Thursday, June 30, 2011

Subahan Sasar Peringkat Kumpulan, Usah Pertikai Keputusan Rajagobal


Percaturan dan beberapa pindaan taktikal dilakukan jurulatih skuad negara, Datuk K.Rajagobal termasuk kejutan di barisan kesebelasan utama ketika menewaskan Taiwan 2-1 semalam, mendapat pelbagai reaksi negatif peminat bolasepak tanah air, yang kecewa skuad Harimau Malaya sekadar menang tipis ke atas pasukan kerdil itu.

Ada yang mempertikai tindakan menurunkan Safee Sali selaku penyerang tunggal, walhal Malaysia bermain dengan taktikal menyerang dan perlu menjaringkan seberapa banyak gol, ditambah pula dengan hakikat bahawa Rajagobal mempunyai empat pilihan penyerang lain untuk membantu Safee mencari gol.

Tidak kurang yang mempertikai keputusannya memberikan slot kesebelasan utama kepada Helmi Remeli yang terpaksa pula dikeluarkan belumpun sampai setengah jam permainan, manakala ada yang berpendapat Rajagobal gagal menggunakan sebaiknya pilihan pemain yang beliau ada – di mana Ashaari Shamsuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad dan Mahali Jasuli sekadar menjadi pemerhati, manakala Shakir Shaari diturunkan pada 10 minit terakhir.

Posisi Baddrol Bakhtiar pula mungkin lebih berkesan jika diisi lebih awal Abdul Hadi Yahya, Norshahrul, atau Ahmad Fakri Saarani, manakala Baddrol sendiri dikembangkan ke posisi sayap, namun pastinya Rajagobal mempunyai alasan tersendiri di atas segala permainan strategi, taktikal yang diterapkannya.

Beberapa bekas pemain negara yang berkongsi pandangan bersama SS, berharap agar peminat tidak menyalahkan atau mempertikai keputusan Rajagobal, kerana sebagai Ketua Jurulatih skuad negara beliau pastinya lebih arif tentang sesuatu keputusan yang dibuat.

“silap sebenarnya kalau kita pertikai keputusan Raja, mesti ada sebab kenapa Mahali tak main Helmi yang main, kenapa Ashaari tak main Baddrol yg main. Kalau menang semalam semua tu orang akan puji dan cakap sebaliknya, takkan ada yang nak pertikai.  Mungkin Raja sebenarnya nak expose Helmi to international game, sebab Mahali ni pemain Olimpik, so bila Mahali unavailable, Helmi tak kekok. As a coach dia percayakan pemain dia cuma dalam situasi semalam plan dia tak menjadi, tu yg kena rombak taktikal dan formasi. and u jamin ke kalau player lain yg main kita akan menang besar?..” – K.Gunalan, bekas pertahanan Selangor dan Kebangsaan.

“kita peminat jangan cuba jadi lebih pandai daripada coach. Bila jadi situasi macam ni, ada jer yang cakap itu tak betul, ini tak betul, kalau dengan taktikal yang sama semalam kita menang 3 atau 4-0, mesti takde yg nak kritik. Kita kena ubah mentality. Player yang tak jadi, mungkin bukan hari dia. Mungkin ada sesuatu yg bermain dalam pemikiran rajagobal, yang kita tak tahu. Kita harus ingat, semua pemain dalam kem negara adalah terbaik, kalau u nak mahali jer main kat posisi tu (pertahanan kanan), kenapa dia nak panggil Helmi ke kem skuad kebangsaan? Kalau u nak Norshahrul, atau Ashaari jer, atau sorang pemain yang sama jer main kat depan, takde gunalah dia panggil player2 lain dan training bersama…”. – Zolkifli Ahmad, bekas pertahanan Selangor dan Kebangsaan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Kebangsaan, Datuk Subahan Kamal, optimis mengenai peluang pasukan negara untuk mara lebih jauh dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2014, yang bermula dengan perlawanan menentang Taiwan.

