Juara berganda Terengganu
Hockey Team (THT) dan Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) bersedia memberikan impak
lebih besar dalam saingan Liga Hoki Malaysia-TNB 2015 bermula dengan aksi Piala
Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional
Bukit Jalil pada Ahad.
KLHC bimbingan K. Dharmaraj, mendominasi
saingan TNB-MHL dari 2010 ke 2013 sehinggalah
muncul THT musim lalu untuk menoktahkan penguasaan juara empat kali itu.
Pertarungan hebat antara dua
gergasi ini, bagaimanapun, berterusan musim ini dengan tidak banyak yang
memisahkan dua kelab ini yang bakal tampil dengan himpunan bintang import
tatkala baki pasukan dalam saingan liga enam-pasukan termasuk Sapura HC,
Universiti Kuala Lumpur (UniKL Young Guns), Maybank dan Tenaga Nasional Berhad juga
turut memantapkan kempen mereka kali ini selepas kegagalan musim lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Logan Raj, berkata adunan pemain remaja, senior dan pemain import
dalam saingan TNB-MHL adalah satu petanda baik dalam membantu badan induk hoki
tanah air itu mencari bakat baru bagi menjayakan transformasi untuk membentuk
pasukan yang lebih kuat untuk Olimpik 2020.
“Impian Olimpik kita menerima tamparan begitu
hebat di Antwerp, Belgium baru-baru ini dan kita perlu kembali berada di
landasan. Kami percaya saingan TNB-MHL 2015 akan memperlihat dan menyajikan
perlawanan berkualiti tinggi di antara
pasukan yang bertanding,” kata Logan pada majlis pelancaran rasmi TNB-MHL di
Kuala Lumpur hari ini.
“Kehadiran pemain berkualiti
hanya akan menjadikan Liga ini lebih baik dan ini akan memberi pemain remaja
dan senior peluang yang baik untuk beraksi lebih baik apabila menentang lawan
yang kuat,” katanya sambil menambah bahawa KHM akan turut memperkenalkan
rujukan video sewaktu perlawanan.
“Ini
hanyalah satu pengukur bagi kita untuk membawa Liga ke satu platform yang baru
dan membiasakan diri kita dengan amalan yang dipraktikkan ketika ini di seluruh
dunia,” tambahnya.
THT dan KLHC akan membuka tirai
saingan Divisyen Perdana Liga TNB-MHL dengan aksi Piala Sumbangsih sementara TNB
melayan kunjungan Maybank dan Sapura HC bertemu UniKL pada perlawanan pembukaan
di Stadium Hoki Nasional pada Ahad.
KLHC telah mendapatkan khidmat enam pemain
Pakistan untuk memperkuatkan skuad 2015 mereka – Waseem Ahmad, Fareed Ahmad, Muhammad Umar Bhutta, Ali Shan, Muhammad Usman dan Ahmad Ajaz.
Waseem AHmad perkuat KLHC |
Dalam
senarai pemain tempatan pula, KLHC, yang berbelanja besar untuk membariskan
pasukan yang lebih hebat kali ini, mempunyai pakar flik pukulan sudut penalti Razie
Rahim, penjaga gol Roslan Jamaluddin, pertahanan Shukri Mutalib dan pemain
tengah Nabil Fiqri.
Jurulatih
THT Sarjit Singh, bagaimanapun, membuka pilihannya lebih luas dengan kemasukan pemain Argentina Pablo Javier
Trevisan, Nicolas Cicileo, Jose Leandro Tolini dan Ignicio Quilez di dalam
skuadnya yang turut menyaksikan kehadiran Ahmad Shakeel Butt dari Pakistan. Ini
adalah kali pertama pemain Argentina akan tampil dalam MHL sejak pengenalannya
pada 1978.
Cicileo antara yang direkrut THT |
Dan
untuk menambah lebih sengat, pasukan dari Terengganu itu mempunyai tujuh pemain
kebangsaan sebagai pelengkap kepada kekuatan import mereka dalam usaha untuk
mempertahankan kejuaraan liga dan keseluruhan. Mereka adalah penjaga gol
Hafizuddin Othman, pertahanan Azlan Misron, pemain tengah Shahrun Nabil dan
Fitri Saari serta penyerang Faizal Saari, Tengku Ahmad Tajuddin dan Firhan
Ashaari.
Bagi UniKL Young Guns, mereka sudah tentunya mengintai tempat di separuh
akhir dengan jurulatih Arul Selvaraj mempertaruhkan pengalaman Haziq Samsul,
Baljit Singh, Izwan Firdaus dan Meor Azuan yang beraksi di Separuh Akhir Liga
Hoki Dunia di Antwerp. Pemain import mereka pula adalah Richard Sykes, Patrick
Neil Schultz dan Jethro Ray Eustice.
Jurulatih
skuad Projek 2016 itu mempunyai 10 pemain dari skuad pelatih Piala Dunia Remaja
yang diserap ke dalam UniKL iaitu Sufi Ismat, Zul Pidaus Mizun, Maxhans
Christi, Ashran Hamsani, Azwar Rahman, Najmi Farizal, Nor Azrul dan Ezry Mustafa.
Kecuali
TNB, kendalian Nor Saiful Zaini, yang
akan sekali lagi menyandarkan harapan sepenuhnya di bahu pemain tempatan, Sapura
dan Maybank turut melontarkan cabaran dengan diperkuatkan beberapa pemain Pakistan.
Jurulatih
kebangsaan Tai Beng Hai telah menamakan Khasif Ali, Muhammad Imran, Abdul
Haseem Khan dan Mohamad Azfar Yaqoob untuk mengetuai cabaran Sapura, Maybank turut
berupaya menyengat dengan kehadiran Imran Butt, Muhammad Irfan, Muhammad Toseeq,
Muhammad Waqas dan Deepanshu Bhargav
dari India.