Pautan Suara Sukan

Wednesday, December 10, 2014

PDRM mahu gegar Grand Final

Selepas mempertaruhkan pengalaman bekas pemain kebangsaan untuk menjuarai pusingan keempat SepakTakraw League (STL) di Kedah, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memasang hajat untuk menggegar pusingan Grand Final yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 Januari depan di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Jurulatih PDRM, Kamarul Azri optimis regu PDRM ‘D’ yang menewaskan rakan sepasukan PDRM ‘C’ untuk muncul juara pusingan empat STL di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim pada 30 November lalu, mempunyai rencah yang diperlukan untuk sekali lagi berada di podium selaku juara meskipun sedar betapa mereka bakal disajikan tentangan sengit.  

“Satu regu di final, dan satu regu layak ke play-off. Kita ada pengalaman, kekuatan dan kelebihan tersendiri dan kita akan manfaatkannya. Latihan dan persiapan berjalan sepanjang tahun kita terlibat dalam banyak pertandingan dan melalui STL, kami mendapatsatu lagi ruang untuk serlahkan kehebatan.

“Seperti yang telah dapat kita lihat, semangat dan komitmen mereka cukup tinggi, menenggelamkan faktor usia dan stamina, jadi tiada sebab untuk saya rasa kami tidak boleh berjaya di Grand Final. Fokus kami kini adalah Grand Final dan pemain saya sedia berikan aksi terbaik,”  ujarnya.

Pada aksi final pusingan empat, bekas tekong kebangsaan yang cukup sinonim sebagai anggota regu emas Sukan Sea 2005, Normanizam Ahmad dan bekas ‘killer’ kebangsaan, Masran Rahman membuktikan betapa kudrat mereka belum ‘berkarat’ apabila membantu PDRM ‘D’ yang turut dibarisi Azli Jamil muncul juara menewaskan PDRM ‘C’ 21-19, 21-16.

PDRM mahu gegar Grand Final. Dalam gambar, killer PDRM D, Masran Rahman.
Selain PDRM ‘D’, tiga lagi pasukan yang sudahpun layak ke pusingan Grand Final adalah Mazatech ‘A’, ATM ‘F’ dan InstaPutra selaku juara pusingan pertama, kedua dan ketiga manakala empat pasukan, masing-masing naib juara dan pemenang tempat ketiga layak ke pusingan play-off selepas berakhirnya empat pusingan.

Empat lagi juara dari dua pusingan di Johor (13, 14, 20, 12 Disember) dan dua pusingan di Melaka (27, 28 Disember dan 5,6 Januari) bersama-sama 8 pasukan yang layak dari pusingan play-off akan berentap untuk menentukan juara sulung STL 2014/15 ini seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000. 

No comments:

Post a Comment