Subahan yakin Malaysia akan berjaya menumbangkan Taiwan seterusnya menempah pertemuan menentang Singapura di pusingan kedua, seterusnya mencipta satu lagi sejarah gemilang bolasepak tanah air, susulan kepada kejayaan di Sukan Sea Laos 2009, dan Piala AFF Suzuki 2010. 

“Definitely, kita kena ingat bola Malaysia sudah meningkat maju, sekarang kita hanya perlu fikir menentang Taiwan di Taipei, lepas tu baru fikir Singapura, dan menentang Singapura bukan mudah, mereka pastinya akan memberi saingan hebat, kalau kita berikan terbaik, kita akan mara ke pusingan tiga dan target saya sendiri adalah pusingan ketiga (GROUP STAGE), itu yang kita harap, dan kita boleh lakukannya.. di situlah pendedahan terbaik untuk kita, kerana untuk dapat bermain dgn team-team top asia,  top 20 bukan mudah dan itu pencapaian yang pastinya menakjubkan..”. – Datuk Subahan Kamal

Taiwan Bangga, Berjaya Kesan Kelemahan Sebenar Malaysia


Kejayaan mendapatkan 1 gol yang cukup berharga, meskipun tewas, sudah cukup untuk menghadirkan ceria di wajah pengendali skuad Taiwan, Lo Chih Tsung, yang berpendapat memberi kelebihan buat pasukannya menjelang aksi timbal balik di tempat sendiri, 3 Julai ini.

Tatkala ramalan dan cakap-cakap awal mengatakan skuad di ranking ke 160 dunia itu bakal menjadi ‘lauk’ apabila berdepan skuad Juara Piala AFF, Malaysia, Chih Tsung nyata kagum dengan semangat dan komitmen tinggi ditunjukkan pemainnya untuk mengurangkan defisit gol, dan menganggap kekalahan 1-2 lebih daripada 1 keputusan terpuji.

“tiada siapa yang mahu bermain untuk tewas, kami pun sama, dan ini satu keputusan cukup besar buat kami. Saya boleh terima kekalahan 1-2, ini juga kelebihan bg kami (gol tempat lawan) memandangkan kami datang tanpa sasaran besar. Pasukan saya bermotivasi tinggi, ketinggalan 2 gol tidak mematahkan semangat kami, dan kini saya yakin kita akan dapat mara ke peringkat seterusnya..”.

“Malaysia pasukan yg bagus, Liga pun maju tak macam kami takde liga profesional, mereka mempunyai pemain bagus, kami pula kebanyakannya pelajar uni/kolej, amatur, tapi malam ini terbukti itu bukan pemisah sebenar. Malaysia gagal guna peluang mereka. dan kita juga dapat kesan di mana kekuatan, kelemahan, nampak di mana kepincangan mereka, ada 3 hari lagi, kami akan kaji dan cari strategi untuk menang nanti..”. – Lo Chih Tsung.

Po Liang, senjata Taiwan
Pada perlawanan semalam, Taiwan berjaya mendapatkan gol saguhati menuju babak akhir permainan menerusi rembatan kencang Cheng Po Liang menewaskan Sharbinee Allawee, gara-gara kelekaaan barisan pertahanan negara, malah bernasib baik tidak dihukum dengan gol penyamaan, apabila percubaan berbahaya lewat permainan Po Liang sedikit tersasar.

Justeru keyakinan Chih Tsung selepas tamat 90 minit pertama di Kuala Lumpur, ada asasnya, dan menaruh  harapan tinggi pemainnya mampu beraksi dengan semangat sama, Ahad ini.

Safee Cedera, Raja Tetap Cool Meskipun Gagal Menang Besar


Malaysia terpaksa membayar harga mahal di atas kegagalan mencari bekalan selesa ke Taipei, apabila berkemungkinan besar kehilangan khidmat penyerang utama, Safee Sali untuk aksi timbal balik Pusingan Pertama Kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan 3 Julai nanti.

