Pautan Suara Sukan

Saturday, December 13, 2014

Lebih ramai pemain kebangsaan ambil bahagian di STL pusingan kelima

Himpunan pemain kebangsaan yang mengambil bahagian di SepakTakraw League (STL) sejak ia membuka tirai pada 13 November lalu ternyata memberi makna lebih besar kepada penganjuran liga sepaktakraw pertama tanah air itu dalam menambah kualiti saingan seterusnya menyemarakkan minat terhadap sukan tradisi itu yang semakin mekar di hati para peminat.

Jika pada empat pusingan terdahulu, STL telah menyaksikan penglibatan pemain kebangsaan seperti Izzurin Refin, Kamal Alfiza, Fazil Asri, Zuleffendi Sumari serta Syazreen Qamar, lebih ramai lagi pemain elit kebangsaan mengambil bahagian di STL pusingan kelima di Johor yang bersambung semula selepas tempoh rehat dua minggu. 

Antara pemain yang mempamer kelibat di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang yang menjadi venue pusingan kelima antaranya adalah pemenang pingat gangsa di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan baru-baru ini, Ahmad Aizat Noor Azmi dan Helmi Ismail, Shahidan Mohd Ali, Muhammad Hafiz Abd Rahman, Khairul Zaman Hamir Akhbar dan Kamal Aizat Azmi.

Shahidan, yang beraksi mewakili pasukan PKNS berkata,“Buat kali pertama kita mempunyai Liga takraw sendiri, saya berbangga dengan usaha yang telah diambil. Melalui cara inilah, kita dapat untuk bangkitkan semangat peminat dan para pemain. Ia berterusan setiap minggu dan kini menjadi perbualan di kalangan peminat, sudah tentu ini perkembangan yang cukup positif bagi arena takraw tanah air.”

Shahidan Ali in action
Selain pemain kebangsaan, kehadiran bekas pemain kebangsaan juga menambah lagi kehangatan STL yang akan berlangsung sebanyak lapan pusingan, sebelum kemuncaknya pada pusingan Grand Finals, Januari depan – beberapa bekas pemain yang pernah menyarung jersi negara yang mengambil bahagian pada STL kali ini adalah Zolkifli Abd Razak, Fazli Mohd Roslan, Shahmi Husin dan Farhan Adam.     

Aksi peringkat round robin pusingan kelima di Johor membuka tirainya pada Sabtu, dengan 16 regu berentap mencari tiket beraksi di pusingan kalah mati. Kesemua aksi peringkat kalah mati – suku akhir, separuh akhir dan akhir akan berlangsung pada Ahad dengan juara akan layak beraksi di pusingan Grand Finals.

JADUAL:
Johor - (Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang; 13-14 Dis & 20-21 Dis).
Melaka - (Stadium Majlis Perbandaran Melaka, Bukit Serindit; 27-28 Dis, 2014 & 3-4 Jan, 2015).
 Grand Final - (Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan & 17-18 Jan, 2015).

No comments:

Post a Comment