried Schafer dan 20,000
penyokong setia skuad Gajah Perang.
Menariknya, kejayaan skuad Singapura ini dibantu aksi hebat 8
pemain tonggak mereka yang beraksi bersama pasukan Lions XII yang muncul naib
juara dalam saingan Liga Super Malaysia, membuktikan bahawa Liga Malaysia
mempunyai kualiti untuk melahirkan pemain terhebat di rantau ini.
Tetapi malangnya hanya dua sahaja pemain dari skuad Kelantan yang
muncul juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA tahun ini melekat dalam
skuad Harimau Malaya, itupun bukan di dalam kesebelasan utama - di mana
silapnya?
Kejayaan terbaru ini bermakna Singapura layak berbangga selaku negara
paling banyak memenangi trofi ini sejak ia diperkenalkan pada 1996 (ketika itu
dikenali dengan nama Piala Tiger), diikuti Thailand sebanyak tiga kali,
manakala Malaysia dan Vietnam, masing-masing sekali.
Thailand pula terus kempunan untuk menamatkan kemarau kejuaraan
selama 10 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 2002 dan kekalahan kali
ini merupakan kekalahan kali ketiga berturut-turut pada aksi final selepas 2007
dan 2008.
Ketua pasukan Singapura yang beraksi untuk Lions XII dalam saingan
Liga Super Malaysia, Shahril Ishak dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP)
manakala penyerang Thailand, Teerasil Dangda muncul penjaring terbanyak
kejohanan – manakala Malaysia yang kecewa gagal mempertahankan kejuaraan meraih
Anugerah Fair Play (permainan bersih).