Safee, penyerang Pelita Jaya, terpaksa dikeluarkan Datuk K.Rajagobal selepas tamat separuh masa pertama, dan digantikan penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Fakri Saarani, sekaligus bermakna Malaysia kini terpaksa menyandarkan harapan memburu gol di tempat lawan, di bahu tiga penyerang yang baru pulih dari kecederaan dan belum cergas sepenuhnya – Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Hadi Yahya dan Ahmad Fakri Saarani.

“kita keluarkan dia (Safee) sebab cedera, dia belum pasti boleh main return leg. dan saya pun concerned tentang perkara ini, penyerang kita silih berganti cedera, Norsharul still perlukan match fit, Abdul Hadi baru pulih tapi dia beraksi dengan cukup baik hari ni, Ahmad Fakri pula ini first game dia, lama tak main injured, tapi jangan risau, kita bukannya kalah atau seri, kita tetap menang cuma jaringan tipis, but a win is a win..cuma tugas kita belum selesai, I’m sure my boys will do a great job there”.

“saya juga ada nampak beberapa kelemahan dan definitely kita perlu buat 1,2 perubahan, dan pertukaran pemain, Helmi Remeli agak gugup, ini first game dia international, few player ada injury cautious macam Safiq Rahim, kita perlu pergi ke sana (Taipei) dengan same attitude, iaitu mencari gol, dan menang, but jangan terlalu ghairah. Macam tadi, kita dah push dari awal, so u boleh nampak at the end, energy level berkurang, defensive slack, ini kita perlu elak. ingat kita bukan kalah atau seri, jadi kita tak perlu bermain dalam tekanan, yang tertekan adalah mereka, kelebihan masih milik kita..”. – Datuk K.Rajagobal.

Di sebalik mempunyai 5 pilihan penyerang termasuk Ashaari Shamsudin, Rajagobal seperti dijangka hanya menurunkan Safee, selaku penyerang tunggal, dibantu Baddrol Bakhtiar di posisi attacking midfielder.

Namun menyedari ia tidak membuahkan hasil Rajagobal melakukan rombakan besar-besaran dengan mengeluarkan Helmi yang tidak begitu berkesan di posisi pertahanan kanan dan memasukkan Abdul Hadi untuk menguatkan jentera serangan – percaturan yang membawa INSTANT IMPACT apabila Abdul Hadi turut terlibat dalam gerakan terhasilnya gol pertama seminit selepas dimasukkan.

Perubahan taktikal juga menyaksikan Amirulhadi Zainal ditolak ke posisi pertahanan kanan, manakala Baddrol dan Kunanlan bergilir menghadirkan ancaman di posisi sayap.

Malaysia menang 2-1, hasil jaringan cantik minit ke-28 kapten pasukan, Safiq Rahim dan gol Aidil Zafuan Abdul Radzak, sebelum Taiwan membalas menerusi Chen Po Liang.

Wednesday, June 29, 2011

Safee, Norshahrul Mahu Gempur Taiwan, Rajagobal Ada 5 Pilihan Striker


Penyerang berbisa tanah air, Safee Sali dan penyerang prolific Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha berazam memastikan kunjungan Taiwan ke Kuala Lumpur untuk mengharungi Pusingan Kelayakan Piala Dunia malam ini, berakhir dengan mimpi ngeri, apabila masing-masing tekad menjaringkan gol seterusnya membantu Malaysia membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik, 3 Julai depan.

Safee, penyerang Pelita Jaya, yakin dapat meneruskan aksi cemerlangnya di pentas antarabangsa, meskipun tidak menjaringkan gol sejak meledak 5 gol yang membantunya muncul penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010, dan dia percaya dapat menemui semula sentuhan jaringannya bermula dengan perlawanan menentang Taiwan.

Safee, selepas latihan
Bukan mahu merendahkan kemampuan barisan serba ‘misteri’ Taiwan yang tidak begitu diketahui kekuatan dan kelemahan mereka, tetapi Safee yakin jika Malaysia mempraktikkan corak permainan menyerang dan menterjemahkan setiap peluang kepada gol, maka kemenangan mutlak adalah milik Harimau Malaya.

“ya, memang azam saya menjaringkan gol. Dan saya yakin boleh skor esok, sebagai penyerang saya perlu laksanakan tanggungjawab menjaringkan gol, itu tugas saya. Seperti kata coach, kita kena manfaatkan setiap peluang, kita tak boleh miss chances, kita akan turun dengan misi gempur habis-habisan, dan menjaringkan seberapa banyak gol dan gol awal adalah penting.”. – Safee Sali.

Manakala Norshahrul pula, pulih tepat pada waktunya selepas tersisih hampir 2 minggu gara-gara kecederaan dialami ketika perlawanan Liga Super menentang Perak, justeru menghadirkan ceria di kalangan penyokong setia Harimau Malaya yang mengagumi bukan sahaja kemahiran mengeleceknya, tetapi juga sentuhan penyudahnya yang cukup berkesan.

“saya tak sure main ke tak, tapi yang pasti saya dah boleh main, memang saya tak push sangat time training, tapi tengoklah, diberi peluang, azam saya satu jer, skor gol dan menang..”, komen ringkas Norshahrul.

Norshahrul merupakan penjaring terbanyak Liga Super dengan 17 gol, dan kehadirannya menambahkan pilihan barisan depan yang ada buat Rajagobal. Selain Safee dan Norshahrul, barisan serangan turut diperkuatkan dua lagi penyerang yang pulih dari kecederaan, Abdul Hadi Yahya dan Ahmad Fakri Saarani selain WINGER COMES FORWARD, Ashaari Shamsudin.

Dengan Rajagobal mahu anak buahnya mencari kelebihan selesa sebelum bertandang ke tempat lawan, gambaran awal yang dapat dilihat, Safee akan bertindak sebagai TARGET MAN, dengan dibantu seorang daripada 4 nama yang disebut tadi, manakala seperti biasa posisi FLANKER yang lazimnya diisi Amirulhadi Zainal, Baddrol Bakhtiar, S.Kunanlan dan Ashaari - dijangka menjadi ‘ASSET’ merencana serangan.

“Kita memang ada pilihan penyerang yang ramai, tapi saya tak kisah apa posisi dia, saya juga main bersama player (sessi latihan), sebab saya nak tengok sendiri kesungguhan dan pemain yang saya bayangkan dalam kesebelasan utama. Saya sudah ada bayangan, dan saya yakin dengan pemain yang akan main esok. kita kena main dengan baik, tiap2 kali kita serang, saya nak pemain guna peluang terhidang, membuat serangan, jaringkan gol secepat mungkin tapi jangan sebab nak skor, lupa disiplin corak permainan, jangan hilang fokus, kalau kita dapat gol awal keyakinan akan bertambah..”. – Datuk K.Rajagobal.

Tuesday, June 28, 2011

Apek Tersisih, Duo Kelantan Sedia Balas Kepercayaan


Penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat HAMPIR PASTI tidak beraksi pada perlawanan Pusingan Pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan, malam esok.

Khairul Fahmi, atau lebih glamer dengan panggilan Apek, dilaporkan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu yang dialami ketika beraksi bersama Skuad Olimpik, dan dilihat sekadar menjalani latihan ringan di tepi padang, ditemani jurulatih penjaga gol, Faozi Mukhlas.

Apapun, Datuk K.Rajagobal seharusnya tidak pening kepala mencari pengganti, apatah lagi mempunyai dua pengganti berwibawa iaitu penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli dan Nasril Nordin (Perak).

“saya tak boleh kata dia tersisih terus. Kita kena sentiasa alert, bahu dia masih sakit, kalau kita push itu akan efek performance dia, kita masih ada masa sehingga esok, kita akan pantau keadaan time to time, jangan risau kita masih ada Sharbinee, dan Nasril dan saya yakin siapapun main mereka adalah yang terbaik, takkan kecewakan kita..”. – Datuk K.Rajagobal.

Shakir & Farisham ketika sesi latihan
Sementara itu, CENTREBACK, Farisham Ismail dan tonggak tengah kental The Red Warriors, Shakir Shaari bersedia membalas kepercayaan Rajagobal, andai diturunkan untuk beraksi malam esok.

Farisham dan Shakir, pastinya diakui antara tunjang kekuatan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim ini, dan berada di dalam skuad kebangsaan, pastinya satu pengalaman berbeza buat mereka berdua, NAMUN matlamat mereka hanya satu – LAKUKAN YANG TERBAIK DEMI MARUAH HARIMAU MALAYA, sama ada beraksi di dalam kesebelasan utama, mahupun sebagai pemain gantian.

Bagi Farisham, peluang untuk diturunkan di STARTING LINE UP agak tipis, andai melihat kepada prestasi semasa Muslim Ahmad dan Fadhli Shas, selain adanya Aidil Zafuan yang baru pulih daripada kecederaan.  

“Terpulang pada coach nak start dengan sape, kalau dapat peluang, saya buat terbaik. Yang penting concentrate, dan fokus harap menang. Sebenarnya dengan adanya pemain berpengalaman membuatkan persaingan merebut tempat lagi sihat, dan membantu diri kita sendiri untuk menjadi lebih baik. Memang mula-mula dulu kekok, persefahaman tak berapa ok, tp sekarang da lama bersama, kita pun dah macam family dah. Insyaallah kalau semua bagi komitmen penuh dan kita main rentak kita, boleh menang takda masalah”. – Farisham Ismail. 

Manakala Shakir pula, seperti dilaporkan sebelum ini (baca sini), perlu bersaing dengan 3 lagi pemain – Safiq Rahim, Amar Rohidan dan G.Gurusamy untuk mengisi satu daripada dua slot di posisi tengah.

Meskipun merupakan satu-satunya pemain baru di antara 22 pemain lain, Shakir dilihat pantas menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan, dan menyuarakan keyakinan Malaysia akan menang jika beraksi tanpa tekanan.

- Dua lagi entry menyusul selepas ini -

Senarai Lengkap Pemenang Tiket Menyaksikan Perlawanan Malaysia - Taiwan

Berikut senarai 5 pemenang bertuah yang akan beroleh tiket menyaksikan perlawanan antara Malaysia vs Taiwan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok. Tiket boleh dituntut dengan penulis, bermula jam 6 petang esok di Stadium.

1) Zek Putrajaya
2) Ikhsan ISN (Ganti Kassim Selamat)
3) Nik Zukhairi (Ganti Akif Mazlan)
4) Anti-Mercun
5) Fairus Zakaria

Kepada nama yang dinyatakan silakan hubungi SS dengan kadar segera untuk pengesahan. Setakat ini hanya ZP yang sudah berbuat demikian. Boleh email SS di m.aimnz@gmail.com, terima kasih. Di masa akan datang, SS juga akan beri hadiah kepada rakan FB yang sentiasa memberi sokongan dengan LIKE atau SHARE artikel. Baru 3 bulan, so semuanya step by step ;)

Jelajah Malaysia : Arsenal Hadir Bersama Cahill, Gervinho, Tanpa Kelibat Fabregas?


foto : Standard, Getty Images, EPA
Kehadiran kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal ke Malaysia untuk aksi persahabatan 13 Julai depan, dijangka diperkuatkan beberapa muka baru, termasuk pertahanan kental Bolton Wanderers, Gary Cahill, penyerang berprofil tinggi Lille, Ricardo Alvarez dan Bintang Piala Dunia Sepanyol 2010, Juan Manuel Mata.

Perkembangan terbaru ini, pastinya berita gembira buat peminat The Gunners bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia, apatah lagi ia menampakkan usaha bersungguh-sungguh mereka untuk menoktahkan kemarau kejuaraan sejak 2005, dengan mula aktif di pasaran perpindahan pemain – sesuatu yang jarang dapat disaksikan peminat kelab utara London ini sebelum ini.

Nilai perpindahan untuk mendapatkan Cahill dan Gervinho dilaporkan mencecah £30 Juta. (Baca laporan ini)

Rundingan untuk mendapatkan Cahill dilaporkan sudah berada di fasa terakhir, dengan Arsenal bersedia membayar BAYARAN TEBUS KONTRAK (RELEASE CLAUSE) £17 Juta sepertimana ditetapkan, selain berkemungkinan besar menawarkan seorang pemain sebagai sebahagian daripada rundingan (PLAYER PLUS CASH DEAL).  

Manchester City sebelum ini dilaporkan hampir pasti mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun ini, namun Cahill dikatakan tidak begitu yakin akan dapat beraksi di kesebelasan utama andai berpindah ke Eastland, dan berkemungkinan besar memilih Emirates sebagai halatuju seterusnya.

Selain Cahill, Arsenal juga semakin hampir mendapatkan khidmat penyerang Lille, Alvarez, meskipun pasukan berpangkalan di Perancis itu tiba-tiba menaikkan harga Alvarez, pada ketika persetujuan sudah hampir dicapai.

Bidaan £10.5 Juta Arsenal pada awalnya sudah diterima, namun Lille menaikkan harga penyerang itu kepada £14 Juta pada saat akhir, dengan Arsenal dilaporkan membuat bidaan akhir bernilai £12 Juta.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger juga dilaporkan telahpun membuat bidaan ‘pecah-rekod’ perpindahan kelab utara London itu, dengan tawaran £18 Juta untuk mendapatkan khidmat Mata, pemain tengah Valencia yang turut menyatakan minat untuk menyarung jersi The Gunners. (Baca laporan ini)

Pegawai Arsenal diberitakan sudahpun bertemu agen dan juga bapa kepada Mata, dan Mata, pemain yang boleh beraksi di posisi tengah, dan sayap kiri sendiri dikatakan gembira untuk berbicara mengenai masa depannya untuk beraksi di Emirates.

Andai kesemua cakap-cakap, desas-desus atau khabar angin (bergantung pada persepsi masing-masing) ini menjadi kenyataan - Cahill, Gervinho dan Mata akan menjadi tiga pemain pertama dibeli Gunners sebagai persiapan menghadapi musim baru EPL, dan berkemungkinan besar diperkenalkan dalam jersi Arsenal ketika kunjungan ke Kuala Lumpur – sepertimana Luiz Felipe Scolari memperkenalkan Jose Bosingwa kepada peminat Chelsea buat pertama kali, di Kuala Lumpur pada 2009.

foto : reuters
Apapun, hasrat peminat setia Gunners untuk menyaksikan kelibat kapten berpengaruh Arsenal, Francesc Fabregas, mungkin tidak kesampaian apabila tawaran terbaru Barcelona, iaitu  £31 juta, dikatakan sukar ditolak Arsenal, apatah lagi pemain itu sendiri minta dilepaskan agar dapat kembali beraksi bersama pasukan ‘asal’nya.

Namun terdapat dua kemungkinan, a) meskipun bersetuju dengan tawaran Barcelona, Arsenal tidak akan melepaskan kapten mereka itu setidak-tidaknya hingga tamat Jelajah Asia Arsenal, kerana dia adalah antara daya tarikan kelab, manakala b) Arsenal akan terus bermain tarik tali hingga Barcelona menepati permintaan £40 Juta yang ditetapkan.

Apapun, peminat The Gunners di Malaysia, pastinya mahu melihat Arsenal turun dengan barisan terkuat mereka – Thomas Vermaelen, Theo Wallcott, Samir Nasri, Fabregas, Andrey Arshavin, dan Jack Wilshere – bukan sahaja sebagai hiburan untuk peminat, atau pengalaman buat Harimau Malaya, tetapi turut dapat menguji kemampuan pemain kita antaranya Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Khairul Fahmi Che Mat, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan, Baddrol Bakhtiar, Asrarudin Putra Omar, dan ramai lagi.